Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Sunday, November 08, 2009

::Mencari Pertengahan Dasar Keilmuan::

Akhir2 ini, kecoh isu Dr.Asri ditangkap oleh JAIS atas tuduhan berceramah tanpa tauliah di sebuah rumah.Saya agak terkejut bila melihat siaran berita itu.Isu ini terus berlarutan dengan tuduhan Dr.Asri memalsukan sijil BA beliau di Jordan.Diasak pula dengan memorandum dari PPSM(Persatuan Peguam Syarie Malaysia) juga JAKIM membantah pelantikan Dr.Asri di YADIM . Saya agak terpempan.Benar saya kurang mengenali siapa Dr.Asri.Saya kurang mendengar ceramah2 beliau.Siaran Bahtera Penyelamat di astro oasis yang saya sekali-sekala ikuti,saya akui ketinggian ilmu dan kupasan beliau yg cukup ilmiah bagi sesuatu topik,sesuai dengan statusnya kini.Tapi tidak kurang juga,seingat di awal saya mengenal erti perjuangan ini,saya sering didengarkan dengan isu Asrisme,Dr.Asri wahabbi dan sebagainya di mana ketika itu beliau banyak membawa isu2 bidaah.Apabila kontroversi Dr.Asri kembali timbul,saya tidak tahu mana kebenarannya.Ada di kalangan sahabat cukup mengagumi Dr.Asri,ada di kalangan sahabat cukup anti Dr.Asri.Saya cuba berada di pertengahan kerana saya belum temui sebarang jawapan yang saya kira saya lebih cenderung pandangan yang wasatiah dan pertengahan.

Ada dua blog saya baca yang setakat ini menenangkan sedikit minda saya,dua individu yang dikira kenal baik dengan Dr.Asri(bukan bermaksud saya taasub,menerima 100%..tapi mencari kebenaran dgn pertengahan)

SaifulIslam.com(Justifikasi Teman)

Di Bumi Syam, saya bukanlah insan yang paling rapat dengan Ustaz Asri. Sesuai dengan jarak universiti pengajian saya yang ratusan batu di seberang lembah kering membelah sahara, pertemuan kami yang terbaiknya hanya sekali seminggu. Teman-teman lain yang ‘bertuah’ dikurniakan peluang mengaji di Amman, lebih berkongsi talam hidangan dan tikar bualan bersama Ustaz Asri.

Namun entah di mana titiknya, antara saya dan beliau ada sesuatu yang lebih daripada kenalan.
Teringat saya ketika pulang bercuti ke Malaysia pada suatu ketika, saya berkunjung ke Taman Melewar sebagai pemerhati Muktamar. Seorang super senior menyampuk saya, “hah, Hasrizal, anta orang Asri kan? Dengar khabar dia sekarang ini sudah masuk UMNO. Apa cerita?”
Muka saya merah padam.

Tetapi sentuhan Bumi Syam sudah banyak meredakan baran saya yang banyak mengundang susah. Saya menggigit lidah dan membalas ringkas, “kalau mahu tahu tentang Ustaz Asri, tanyalah yang empunya diri. Ana tidak tahu menahu!”

Ilmiah dalam menadah kitab, ilmiah semasa hadir ke kuliah, ilmiah semasa berbahaskan khilaf, ilmiah juga dalam soal dakwah dan berjamaah. Uniknya ialah, Ustaz Asri tidaklah bersendirian berpegangan demikian. Malah ia adalah pegangan sesiapa sahaja di Jordan yang serius dengan pengajian. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ketika kami di tahun satu pengajian, kami sentiasa mengagumi para senior yang kemas ilmu pengetahuannya.

Tetapi Ustaz Asri adalah Ustaz Asri. Sesuatu yang tidak pernah berubah bermula daripada hari pertama saya mengenalinya. Dua sifatnya yang paling menonjol ialah beliau sentiasa berpendapat berlapikkan hujah, dan sifat peribadinya, pantang dicabar.
Adakalanya kami jadi letih dengan asakan-asakan yang ditujukan kepadanya kerana sebahagiannya lebih bersifat ’sengaja mencari penyakit’.

Selepas masa berlalu, banyak yang terjadi.
Selepas pulang ke Malaysia tamat mastautin di bumi Ireland, saya ada dikunjungi oleh Ustaz Asri yang datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Seminar Usul Fiqh yang diadakan di Bangi. Beliau hadir bersama Ustaz Arief Salleh iaitu teman serumah saya semasa kami mengaji di Jordan dahulu.
Ustaz Arief sudah menjadi Pensyarah di UTM Skudai..
Manakala Ustaz Asri baru selesai menamatkan pengajian peringkat PhD beliau di UIAM dan berkhidmat sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang.
Kami berbual tentang perkembangan semasa. Turut terselit adalah isu tentang kepimpinan PAS yang dilihat lemah pasca kekalahan teruk di dalam Pilihanraya Umum ke-11 tidak lama sebelumnya. Saya menegaskan bahawa PAS itu ada hampir sejuta ahli dan jika kita nampak kelemahan mereka, kita mesti menjadi sebahagian penyelesaiannya.
“Takpa la. Ana doakan anta!” kata Ustaz Asri dengan nada berseloroh.
“Takkan doa aje. Buatlah apa yang patut!” saya menambah.
Kami tidak bersembang berat kerana ia lebih kepada pertemuan untuk menjalin kembali silaturahmi yang terputus selepas lama mastautin saya di Eropah

TehraniFaisal.Blogspot.com(Lintasan Hati)

Saya manusia biasa. Jadi ada lintasan hati.Saya masih ingat pada hari seorang penulis muda bernama Khairun Nasriah memberitahu saya yang Mufti Perlis (sekarang bekas), Dr Mohd Asri Zainal Abidin 'menuduh' saya syiah. Bingung sekejap saya. Kerana serta merta nostalgia saya di Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS) kembali. Beliau antara naqib yang saya kagumi. Malah saya pernah mengekornya ke Taman Melewar untuk berusrah secara rahsia dengan Ustaz Yahya Othman, Ustaz Yaacob Hussain dan ramai lagi. Dalam hati saya memikir, masakan ustaz Asri serkap jarang seperti ini. Apatah lagi keluarga isterinya mengenal ibu bapa saya selaku aktivis sebuah parti di Melaka.

Akan tetapi bila saya dihubungi oleh 'seorang syed' menerusi telefon yang mengesahkan khabar yang dibawa oleh Khairun Nasriah tersebut, hati saya serta merta berasa kecewa. Syed tersebut memberitahu yang beliau ingin menyaman ustaz Asri kerana ustaz tersebut dikatakan 'menghina' keturunan para syed dan syarifah di negara ini. Saya hanya mendengar. Kemudian, syed yang saya tidak pernah temui itu mengutus emel, berserta klip video, rakaman ceramah Dr Asri menuduh saya syiah di sebuah masjid dalam satu kuliah maghrib di Perlis.

Saya masih menyimpan klip video tersebut sampai sekarang.Vonnis in absentia. Saya dihukum tanpa dapat membela diri. Dan serta merta tuduhan itu merebak menjadi dakwaan yang diyakini benar ramai orang. Termasuklah ramai teman-teman di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya bahkan diberitahu yang tuduhan itu bukan sekali, tetapi dibuat berkali-kali di banyak tempat. Bukti-bukti lain dibawa oleh orang. Saya malah dihubungi sekian peguam yang berasa bakal dapat membuat untung besar jika saya memilih untuk menyamannya.

Tidak pernah dalam sejarah kesusasteraan tanahair seorang mufti menuduh karya seorang sasterawan sebagai 'sesat'. Saya merasa itu semua. Jika saudara tidak merasa ia tidak serius tidak apa. Tetapi saya sempat merasa hidup dipandang serong oleh orang kerana yang "menfatwakan saya sesat" bukan calang-calang orang. Ada karya saya yang menang hadiah ditarik balik kerana tuduhan ini. Dan saya seorang diri. Tiada Pena. Tiada Gapena. Tiada Kelab MPR. Tiada kawan-kawan di DBP, termasuk yang mengaku kawan sampai mati di Bahagian Majalah. Tiada. Nihil.

Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan; saya membaca berita-berita Dr Asri mempertahankan dirinya bukan wahabi, isu perlantikannya di YADIM, dan paling menggemparkan berita penahanan beliau oleh pegawai JAIS.

Entah mengapa saya terkenang semula lintasan hati saya lama dulu. Dan saya membuka semula klip video tersebut. Menontonnya beberapa kali. Dan lintasan hati saya yang pernah disertai selawat itu dahulu kembali muncul terjelma dalam benak dan jiwa saya.Saya tidak mahu mengatakan saya gembira terhadap apa yang menimpa Dr Asri. Beliau pernah menjadi naqib usrah saya di KISAS. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Tetapi ketidakadilan vonnis in absentia yang menimpa saya kini menjadi kitaran buat beliau.

Saya ingin menegaskan, saya membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia wahabi, salafi, syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori. Setiap sekolah pemikiran tidak boleh diharamkan dan dihalang sedemikian rupa. Ia hanya boleh dilawan dan dibantah dengan teori dan gagasan lain pula. Ia mesti diperdebatkan secara akademia. Jika ia (aliran tersebut) ditakdirkan 'kalah' maka ia akan mati dan luput begitu sahaja seperti yang telah menimpa sekolah pemikiran Muktazilah, Jabariyyah, Qadiriyyah dan Ibadi. Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.

Sedikit rujukan yang saya bawakan,saya yakin pasti banyak lagi pandangan2 lain yang boleh dijadikan rujukan,pandangan dari yang lebih berautoriti,dipercayai,tinggi ilmunya dan hebat amalannya.Tidak kurang juga saya menjelajah ke site2 yang lebih keras menentang Dr.Asri,namun saya mengambilnya sebagai kutipan ilmu dan pandangan bukan pegangan.Sama seperti ke dua2 site yang saya bawakan di atas.Wallahualam.

Firman Allah swt dalam Alhujurat:6
'Wahai orang2 yang beriman!Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita,maka telitilah kebenarannya,agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan(kecerobohan),yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu'

No comments: