Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Thursday, November 26, 2009

my dearie Zinnirah Hannah

Sunday, November 08, 2009

::Mencari Pertengahan Dasar Keilmuan::

Akhir2 ini, kecoh isu Dr.Asri ditangkap oleh JAIS atas tuduhan berceramah tanpa tauliah di sebuah rumah.Saya agak terkejut bila melihat siaran berita itu.Isu ini terus berlarutan dengan tuduhan Dr.Asri memalsukan sijil BA beliau di Jordan.Diasak pula dengan memorandum dari PPSM(Persatuan Peguam Syarie Malaysia) juga JAKIM membantah pelantikan Dr.Asri di YADIM . Saya agak terpempan.Benar saya kurang mengenali siapa Dr.Asri.Saya kurang mendengar ceramah2 beliau.Siaran Bahtera Penyelamat di astro oasis yang saya sekali-sekala ikuti,saya akui ketinggian ilmu dan kupasan beliau yg cukup ilmiah bagi sesuatu topik,sesuai dengan statusnya kini.Tapi tidak kurang juga,seingat di awal saya mengenal erti perjuangan ini,saya sering didengarkan dengan isu Asrisme,Dr.Asri wahabbi dan sebagainya di mana ketika itu beliau banyak membawa isu2 bidaah.Apabila kontroversi Dr.Asri kembali timbul,saya tidak tahu mana kebenarannya.Ada di kalangan sahabat cukup mengagumi Dr.Asri,ada di kalangan sahabat cukup anti Dr.Asri.Saya cuba berada di pertengahan kerana saya belum temui sebarang jawapan yang saya kira saya lebih cenderung pandangan yang wasatiah dan pertengahan.

Ada dua blog saya baca yang setakat ini menenangkan sedikit minda saya,dua individu yang dikira kenal baik dengan Dr.Asri(bukan bermaksud saya taasub,menerima 100%..tapi mencari kebenaran dgn pertengahan)

SaifulIslam.com(Justifikasi Teman)

Di Bumi Syam, saya bukanlah insan yang paling rapat dengan Ustaz Asri. Sesuai dengan jarak universiti pengajian saya yang ratusan batu di seberang lembah kering membelah sahara, pertemuan kami yang terbaiknya hanya sekali seminggu. Teman-teman lain yang ‘bertuah’ dikurniakan peluang mengaji di Amman, lebih berkongsi talam hidangan dan tikar bualan bersama Ustaz Asri.

Namun entah di mana titiknya, antara saya dan beliau ada sesuatu yang lebih daripada kenalan.
Teringat saya ketika pulang bercuti ke Malaysia pada suatu ketika, saya berkunjung ke Taman Melewar sebagai pemerhati Muktamar. Seorang super senior menyampuk saya, “hah, Hasrizal, anta orang Asri kan? Dengar khabar dia sekarang ini sudah masuk UMNO. Apa cerita?”
Muka saya merah padam.

Tetapi sentuhan Bumi Syam sudah banyak meredakan baran saya yang banyak mengundang susah. Saya menggigit lidah dan membalas ringkas, “kalau mahu tahu tentang Ustaz Asri, tanyalah yang empunya diri. Ana tidak tahu menahu!”

Ilmiah dalam menadah kitab, ilmiah semasa hadir ke kuliah, ilmiah semasa berbahaskan khilaf, ilmiah juga dalam soal dakwah dan berjamaah. Uniknya ialah, Ustaz Asri tidaklah bersendirian berpegangan demikian. Malah ia adalah pegangan sesiapa sahaja di Jordan yang serius dengan pengajian. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ketika kami di tahun satu pengajian, kami sentiasa mengagumi para senior yang kemas ilmu pengetahuannya.

Tetapi Ustaz Asri adalah Ustaz Asri. Sesuatu yang tidak pernah berubah bermula daripada hari pertama saya mengenalinya. Dua sifatnya yang paling menonjol ialah beliau sentiasa berpendapat berlapikkan hujah, dan sifat peribadinya, pantang dicabar.
Adakalanya kami jadi letih dengan asakan-asakan yang ditujukan kepadanya kerana sebahagiannya lebih bersifat ’sengaja mencari penyakit’.

Selepas masa berlalu, banyak yang terjadi.
Selepas pulang ke Malaysia tamat mastautin di bumi Ireland, saya ada dikunjungi oleh Ustaz Asri yang datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Seminar Usul Fiqh yang diadakan di Bangi. Beliau hadir bersama Ustaz Arief Salleh iaitu teman serumah saya semasa kami mengaji di Jordan dahulu.
Ustaz Arief sudah menjadi Pensyarah di UTM Skudai..
Manakala Ustaz Asri baru selesai menamatkan pengajian peringkat PhD beliau di UIAM dan berkhidmat sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang.
Kami berbual tentang perkembangan semasa. Turut terselit adalah isu tentang kepimpinan PAS yang dilihat lemah pasca kekalahan teruk di dalam Pilihanraya Umum ke-11 tidak lama sebelumnya. Saya menegaskan bahawa PAS itu ada hampir sejuta ahli dan jika kita nampak kelemahan mereka, kita mesti menjadi sebahagian penyelesaiannya.
“Takpa la. Ana doakan anta!” kata Ustaz Asri dengan nada berseloroh.
“Takkan doa aje. Buatlah apa yang patut!” saya menambah.
Kami tidak bersembang berat kerana ia lebih kepada pertemuan untuk menjalin kembali silaturahmi yang terputus selepas lama mastautin saya di Eropah

TehraniFaisal.Blogspot.com(Lintasan Hati)

Saya manusia biasa. Jadi ada lintasan hati.Saya masih ingat pada hari seorang penulis muda bernama Khairun Nasriah memberitahu saya yang Mufti Perlis (sekarang bekas), Dr Mohd Asri Zainal Abidin 'menuduh' saya syiah. Bingung sekejap saya. Kerana serta merta nostalgia saya di Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS) kembali. Beliau antara naqib yang saya kagumi. Malah saya pernah mengekornya ke Taman Melewar untuk berusrah secara rahsia dengan Ustaz Yahya Othman, Ustaz Yaacob Hussain dan ramai lagi. Dalam hati saya memikir, masakan ustaz Asri serkap jarang seperti ini. Apatah lagi keluarga isterinya mengenal ibu bapa saya selaku aktivis sebuah parti di Melaka.

Akan tetapi bila saya dihubungi oleh 'seorang syed' menerusi telefon yang mengesahkan khabar yang dibawa oleh Khairun Nasriah tersebut, hati saya serta merta berasa kecewa. Syed tersebut memberitahu yang beliau ingin menyaman ustaz Asri kerana ustaz tersebut dikatakan 'menghina' keturunan para syed dan syarifah di negara ini. Saya hanya mendengar. Kemudian, syed yang saya tidak pernah temui itu mengutus emel, berserta klip video, rakaman ceramah Dr Asri menuduh saya syiah di sebuah masjid dalam satu kuliah maghrib di Perlis.

Saya masih menyimpan klip video tersebut sampai sekarang.Vonnis in absentia. Saya dihukum tanpa dapat membela diri. Dan serta merta tuduhan itu merebak menjadi dakwaan yang diyakini benar ramai orang. Termasuklah ramai teman-teman di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya bahkan diberitahu yang tuduhan itu bukan sekali, tetapi dibuat berkali-kali di banyak tempat. Bukti-bukti lain dibawa oleh orang. Saya malah dihubungi sekian peguam yang berasa bakal dapat membuat untung besar jika saya memilih untuk menyamannya.

Tidak pernah dalam sejarah kesusasteraan tanahair seorang mufti menuduh karya seorang sasterawan sebagai 'sesat'. Saya merasa itu semua. Jika saudara tidak merasa ia tidak serius tidak apa. Tetapi saya sempat merasa hidup dipandang serong oleh orang kerana yang "menfatwakan saya sesat" bukan calang-calang orang. Ada karya saya yang menang hadiah ditarik balik kerana tuduhan ini. Dan saya seorang diri. Tiada Pena. Tiada Gapena. Tiada Kelab MPR. Tiada kawan-kawan di DBP, termasuk yang mengaku kawan sampai mati di Bahagian Majalah. Tiada. Nihil.

Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan; saya membaca berita-berita Dr Asri mempertahankan dirinya bukan wahabi, isu perlantikannya di YADIM, dan paling menggemparkan berita penahanan beliau oleh pegawai JAIS.

Entah mengapa saya terkenang semula lintasan hati saya lama dulu. Dan saya membuka semula klip video tersebut. Menontonnya beberapa kali. Dan lintasan hati saya yang pernah disertai selawat itu dahulu kembali muncul terjelma dalam benak dan jiwa saya.Saya tidak mahu mengatakan saya gembira terhadap apa yang menimpa Dr Asri. Beliau pernah menjadi naqib usrah saya di KISAS. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Tetapi ketidakadilan vonnis in absentia yang menimpa saya kini menjadi kitaran buat beliau.

Saya ingin menegaskan, saya membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia wahabi, salafi, syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori. Setiap sekolah pemikiran tidak boleh diharamkan dan dihalang sedemikian rupa. Ia hanya boleh dilawan dan dibantah dengan teori dan gagasan lain pula. Ia mesti diperdebatkan secara akademia. Jika ia (aliran tersebut) ditakdirkan 'kalah' maka ia akan mati dan luput begitu sahaja seperti yang telah menimpa sekolah pemikiran Muktazilah, Jabariyyah, Qadiriyyah dan Ibadi. Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.

Sedikit rujukan yang saya bawakan,saya yakin pasti banyak lagi pandangan2 lain yang boleh dijadikan rujukan,pandangan dari yang lebih berautoriti,dipercayai,tinggi ilmunya dan hebat amalannya.Tidak kurang juga saya menjelajah ke site2 yang lebih keras menentang Dr.Asri,namun saya mengambilnya sebagai kutipan ilmu dan pandangan bukan pegangan.Sama seperti ke dua2 site yang saya bawakan di atas.Wallahualam.

Firman Allah swt dalam Alhujurat:6
'Wahai orang2 yang beriman!Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita,maka telitilah kebenarannya,agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan(kecerobohan),yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu'

Langkah Tercipta



Langkah Tercipta
Album : Langkah Tercipta
Munsyid : UNIC
http://liriknasyid.com


Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan.

Mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

ALLAH..
inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,

Haruskah aku mengalah,
namun hati kuberbisik,
inilah dugaan.

Dan mataku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),

Tak dilontarkannya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

ALLAH..
pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku.

Kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
PadaMU ku meminta.

Daku mohon agung kudratMU,
Wahai Tuhan yang Satu,
Segalanya dariMU.

Friday, November 06, 2009

::Novel Ubaidah (part 4)

Mimpi Ubaidah
“Kita dalam bahaya!! Puak Cassemen telah membunuh ramai saintis-saintis kita!! Apa yang perlu kita lakukan, abang??” Prof. Farwah cemas. Bunyi tembakan-tembakan peluru berpandu menakutkan Prof. Farwah yang sedang mengendong bayi kecil berusia 3 bulan. Wajah tulus anak kecil dipandang dengan sayu, bimbang akan nasib anak yang baru sahaja melihat dunia.

“Jangan panik, Farwah. Kita adalah pusat terakhir mereka akan serang. Sorokkan Ubaidah ke tempat yang selamat dan tinggalkan notis di sisinya. Jangan lupa, letakkan sekali hasil kajian dan manual rekacipta i-Dcom kita. Mereka mahukan ciptaan kita ini,” Professor Zanqi bertindak tenang, tangannya menekan punat papan kekunci komputer. Mesej pesanan terakhir di hantar kepada saudaranya di lain kota.

“Tapi, bagaimana dengan Ubaidah jika mereka memusnahkan rumah dan pusat kajian kita?”
“Mereka tidak akan musnahkan tempat ini.Pusat kajian dan hasil kajian kita adalah buruan mereka. Mereka tidak akan bertindak bodoh dengan memusnahkannya. Cepat, Farwah! Walau apa-apapun, hanya tinggal kita berdua. Pergi ke pusat kawalan, lihat pergerakan musuh.Abang akan berhadapan dengan mereka,” Prof. Zanqi bersiap sedia.

“Pang!!!” tempat mereka telah diceroboh. Belum sempat Prof. Zanqi bertindak, tembakan bertubi-tubi mengena tepat ke tubuhnya. Prof. Zanqi tersungkur rebah dengan banjiran darah pekat membasahi lantai.

Prof. Farwah di pusat kawalan berpeluh-peluh. i-Dcom yang digunakan memancarkan segala kejadian yang berlaku di kota mereka. Signal kehadiran musuh semakin menghampiri menyala-nyala di i-Dcom. Lantas Prof. Farwah mencapai senjata, bersedia. i-Dcom digenggaman ditutup. Debaran di hati bertambah kuat.

“Zuuuuuuuupppp!!!” tiba-tiba sebutir peluru menembusi kepala Prof. Farwah. Pandangannya gelap.

‘Musnahkan i-Dcom. Jangan biarkan mereka memilikinya!’ pesanan suaminya terngiang-ngiang. Picu senjata ditekan dalam keadaan lemah berkali-kali, memusnahkan i-Dcom di hadapan mata tentera Cassemen. Dia terkulai, menghembuskan nafas terakhir.
................................................................................................................................................

”Abi!!!,” peluh membasahi rambut dan ruang muka Ubaidah. Tragedi pembunuhan itu menganggu tidur Ubaidah. ’Siapakah mereka itu?’. ’Kenapa mereka dibunuh?’
Sudah 3 kali mimpi buruk itu menganggu Ubaidah. Sejak dia berusia 5 tahun. Kali ini, tragedi itu nampak lebih jelas. Dan dia boleh melihat seorang bayi diselamatkan, ditempatkan di ruangan khas.

Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Turkistan Timur, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar dan juga Sudan. Jika dilihat secara sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang ber­lainan. Orang-orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang-orang Rusia di Caucasus, dan rejim-rejim penindas yang menentang umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir, dan Maghribi. Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada perkaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa, dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua anti agama.”

”Kuasa-kuasa yang menafikan kewujudan Allah itu dan melihat agama-agama ketuhanan - terutamanya Islam, satu-satunya agama yang korup - sebagai musuh paling berbahaya kepada sistem sekular mereka dan seterusnya mengisytiharkan perang keganasan terhadap agama dan mereka yang beriman, sebenarnya mewakili ideologi-ideologi ateis. Inilah sebabnya mengapa musuh sebenar Islam bukannya orang-orang Serbia, Hindu ataupun pelbagai rejim-rejim penindas yang lain, tetapi adalah pegangan tidak beragama yang menyelubungi dunia ini. Dasar peperangan menentang Islam tersebut berakar-umbi daripada ateisme dan telah bermula sejak sekian lama.”
>>bersambung<<

::Novel Ubaidah (part 3)

Syautath si psikik, Ubaidah si pemikir
”Syautath, kau tengok ini. Gelombang membujur menyebabkan getaran zarah-zarah medium selari dengan arah gerakan gelombang,” jari telunjuk Ubaidah fokuskan kepada gambarajah gelombang dalam eksiklopedia.

Dahi Syautath berkerut.” Apa yang kau melalut ini, Ubaidah?”
”Aku bukan mengarutlah. Inilah disebalik kehidupan kau sebagai hafiz, kau tahu?”
” Aku tidak tahulah. Lagipun cikgu Safiyyae belum ajar lagi. Jomlah balik. Nanti umi aku marah balik lambat,” Syautath beristighfar dengan nguapannya.
” Teruklah kau ni, Syauth. Siang-siang macam ini pun mengantuk.”
” Aku lapar sebenarnya. Kau cerita pada aku lain kali ye,” Syautath tersengih menampakkan kaviti.
” Owh, kau tidak puasa ya hari ini. Okaylah, jom balik.”
” Syhh, jangan bising. Nanti walid marah. Aku gastrik pagi tadi,” pesan Syautath yang nakal. Teman sepermainan Ubaidah. Dua anak itu berjalan pulang ke rumah daripada perpustakaan sekolah.

” Ubaidah, kau ini sejak kita kawan, selalu cakap benda pelik-peliklah. Susah aku hendak faham,” Syautath mengomel, mendakap mushaf di dadanya.
” Apa kata kau sambung cerita kau tadi. Tidaklah kita buang masa sambil jalan macam ini,” sambung Syautath lagi.
” Bukan peliklah, Syauth. Itu kan ilmu. Baiklah, aku sambung ya. Gelombang itu ada kaitan dengan alquran yang kita baca, hafal tahu. Itu penjelasan yang disebut secara saintifik,” Ubaidah pintar, banyak membaca bacaan melangkaui usianya.
” Saintifik?” Syautath menggaru kepalanya. Kopiahnya senget.
” Gelombang melintang pula gelombang yang menyebabkan zarah-zarah medium bergetar berserenjang dengan arah gerakan gelombang. Pengkaji fizik mengatakan setiap jisim itu ada gelombangnya yang tersendiri, iaitu zarah dan getarannya tersendiri. Ha, begitulah dengan bacaan Al-quran. Kita kan diajar tajwid, tarannum, ada getarannya. Membaca Al-Qur'an bertasbih dan berzikir, dan dalam pembacaan itu berlaku keseimbangan yang harmoni antara gelombang dari pembacaan itu dengan gelombang yang ada pada sel-sel lain yang ada didalam badan kita, termasuklah gelombang otak dan gelombang dari denyutan jantung.”
“Otak kiri ialah otak menganalisa dan melakukan sesuatu kerja mengikut aturan. Apabila kita membaca Al Qur'an, secara sendirinya kita akan berhati-hati dengan tajwid, sebutan serta tempat berhenti. Bagi mereka yang ingin bertaranum dan memasuki musabaqah, lebih lagilah menganalisa, lebih teratur susunan bacaan dan lagunya serta mengatur pernafasan. Dengan ini secara secara tidak sedar, kita telah mengaktifkan otak kiri. Sebaliknya mereka yang menghafal ayat-ayat al-Qur'an dengan kaedah membayangkan bentuk huruf, bermakna otak kanan pula lebih terangsang. Inilah disebut hafazan.”
”Wah, hebatnya!! Lebih hebat daripada bermainkan, Ubaidah,” Syautath kagum.
”Betul! Aku tambah sedikit lagi, hasil kajian saintis, orang yang sentiasa merangsang otaknya terutama otak kiri, boleh mencegah dari mendapat penyakit nyanyuk ( dimentia) atau berfikiran celaru ketika mudanya. Kelajuan gelombang ialah hasil darab frekuensi dan panjang gelombang, iaitu kekerapan pengulangan dalam bacaan dan panjangnya bacaan seperti dalam nilai harakat dan kawalan pernafasan. Semakin laju gelombang bacaan, semakin sihatlah otak dan jantung kita. Apa macam? Boleh terima tidak cerita aku, Syauth?” Ubaidah menjungkit keningnya. Puas dapat bercerita.
” Boleh, boleh sangat. Tidak sangka aku, sains ini hebat. Ada kaitan dengan diri kita,” Syautath mengalihkan paku tajam menghalang laluannya.
” Yelah, sainskan dari Islam. Mestilah hebat. Ilmu Allah untuk kehidupan manusia,” Ubaidah menyapu debu-debu di kopiahnya.
” Owh, aku ingatkan ciptaan barat. Yelah, barat kan maju dalam sains ini. Kalau sejarah ciptaan pun, nama-nama tokoh barat yang popular. Lepas ini aku hendak belajar sungguh-sungguhlah sains dengan Cikgu Safiyyae.”
” Bohongan semua itu, Syauth. Ha, kau tahu, inilah peranan kita sebagai muslim. Betul kan? Lebih-lebih huffaz macam kau ini,” senyum Ubaidah.
” Betul. Walid selalu pesan. Ubaidah, kau ini boleh jadi saintislah. Bukankah kau ini sebenarnya anak saintis yang hebat?” Tiba-tiba Ubaidah tunduk dan membisu. ‘Anak saintis?’ Dia tidak pasti. Abi Aqid tidak pernah bercerita sepenuhnya kepada dia.
” Err, Ubaidah! Maafkan aku kalau tersilap cakap,” Syautath sendiri kurang pasti. Dia sekadar terdengar perbualan walid dengan Abi Aqid.
Kedua anak muda berusia 9 tahun itu saling membisu sehingga tiba untuk berpecah, pulang ke rumah masing-masing. Dua sekawan yang hidupnya dipenuhi dengan ilmu dan tarbiah Islam. Pemikiran sudah menuju kematangan di awal kanak-kanak. Waktu main dijaga dengan penuh disiplin. Begitu juga dengan jadual hafazan mereka. Syautath, anak Imam Abbas Zuhair kenalan rapat Sheikh Waqid. Syautath mempunyai kelebihan kuasa telepati, boleh mengawal kawalan otak manusia secara psikik. Anak yang riang,nakal dan lebih suka bertindak daripada banyak berfikir. Berbeza dengan Ubaidah, suka membaca, berfikir dan merenung alam semulajadi serta setiap tingkahnya ada hujjah.

Wednesday, November 04, 2009

::Novel Ubaidah(Part 2)::

Rahsia 2:132
Albaqarah 132 : ‘Ibrahim telah berwasiat kepada anak-anaknya dengan agama itu dan Ya’qub: Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih (agama) Islam untukmu,maka janganlah kamu mati, melainkan dalam keadaan muslim.

Baru kini difahami Sheikh Waqid maksud disebalik nombor 2:132 yang tertera pada kiriman faks Allahyarham Zanqi dahulu. Amanah kepadanya untuk memelihara dan mendidik Ubaidah dalam suasana Islam, menjadi muslim sejati. Kota Caisser, adalah jajahan sekular. Kota Caisser, tempat asal Zanqi, berusaha mencetuskan revolusi membawa kembali Islam,menyatukan saintis islam. Kota Caisser, walaupun dikuasai pemerintah Islam, tetapi dinaungi oleh kuasa Yahudi dan sekularisme menjadi pegangan.

Kini Ubaidah selamat bersamanya di sebuah kawasan terpencil, kawasan penduduk Islam yang masih berpegang teguh dengan akidah yang tulen, jauh dari Kota Caisser ibu kota negara Ashyf yang juga tanahair Sheikh Waqid, ulama’-ulama’ dan muslim setempat di kawasan terpencil, Sohara.

’Sheikh, Zanqi telah berpesan kepadaku, pada usia Ubaidah 11 tahun, Ubaidah perlu dihantar kepadaku,’ Sheikh Waqid menarik nafas dalam mendengar kata-kata Adam Nelson, abang kandung Zanqi yang berpegang kepada Talmut.

Barylien, negara Sir.Jeneral Adam Nelson yang tidak pernah berhenti untuk memerangi Islam. Yahudi yang tidak lagi mempercayai tuhan, atheism menjadi pegangan, materialisme dan kapitalisme didewakan. Yahudi membelakang tuhan berkurun-kurun lalu, membunuh nabi-nabi dek kerana kesombongan dan keangkuhan. Dan kehebatan sains teknologi dilaungkan adalah milik mereka, kehebatan mereka. Sungguh bongkak, sedangkan hakikatnya sains milik Islam. Kebenaran itu mereka sedari, kerana itulah saintis Islam yang tulen digeruni lebih-lebih dengan usaha Prof. Zanqi Aftah dan isterinya, Prof. Nihlah Farwah sejak bertahun-tahun yang lalu untuk memperkasakan kesatuan saintis Islam, ISS (Islamic Sciencetist Solidarity). Apatah lagi jaringan itu cuba diperluaskan dengan kerjasama kesatuan ulama’ sedunia. Pastinya Yahudi tidak akan berdiam diri. Tiada yang lebih menyelesakan mereka, melainkan hanya dengan bayaran darah dan nyawa.

Berat rasa di hati untuk dia melepaskan Ubaidah ke negara Yahudi itu suatu hari nanti. Mahu atau tidak, adiknya Farwah dan Zanqi semestinya telah menyediakan yang terbaik untuk Ubaidah, pewaris meneruskan usaha mereka yang telah dimusnahkan oleh tentera junta Barylien. Adam Nelson, bekas pegawai atasan Barylien adalah pilihan terbaik untuk melindungi keselamatan Ubaidah daripada buruan dan kecaman mereka.

::Novel Ubaidah (Part 1)::

Nota penulis : Novel ini terhenti sekian lamanya,tiada kesempatan,ruang dan idea untuk memeras otak,mencari rujukan dan menulis.Awalnya adalah utk dihantar dalam peraduan novel fiksyen DBP dan utusan bersama 2 lagi sahabat..tapi terhenti hanya di sini...Dipaparkan untuk bacaan umum..masih tergantung jalan ceritanya..Entah bila akan tersambung...


Sheikh Waqid Faruqi
Bunyi mesin faks bergema di ruang bacaan Sheikh Waqid Faruqi. Malangnya bilik itu tidak berpenghuni. Sheikh Waqid telah ke negeri timur menghadiri perjumpaan ketua pemimpin seminggu yang lalu. Anak isterinya dihantar pulang ke kampung halaman bagi menjamin keselamatan mereka. Tertera 2:132 pada kertas faks yang masih panas itu.

Puas Sheikh Waqid berfikir tentang kandungan faks yang dikirim oleh adik iparnya sebulan yang lalu. 3 angka yang tertera itu benar-benar membuatkan dia gelisah. Berhari-hari dia cuba menghubungi Zanqi, namun gagal. Hari ini dia bercadang hendak ke Kota Caisser melawat Farwah dan adik iparnya, Zanqi. Hatinya benar-benar runsing dan gelisah.

2:152 :’Maka ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu dan berterima kasihlah kepadaKu dan janganlah kamu menyangkal (nikmatku).’

Spasme (pembuluh darah) Sheikh Waqid bagaikan menyempit, serasa adrenalin makin luncur dirembeskan, penyempitan trombosit mendadak membuatkan jantungnya hampir terhenti, bebola matanya terpacul sinar,ligamen tegang… Kediaman adiknya,Farwah dan Zanqi tinggal abu dan debu!!

Otot kardium mengecut pantas, jantungnya berdegup kencang, namun dia cuba menenangkan hatinya dengan istighfar tidak lekang dilafazkan. Sheikh Waqid terus melangkah ke pusat makmal Zanqi, derapannya dilajukan. Sekeliling seolah-olah memerhatikan tingkahnya yang tampak mencurigakan barangkali. Ditambahkan pula dengan imejnya menampakkan seorang muslim.
‘Argh..pedulikan. Barat sentiasa pesimis terhadap Islam,’bentaknya sendiri. Dia terus melangkah tanpa mempeduli. ’Adakah masyarakat barat peduli tentang masalah sekeliling dan sensitiviti agama? Individualistik semakin berbekam dalam setiap hati. Pasti tidak dipeduli,’ Sheikh Waqid berkira-kira lagi. Serebrumnya tidak henti-henti berputar, berfikir tanpa penat.

Iris sistem simpati berubah ke tahap maksimum, anak matanya yang kecil itu hilang sepetnya. Ternyata sesuatu yang buruk telah menimpa Prof.Zanqi dan Prof.Farwah! Dan Ubaidah? Binaan makmal yang kukuh itu hampir musnah. Kedudukannya yang terpencil memungkinkan tiada siapa menyedari tragedi ini.
’Abang, Zanqi nak abang ingat pesan Zanqi ini. Apa-apa hal yang terjadi, abang cari dan selamatkan Ubaidah di tempat ini,’ jemari Zanqi pantas melakarkan gambarajah di atas kertas putih.
’Abang simpan kertas ini baik-baik. Abanglah satu-satunya harapan Zanqi.’
Sheikh menyeluk poket bajunya. Kosong! Dia mencari lagi, kertas itu ternyata hilang. Amanat daripada Zanqi beberapa bulan yang lalu telah hilang. Matanya rapat ditutupkan, membayangkan semula lakaran tempat Ubaidah disorokkan. Dia pasti, Ubaidah masih ada di situ.
Gegaran mobilnya sedikit menyentakkannya. ’Assalamualaikum Alfadhil Sheikh Waqid alFaruqi. Takziah atas pemergian Prof. Zanqi Aftah dan Prof. Nihlah Farwah. Alhamdulillah kami sudah selamat menyempurnakan pengebumian jenazah semalam.’
Hairan terbit, semalam? Tarikh mesej dihantar diperiksa, sudah 3 hari yang lepas. Mesej itu baru diterimanya. Masalah talian semasa dia dalam perjalanan, mungkin.
’Alhamdulillah. Sahabat-sahabat Zanqi telah menguruskan segalanya.’

’Abi Aqid, Ubaidah sudah dapat hafal juz 2!’ Terpaan Ubaidah dengan tiba-tiba mengejutkan Sheikh Waqid dari lamunan kisah lampau. 5 tahun telah berlalu. Ubaidah semakin membesar, kepintarannya semakin terserlah. Jiwanya bersih tanpa sebarang kotoran. Ubaidah, anak yang cukup istimewa dan berbeza.

Layaran silam itu lenyap dari pandangan. Matanya menatap wajah kecil Ubaidah yang dalam keriangan mendatanginya.
’Alhamdulillah, anak abi ini memang pintar. Terang hati, cepat hafal,’ Ubaidah bertenggek di riba lebarnya.
’Sudah, sekarang ini Ubaidah pergi bersihkan diri, tukar baju bersih. Ikut abi ke kuliah. Lepas zohor nanti abi ada kuliah umum.’
’Baik abi. Nanti bila Ubaidah besar, Ubaidah pun hendak jadi macam abi. Ubaidah pergi dulu ye,’ Ubaidah turun dari ribaannya.
’Anak abi nanti akan jadi lebih hebat daripada abi,’ Sheikh Waqid mengusap kepala kecil Ubaidah. Ubaidah sekadar mengangguk. Entah memahami atau tidak.

p/s:watak Ubaidah adalah rekaan..Tiada kaitan dengan sahabat,abu ubaidah

:: Kerana Rotan ::


Rotan, sinonim dengan pendidik dan pelajar...Terbayang rotan, terbayang jugak guru disiplin yang garang dan menggerunkan..persoalan,adakah rotan pada hari ini memberi kesan dalam membentuk disiplin dan sahsiah pelajar?

Drama kerana rotan
Pernah saya ikuti cerita tayangan astro oasis, Kerana Rotan.Mengisahkan seorang bapa yang mengawal ketat anak lelaki nya yang masih di peringkat awal remaja. Itu adalah rentetan kisah hidupnya, yang nakal dan suka mencuri sejak dari kecil.Cikgu yang mengajarnya mengaji terlalu garang, dan dia disebat sehingga luka dan berdarah2 kedua tangannya kerana mencuri..Kerana rotan cikgunya, dia menjadi seorang usahawan yang berjaya.....Kerana rotan itu jugak, si bapa menganggap dengan cara itu, dia mampu mendisiplinkan anaknya,mendidik anaknya menjadi seorang yang berguna...tapi sayangnya, anaknya semakin liar,kaki pukul menjadi ketua pelajar2 nakal dan gangster di sekolah..walau di kuarantin di rumah, kegiatan memukul,mencederakan orang tetap diteruskan..APA BEZA ROTAN DAHULU DAN SEKARANG?

Teacher,PK Petang nak jumpa saya
Tengok pada pelajar2 di sekolah saya sendiri,rotan menjadi bahan mainan malah menjadi kebanggaan pabila di panggil oleh PK dan guru disiplin untuk dirotan...Malah ada guru2 senior di sekolah yang xtahan dengan 'kedegilan' pelajar memarahi tanpa bertapis :'Kau ni..hati dah hitam sangat,langsung tak ada nur di muka!Memang biadap dan kurang ajar!'....

DAHULU : Kerana rotan, pelajar sedar&insaf...menjadi insan berguna..menghormati ibu bapa dan guru
KINI : Kerana rotan,guru boleh didakwa..kerana rotan bukan lagi menjadi cara mendisiplinkan pelajar dengan berkesan.Tiada kesan di hati,walau memberi kesan di badan.Kesalahan dan kebiadapan tetap diulangi tanpa rasa bersalah.

Apa Bezanya Rotan Dahulu dan Sekarang? Adakah Rotan atau Hati(kesucian) membezakan?