Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Thursday, July 31, 2008

Karyaku di Dewan Kosmik


Alhamdulillah..walaupun penghantaran karyaku ke Dewan Kosmik tanpa pengharapan, dengan penelitian dan bantuan di pihak editor Dewan Kosmik, akhirnya karyaku diterima untuk disiarkan dalam keluaran Ogos Dewan Kosmik..kategori cereka fiksyen..


Cerpenku bertajuk "Metamorf Azzery"..

Terima Kasih Dewan Kosmik atas tunjuk ajar dan kepercayaan kepadaku..

Ku berharap ku mampu meneruskan perjuanganku bil lisan ini..menembusi media-media cetak di Malaysia ini..InsyaAllah..

AMANAH menuntut IHSAN

Telah 2 minggu latihan mengajarku berakhir..Namun segala kenangan masih melekat di mindaku..Walau dalam tempoh yang singkat, banyak yang ku pelajari. Alhamdulillah keputusan praktikalku mencapai gred A- iaitu pointer 3.75..Semuanya bantuan Allah dan bantuan pensyarah yang menyeliaku, bukan kerana keupayaanku mengajar dengan baik, kerana ku sedari betapa ‘terrible’nya proses P&P yang ku sampaikan kepada anak bangsaku..Terima kasih Allah..Terima kasih Dr.Saiful Karsani..thanks lots..

CAJ SEMANGAT

Selama ini sebagai pelajar, jarang kita menyedari betapa terbebannya seorang guru untuk mendidik kita..Apabila apa yang kita pandang enteng itu terhempap ke bahu kita, baru kita akan menyedari hakikat sebenarnya..begitulah yang ku rasai semasa memikul ‘amanah’ buat anak-anakku…

Caj luarbiasa kuperlukan setiap hari untuk berdepan dengan anak-anakku..Biasalah sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari masalah hidup,peribadi..Semuanya perlu dilemparkan apabila tiba di sekolah..”SMILE”..itulah perkataan yang sering diperingatkan di mindaku..sentiasa senyum..senyum kepada guru,senyum kepada pelajar,senyum kepada pak guard, senyum kepada makcik kantin, senyum kepada kakak makmal..SENYUM PADA DIRI..kadang-kadang rasa tertekan kerana setiap tindakan,perubahan pada diri kita diperhatikan..lebih-lebih lagi pelajar sendiri..takkan masuk ke kelas dengan muka masam dan penuh garang ekoran ketakstabilan diri..jadi untuk menutup segala kekusutan hidup..SENYUMLAH..bak kata orang..senyum penawar jiwa..

Terkulai Lemah

Adakalanya semangat hilang untuk melangkah masuk ke kelas, menunaikan amanah..tambahan dengan ragam pelajar yang pelbagai..masalah disiplinnya..semakin melemahkan jiwa..ku masih ingat ketika aku demam, jadi 2 hari aku MC..tidak ke sekolah…

Apabila ku kembali sihat, balik ke sekolah…ku terserempaklah dengan pelajar-pelajarku…

“Cikgu, kenapa cikgu tak masuk kelas hari isnin hari itu?”..buk rasa terpukul dengan soalan itu..Rasa bersalah dengan pelajar-pelajarku walaupun aku tidak sihat..

“Cikgu kurang sihat,MC,” jawabku dengan senyuman..Ada pula pelajar lain yang ku jumpa menegurku...

“Cikgu dah sihat?” Rasa terharu pula dengan keperhatinan pelajarku…

Namun yang berkisar di jiwaku, keresahan dan rasa berdosa kerana aku tidak menunaikan amanahku dengan baik..satu waktu pengajaran selama 40 minit jika aku tidak memberi makna kepada pelajarku, telah membuatkan ku merasa cukup berdosa..Bukan mudah rupanya mendidik ini..

AMANAH bukan mudah

Jika hari ini ku lihat ada sesetengah guru yang kurang amanah..mendidik dan menyampaikan ilmu dengan sambil lewa..ku mula merasai tempiasnya..dan ketakutan mula menghantui diriku...

Mungkin yang tidak menunaikan amanah sebaiknya berfikir, tiada siapa tahu dan ambil tahu apa yang mereka buat semasa waktu pengajaran di kelas..ye..ku turut akan berfikir begitu..tapi kita lupa hakikat AMANAH sebenar..AMANAH menuntut IHSAN..Allah melihat apa yang kita kerjakan setiap saat,ketika dan detik waktu..Tunaikanlah amanah seperti Allah melihat kita dan kita melihat Allah..Sesungguhnya bidang pendidikan ini bukan mudah..kerana pendidiklah yang mencorakkan dan membentuk anak bangsa menjadi insan berguna atau pun tidak..yang mampu menunaikan tanggungjawab sebagai KHALIFAH ataupun tidak..

Amanah Itu Berat
Hadith :
Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a katanya:"Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:"Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu."



Doakan aku wahai sahabat..jika inilah jalan yang Allah tetapkan untukku..ku hanya perlukan doa sahabat dan bantuanNya untukku menunaikan AMANAH ini dengan mampu dan ihsan..amin..

Saturday, July 19, 2008

::Mabuk Dalam Cinta::


Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat Jarrah cintaku kepada-Nya."

Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."
Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima :

1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq

.4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."


Berdoalah dan beramallah agar kita mampu 'mabuk' dalam cintaNya..

-Dalam Sujud Cintaku-(Part 3)


Maafkan along,angah.Along banyak mengabaikan angah.Maafkan along,”airmata jantan Fauzul mengalir perlahan.Dia berasa bersalah terhadap Faiqah.Faiqah turut menjadi mangsa kemarahannya apabila tertekan.
Faiqah menghidu bau yang kurang menyenangkan pada badan Fauzul.Pelukan Fauzul dileraikan.

”Along minum arak?,”matanya membulat memandang Fauzul.Dia separuh terkejut.Fauzul bungkam.Dia hanya menunjukkan tanda sebatang jari kepada Faiqah.Dia tak berani menentang mata Faiqah.
”Hanya sekali?,”Faiqah separuh menjerit.Dia tidak percaya

”Along!sejahat-jahat angah,angah pun tahu arak itu haram!Arak akan merosakkan along!,”kata-kata ustaz Marzuki dalam kuliah maghrib yang dia pergi bersama Ibtisam diingatinya.

"Kerana itulah hindarilah khamr, kerana minuman itu adalah punca segala kejahatan dan perbuatan dosa. Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur, dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir ayatnya, ia akan kekal di neraka"

Faiqah sedar walaupun dia tidak bertudung,dirasakan tidak layak berkata begitu dan hanya sama seperti along,tetapi along perlu disedarkan.Dia turut masih dalam pencarian mencari jalan pulang ke arah kehidupan muslim yang sebenar.Bukan dia tak mahu menutup aurat rambutnya,tapi niatnya dihalang mama dan banyak kata-kata mama mempengaruhi dirinya.Dia masih mencari kekuatan untuk berubah.Mendedahkan aurat adalah haram,dia akui semua itu.

”Along sudah lupa pesan Mak Odah pada along dulu?Along,cakap dengan angah.Along di Australia,along selalu minum air haram itu kan?Jujur dengan angah,”badan Fauzul dihenjut-henjutkan.Kuat.Fauzul membatu.
”Kenapa along nak rosakkan diri along begitu?Kenapa along?,”air mata Faiqah semakin lebat.Dia kecewa.Sangat kecewa.

”Maafkan along.Maafkan along,”hanya itu terkeluar dari mulut Fauzul.
”Sudah!Angah benci along!,”Faiqah meluru keluar daripada bilik Fauzul.Kunci kereta digapai,Faiqah terus memandu.Sepanjang perjalanan dia menangis.Tidak tahu ke mana tujuan.Bukan ke kampus.”Salam Ti,aku balik lewat sedikit.Ada urusan,”mesej dihantar.
’Maafkan along,angah,’Fauzul bersuara lemah.’Ya Allah,ampunkan aku,’luncur kalimah itu dari bibirnya.Telah lama dia hidup membelakangkan kewujudan Allah.’Ya Allah,aku berdosa.Aku hina.’Fauzul menangis atas kealpaan.
...................................

”Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada nirwana semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh,pembentukan keimanannya dan pentarbiyyahan kejiwaannya.”

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah,
nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar
dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan
(dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Al-Anfal:29)

Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan
meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari
perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak
disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)

“Ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).”

Faiqah membesarkan suara corong radio.Dia tertarik dengan ceramah seorang ustaz pada radio yang sedang terpasang di bilik.Ibtisam tidak kelihatan.Tangannya pantas menggapai pen dan buku catatan,menyalin bait-bait perkataan dari mulut ustaz walaupun banyak yang kurang difahaminya.

Ibtisam masuk.”Pukul berapa kau sampai Fai?.”
“Baru sekejap,”jawab Faiqah ringkas.Telinganya khusyuk mendengar ceramah di radio,tangannya pantas mencoret.Tidak berpaling kea rah Ibtisam.Ibtisam membiarkan,tidak mahu menganggu.
“Alhamdulillah.Semoga Allah berikanmu hidayah,Fai,”syukur Ibtisam.Berbisik sendiri.Senang melihat Faiqah semakin banyak berubah.Dia tahu sahabatnya itu sedang bermujahadah,mendapatkan hidayah Allah,menjadi muslimah sejati sibghah alquran.

“Sayyid Qutb menyatakan dalam menafsir surah Anfal ayat 29: “Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup,
membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan mengampun dan memaafkan sebarang kesalahan,bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan,bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian.”

“ Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai,difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”


”Demikianlah saudaraku! Sepenting-penting jalan untuk menyucikan roh ketakwaan, menyuburkannya di dalam hati dan jiwa para mukmin serta dapat disebatikan di dalam perasaan dan kesedaran mereka:
Melalui perjanjian — kamu beristiqamah di atas syariat Allah.
Dengan muraqabah — kamu merasakan keagungan Allah ketika nyata dan tersembunyi.
Dengan muhasabah — kamu membebaskan diri kamu dari kejelekan nafsu dan menunaikan segala kewajipan terhadap Allah dan hamba-Nya.
Dengan mu’aqabah — kamu memisahkan diri kamu dari sebarang kesilapan dan menggerakkannya di atas sikap muraqabah dan muhasabah.
Dengan mujahadah — kamu membaharukan bagi diri kamu sifat kecergasan dan menghapuskan darinya segala keinginan kepada keduniaan.”

”Bahkan dengan keseluruhan jalan-jalan ini, ketakwaan adalah merupakan satu kebiasaan bagi kamu dan satu tingkah perlakuan yang asal dan segala tingkah perlakuan kamu.
Bahkan dalam pada itu sampailah kamu dengan kehendak Allah juga kepada naungan kemuliaan, kemuncak kebaikan dan setinggi-tinggi martabat.”

Faiqah memandang Ibtisam.Suara radio diperlahankan setelah selesai ceramah.Ibtisam sedang bersiap,membaiki tudung labuh di kepalanya.
”Ish Fai,kenapa pandang aku macam itu?”
“Kau nak ke mana bersiap ni?”,Faiqah mengalihkan topik.Segan pula bila Ibtisam menyedari yang dia memandang Ibtisam lama.Kepalanya ligat berfikir.Dia suka tengok Ibtisam bertudung,ayu dan sopan.
“Aku nak ke kafe sekejap,beli makanan makan malam.”Ibtisam menyarung sarung kaki coklat ke kaki.


“La,tak usahlah.Aku dah belikan yong tau fu kegemaran kau,khas untuk kau.”
Ibtisam tersenyum.”Ingat juga kau pada aku ya.”Ibtisam sangat menyenangi Faiqah.Faiqah tidak pernah sombong walaupun anak berada,dikenali ramai.Persahabatan sangat tinggi nilainya bagi Faiqah.Tidak pernah sekali pun Faiqah menyakiti hatinya dan kawan mereka yang lain.Ibtisam turut banyak teladani sikap Faiqah yang pada dirinya masih kurang.


”Mestilah.Mana boleh lupa pada ustazah senyuman menawan ini,”Faiqah senyum meleret.Usikannya ikhlas.Walaupun Ibtisam tidaklah sejelita dia,jadi buruan lelaki.Tapi dia cemburu dengan senyuman menawan Ibtisam.Ibtisam sangat cantik di matanya.
”Tengok,mengelamun lagi.Ada yang pelik ke pada muka aku ini,Fai?”Pelik Ibtisam dengan tingkah Faiqah.
”Aku sudah lama nak tanya,apa maksud nama kau Ti?Ibtisam..pelik tapi menarik,”
”Owh,maksudnya senyuman.”

”Ooo..Patutlah bila kau senyum boleh jatuh jantung kaum Adam,”gurau Faiqah ceria.Tapi Ibtisam bukan jenis suka tersenyum sesuka hati di depan lelaki.Senyumnya sekadar keperluan dan tidak menunjukkan kesombongan.Faiqah sedar akan hal itu.Ibtisam sangat menjaga keperibadian muslimahnya.
”Ada sahaja kau ni,Fai.Segala puji bagi Allah yang menciptakan.Erm,apa yang kau salin tadi Fai?”Ibtisam kurang senang dipuji.

”Aku salin tentang takwa.Tapi aku kurang fahamlah.Apa maksud takwa yang sebenarnya ya?,”Faiqah mengambil buku catatannya,membaca kembali.Hatinya terusik dengan ceramah ustaz itu.Dengan bertakwa,Allah akan tunjukkan jalan keluar daripada kesusahan,berikan rezeki yang tidak disangka-sangka dan diampunkan dosa.’Sebesar itukah ganjaran Allah berikan kepada orang bertakwa?’Faiqah tertanya-tanya.Ceramah itu seperti menunjukkan jalan kepada dia untuk keluar dari masalah dan tekanan yang dia hadapi.

...bersambung...

'Hayya 'ala alFalah'


Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar ( haq) atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.
Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah al-falah melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan al-fawz pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan al-nasr pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya.

A. Kemenangan di Dunia

Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang.

Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.”

Ulama’ sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:
Maksudnya:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”

Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:
a) Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memeang tampuk pimpinan.
b) Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya wewenang untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.
c) Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

B. Kemenangan di Akhirat

Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sbenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Allah s.w.t. menawarkan kemenangan di dalam firmanNya dalam Surah al-Saff ayat 10 – 12:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.”

Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara:
a) Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat
b) Mendapat keampunan dari Allah s.w.t. atas segala dosa yang telah dilakukan
c) Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai
d) Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di syurga yang bernama ‘Adn

C. Kemenangan Adalah Janji Allah

Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur tadi dimulakan dengan lafaz wa’ada bermaksud ‘telah menjanjikan’, di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya. Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad s.a.w., bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. sejak zaman Nabi Daud a.s. lagi.
Firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 105 Surah al-Anbiya’:
Maksudnya:
“Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.”

Janji Allah s.w.t. ini disebut pula dalam hadith Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:
Dari Tamim al-Dari katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di Bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkanNya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran.” Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.”

Hadith ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan RasulNya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya pembukaan-pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. hingga kurun ke-14 Hijrah.

D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara pnting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideology dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubungkait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan.

Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 10 Surah Ali ‘Imran dan 126 Surah al-Anfal:
Maksudnya:
“Dan tiadalah pertolongan kecuali dari Allah.” (Al-Anfal: 126)

Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah s.w.t. mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.

Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dialah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain.
Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26:
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.”

Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.

Perjuangan Tiada Noktah



HAKIKAT PERJUANGAN

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. katanya: Sesungguhnya seorang lelaki Badwi iaitu Arab desa datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Allah SWT sendiri menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah s.a.w. kepada manusia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dialah (Allah) yang telah mengutus rasulNya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkanNya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.” (al-Saff : 9)

Al-Maududi menyatakan:
“Sebagaimana halnya dengan din-din lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh urusan mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana kalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis.”

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalm konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai,melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah.

Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:
Maksudnya: “Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah .”

Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela.

Firman Allah s.w.t. Surah at-Taubah, ayat 40:
Maksudnya:
“Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimat Allah itulah orang-orang tinggi.”

TIADA NOKTAHNYA

Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya.

Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah s.a.w. ialah apabila baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah La ilaha illa Allah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata:
Maksudnya:
“Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang ‘ajam (bukan Arab).”

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas nabi-nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w. sendiri ditentang bukan kerana peribadi baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal.”

Semoga rahmat dan nusroh Allah bersama insan-insan yang ikhlas berjuang di jalanNya..amin..

Monday, July 07, 2008

PROTES 2008 MENGECEWAKAN


Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Demi Allah yang diriku berada di tangan (dalam Kuasaan-NYA) hendaklah kamu menyuruh yang makruf dan melarang kemungkaran; jika tiada Allah akan menimpa ke atas kamu siksa-Nya, kemudian kamu berdoa kepada-Nya tetapi doa kamu tidak akan diperkenankan.” [Hadis Riwayat Abu Daud.]

SUASANA KECOH




PROTES 2008 yang menjanjikan kehadiran 1 juta rakyat yang bersatu hati menentang kezaliman sekadar tinggal sebuah kekecewaan...Di manakah silapnya?..angka bukanlah menjadi ukuran, tetapi yang lebih disesalkan dengan 'program' PROTES yang di anjurkan..Walaupun saya tidak turun bersama kerana dilanda wabak demam, mungkin ada hikmahnya..

Demonstrasi di dalam Stadium Kelana Jaya, pada awalnya telah menjadi kepelikan..siapakah yang akan melihat hasrat hati rakyat?? Berbanding DEMO BERSIH diadakan di jalanan, perarakan menuju Dataran Merdeka yang dihadiri ratusan ribu rakyat..

Konsert Demonstrasi pertama kali diadakan seperti jom heboh, tidak hairan mengapa unit amal dan pemuda PAS menarik diri..Ditambah dengan pemakaian,penampilan dan aksi yang tidak senonoh daripada penyanyi telah menimbulkan kekecohan dan kontroversi...sungguh memalukan..

"Penonton di Stadium Kelana Jaya bertindak membaling botol air ke arah pentas kerana membantah tindakan penyanyi kumpulan Carburator Dung menunjukkan punggung ke arah mereka.

Peristiwa berlaku ketika penyanyi tersebut menyampaikan lagu terakhir bertajuk Jilat. Selain beberapa kali menunjukkan punggung, penyanyi itu turut menarik-narik seluar dalamnya."
(petikan dari kampusnegara.net)

Nauzubillah..moga kita dijauhkan dari laknat Allah

PERBANDINGAN JOM HEBOH

PROTES 2008 boleh ditukar kepada JOM HEBOH 2008...JOM HEBOH di Stadium Kelana Jaya dihadiri 5000 rakyat..tetapi JOM HEBOH pada hari yang sama di Danga Bay, Johor Bharu dibanjiri 500,000 peminat...rakyat masih belum sedar....