Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Friday, February 02, 2007

Ketahui Sejarah Perpecahan

Benih-benih percambahan perpecahan dan timbulnya pelbagai fahaman dan ajaran bermula sejak zaman pemerintahan khalifah r.a.Di sini ana mengupas sedikit tentang sejarah dan juga faktor-faktor yang mendorong berlakunya pelbagai adaptasi daripada fahaman salaf yang sepenuhnya hanya bersandarkan kepada kalamullah dan sunnah rasulullah s.a.w.
3 bidang yang dibahaskan dan menjadi pertikaian didalam Islam:
1)Bidang politik
2)Bidang Aqidah
3)Bidang Syariat (penetapan hukum ibadah)

Sejarah yang menjadi titik mulanya perpecahan

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan Khalifah Umar Al-Khattab dan juga sehingga pada enam tahun pertama pemerintahan Khalifah Uthman bin ‘Affan,suasana dan keadaan umat Islam masih berjalan seperti pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu.Akan tetapi suasana yang begitu indah musnah setelah enam tahun berjalan lancar pada pemerintahan Khalifah Uthman.Semua ini adalah disebabkan sikap tidak senang kaum munafiq dan petualang politik ketika itu.Abdullah bin Saba’ seorang tokoh yahudi yang masuk Islam adalah yang menjadi petualang dalam huru hara yang berlaku.Ia sebenarnya seorang yang munafiq.

Akibat daripada pertikaian dan pergaduhan,akhirnya Khalifah Uthman dibunuh dan diganti oleh Khalifah Ali bin Abu talib.Keadaan menjadi semakin tegang apabila bani Umayyah menuntut supaya Saidina Ali menghukum pembunuh Uthman sehingga tercetusnya perang saudara,Perang Jamal dan Perang Siffin.Perang siffin berakhir dengan pendamaian antara saidina Ali dan Mu’awiyah bin Abu Sufyan yang disebaliknya adalah taktik dan penipuan Mua’wiyah untuk menjadi khalifah menggantikan Saidina Ali.Berlakulah permusuhan antara Bani Umayyah dan Bani Hashim selepas Mua’wiyah diangkat menjadi khalifah.

Sejak genjatan senjata antara pasukan Saidina Ali dan Mua’wiyah dalam Perang Siffin,pendukung Saidina Ali telah pecah menjadi dua golongan yakni kaum Khawarij dan kaum Syiah.Kematian Saidina Ali telah dirancang oleh kaum Khawarij yang akhirnya berjaya membunuh Saidina Ali ketika beliau keluar untuk solat subuh.Kejayaan rencana pembunuhan menunjukkan berakhirnya kekhalifahan Bani Hashim dan dikuasai sepenuhnya oleh Bani Umayyah.
Dengan kematian Khalifah Ali bin Abu Talib,umat Islam terpecah menjadi tiga golongan,yakni :
1) Sebahagian besar umat Islam mengakui Mu’awiyah bin Abu Sufyan berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Saidina Ali.
2) Golongan Syiah yang anti Muawiyah.cinta kepada Saidina Ali dan keturunannya.Bagi mereka yang sah menjadi khalifah adalah Saidina Ali dan keturunannya.
3) Golongan Khawarij yang tidak menyetujui kekhalifahan Uthman bin “Affan,Ali bin Abu Talib dan Mu’awiyah bin Abu Sufyan.

Perselisihan dalam bidang politik
Perselisihan dalam bidang ini telah melahirkan 3 golongan yang mahsyur sehingga kini yakni Golongan Syiah,Khawarij dan Mu’tazilah.Pertikaian berlaku apabila berlakunya pembunuhan khalifah Uthman,ada yang ingin menuntut bela di atas kematian Uthman dan menghukum orang yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.Di sini munculnya perbezaan pendapat dalam penetapan hukum ke atas orang yang membunuh Khalifah Uthman.
Golongan Syiah
Menurut kamus, syiah bererti pengikut,pembantu,pendokong atau firqah,terutama pengikut dan pencinta Saidina Ali bin Abu Talib serta ahli keluarga Rasulullah s.a.w.Golongan ini mencintai Saidina Ali secara ekstrim dan berlebih-lebihan sehingga mengangkat Saidina Ali sebagai tuhan.
Ada 4 golongan utama Syiah,yang masing-masing berpecah menjadi berpuluh-puluh aliran lagi.
1) Aliran Ghaliyyah
2) Aliran Rafidah
3) Aliran Zaydiyyah
4) Syiah Imamiyyah

Golongan Khawarij
Golongan ini amat membenci Saidina Ali bin Abu Talib sehingga mengkafirkannya.Amat banyak perpecahan dalam Khawarij,maka wujudlah pelbagai aliran yang mana sebahagiannya tidak boleh dikatakan Islam kerana aqidahnya jauh menyimpang dan sesat.Antaranya Aliran Azariqah,Aliran Al-Najdiyyah,Aliran Ajadiah,Aliran Yazidiyyah,Aliran Safariyyah dan banyak lagi.

Golongan Mu’tazilah
Mu’tazilah mula campur tangan ketika pertikaian politik antara Saidina Ali dan Mu’awiyah sehingga terbunuhnya Saidina Ali sampai kekhalifahan dikuasai Mu’awiyah.Adapun golongan ini menamakan dirinya sebagai Ahl al-‘adl wa al-Tauhid(golongan yang membela keadilan dan ketauhidan tuhan).Mu’tazilah mengatakan al-Quran adalah makhluk,bukan qadim dan banyak menggunakan logik akal untuk berhujah sehingga membawa kepada penyelewengan aqidah.
Dalam hal penggunaan al-Quran dan Hadith,Mu’tazilah terbahagi kepada 3 golongan:
1)Golongan pertama hanya menggunakan al-Quran sebagai dasar hukum,mengecualikan hadith.
2)Golongan kedua membahagikan hadith kepada 2 bidang.Mereka hanya menggunakan hadith yang menjadi penjelas hukum al-Quran,yang lainnya akan ditolak.
3)Golongan ketiga hanya menggunakan hadith mutawatir sahaja.Dalam penetapan hukum,mereka menggunakan dalil akal dahulu,kemudian baru disesuaikan dengan al-Quran dan hadith.

Perselisihan dalam bidang Aqidah.
Pertikaian dalam bidang ini berlanjutan dari bidang politik.Di sinilah banyak golongan sesat yang wujud sehingga ada yang mempertikaikan kekuasaan Allah yang kefahaman mereka memang menyesatkan dan menyeleweng dari ajaran yang suci.
Golongan Jabariyyah
Aliran Jabariyyah timbul adalah dari perpecahan golongan Mu’tazilah yang membicarakan masalah ketuhanan dan kudrat Tuhan.
Jabariyyah diambil dari perkataan majbur yang bererti tidak bebas atau jabbara
beerti memaksa.Mereka berpendirian bahawa semua kejadian itu telah ditentukan oleh Tuhan sejak azali,baik dan buruk datangnya dari Tuhan.Tuhan pencipta segala kejadian dan perbuatan dan tidak ada menyamai Tuhan dalam segala hal.Manusia tidak mempunyai kekuasaan sama sekali atas dirinya kerana gerak-gerinya ciptaan Tuhan.Manusia tidak boleh berikhtiar untuk mengubah nasib hidupnya.
Golongan Qadariyyah
Aliran Qadarriyyah ini berkembang pada akhir zaman Khalifah Uthman berterusan sehingga zaman Bani Umayyah.Kaum Qadariyyah berpendirian bahawa ketentuan dari sesuatu adalah di tangan manusia sendiri.Perbuatan yang baik dan keji datangnya dari usaha manusia sendiri.Mereka berpendapat kalau semua kehidupan datangnya dari Tuhan,mengapa orang yang salah dihukum?Maka tiada gunanya Tuhan memberi pahala dan tidak perlu ada syurga dan neraka apabila semua itu Tuhan yang bertanggungjawab.
Oleh itu,manusia mempunyai kekuasaan mutlak atas dirinya dan segala amal perbuatannya.Manusia dapat berbuat baik dan buruk menurut kemahuannya sendiri tanpa ada kekuasaan lain yang memaksanya.Betapa sesatnya ajaran ini sehingga tidak mengakui keagungan dan mengetepikan kekuasaan Allah dalam setiap kejadian kehidupan ini.

Golongan Murji’ah
Di tengah-tengah pertikaian pendapat mengenai pembunuhan Uthman dan musuh-musuh Uthman,timbullah pendapat dari Kaum Murji’ah ini.Murji’ah menyatakan bahawa berbuat dosa itu tidak membahayakan iman.Bagi mereka dosa itu tiada kaitan dengan keimanan.Selain itu,iman adalah terpisah dengan amal kerana iman itu cuma keyakinan dalam hati sahaja,tiada hubungannya dengan amal.
Maka apabila seseorang menyembah berhala dalam negara Islam,kalau ia meninggal tetap sebagai ahli syurga.Pendapat Murji’ah ini membahayakan aqidah Islam dan umat Islam kerana apabila berbuat dosa tidak mempengaruhi iman,tentulah membuka pintu kepada mereka yang sering membuat dosa.

Akhirul kalam,pertikaian yang hanya bermula dalam bidang politik akhirnya berlanjutan mempengaruhi bidang aqidah,maka muncullah fahaman sesat yang membahayakan umat Islam.Terlalu banyak golongan-golongan yang muncul sehingga tidak terhitung banyaknya.Tapi cukuplah di sini,dijelaskan tentang golongan yang kubra dan mendominasi negara-negara Islam.Sebagai ahli jemaah,kita perlu menitikberatkan permasalahan umat yang berlaku dan semakin menular dan meruncing sehingga Islam dilabelkan sebagai pengganas.Maka kita perlu mengetahui dan memahami asbab berlakunya perpecahan.Semoga apa yang disampaikan dapat menambahkan ilmu kepada kita semua.Wallahua’lam.

Rujukan :Siapa Ahli Sunnah Wal Jamaah ( Umar Hasyim)
By: stefaislle@yahoo.com

No comments: