Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Wednesday, February 07, 2007

Cinta Antara Api AlQuds

Oleh Saharil Hasrin Sanin

KETIKA mereka menangkap saya, yang pertama saya ingat adalah awak. Yang terngiang di telinga saya adalah janji-janji yang saya bisikkan ke telinga awak, kini tidak akan dikotakan. Yang terbayang adalah masa depan cinta kita, ditamatkan sekelip mata, oleh kezaliman dan ketidakadilan.
Beberapa orang askar menyerkup kepala saya dengan kain guni berbau tanah dan bertutur dengan bahasa Arab, menggantikan bunyi ‘h’ dengan ‘ch’, seperti telor orang Yahudi lain. Bila saya meronta, mereka menolak saya sehingga tersungkur, mengheret saya di tanah, meneriak pada saya, mengatakan nyawa saya percuma, tidak ada harga, saya ini perempuan sampah dan kalau saya tidak bekerjasama, mereka akan menyumbat saya serta-merta ke penjara Neve Tertza.Di dalam lori, saya boleh rasa pandangan mata rakan-rakan Palestin lain, mengintai di antara langsir-langsir tingkap, membayangkan masa hadapan mereka. Saya boleh rasa rusuh menyelubungi mereka, pekat, macam gelap malam sekeliling. Bila awak tahu tentang ini, awak kena cekal, awak kena sedar, penyeksaan Zionis tidak sehiris pun boleh melukakan rohani saya. Jika mereka membunuh saya, yang mengambil nyawa adalah Allah SWT juga. Kerana sengsara jasad adalah sementara fitrahnya. Yang selamanya kekal adalah rohani iman saya serta cinta saya pada awak. Dan waktu saya diberkas, cinta kita itulah yang menghalang saya daripada menangis, menjadi kuasa yang meneguhkan benak, mengeraskan hati saya. Cinta kita adalah batu yang mengejapkan kaki saya ke tanah.Lori melepasi Al-Quds, menghala ke utara atau mungkin ke timur, saya sendiri tidak pasti. Memejam pelupuk, saya mengulang nama Allah, berdoa berulang-ulang. Saya doakan penangkapan ini sampai ke telinga awak, semoga awak tahu. Mereka mengikat saya berdiri tegak ke palang atap lori, tubuh saya terhayun-hayun mengikut hentak roda. Mereka menampar saya, memukul dengan belantan. Mereka menuduh saya tali barut Al-Ard, mahu memperjuangkan hak tanah Palestin, walaupun itu kisah lama, penentangan yang telah berdekad tak terlunas. Ayah saya pun meninggal dunia, sudah bertahun kembali berjumpa Tuhan, ladang zaitunnya langsung tidak dikembalikan sehingga kini. Subur tanahnya diracuni.Saya katakan, mereka berdusta, lalu mereka membantai saya lagi. Memang sudah berpuluh tahun kerajaan Zionis Israel menjajah dan merampas tanah dan ladang-ladang orang Palestin. Bumi kaya kami yang diusahakan bergenerasi lamanya, dipugar dan dijaga sejak zaman nenek moyang, sesuka hati direntap dan dimusnahkan, dibina diatasnya, dihalau tuan yang berhak dengan alasan ‘akta absentee’, meluputkan hidup dan sejarah dengan satu birokrasi palsu. Tetapi itu cuma sebahagian daripada aniaya mereka pada bumi saya, pada bangsa saya.
Awak ingat ketika kita mula-mula berjumpa di Universiti Al-Qurd? Kita membahaskan perjuangan Al-Ard di kelas. Awak lebih lantang daripada saya kerana awak memang keras hati dan tahu ramai yang hadir tidak menyukai pendapat awak, jadi awak mengeksploit perasaan mereka, menyusun ayat mempermainkan ghairah mereka. Awak bermain dengan api kerana awak suka kemilau cahayanya. Saya katakan bahawa pada zaman dahulu, 95% daripada zaitun seluruh Israel disumbangkan oleh ladang-ladang orang Palestin, menyumberkan komoditi ketiga terbesar negara setelah anggur dan berlian. Tetapi, awak memperlekeh, mengatakan teknologi perladangan bangsa saya ketinggalan zaman, langsung tidak berubah sejak period nomad-kuno, memetik pun dengan baldi dan tangga, memijak memerah buah dengan kaki. Kata-kata awak pedas, menghiris bagai luka, tetapi saya lebih keras membela. Awak berbangsa Yahudi dan kutub pemikiran kita berbeza.Tetapi itu yang mendekatkan kita. Pelik betul, cinta.
Lori berhenti setelah beberapa jam, rasanya sudah menghampiri waktu subuh, dingin suhu menyapa kulit saya, meremangkan bulu roma, saya seperti boleh dengar bunyi kabus berarak. Mereka bawa saya ke sebuah bangunan malap, membuka serkup guni yang membalut kepala, dan mendudukkan saya di kerusi sebuah bilik sempit, diterangi oleh hanya sebiji mentol berkuasa rendah, berdengung dihurung sibu-sibu. Di dalam mitologi Arab, sibu-sibu adalah simbol kelahiran semula, dicatat dalam higrolif dan cerita rakyat, tetapi kehadirannya dalam bilik suram itu membuatkan saya sebak, seperti mengingatkan bahawa selepas itu, dunia saya bakal jadi lebih pekat hitamnya, melahirkan dunia baru yang lebih memedihkan. Seorang perempuan gempal pegawai sivil memasuki bilik, memberitahu dengan suara nyaring, bahawa saya ini penjenayah politik, dicurigai pengganas dan saya boleh ditahan selama 18 hari, tanpa waran serta dicegah menghubungi peguam. Dia memakai seragam hijau pusam, lencananya berkilau melibas cahaya mentol. Dia membuka kerudung yang melitup aurat saya dan meminta saya bertelanjang. Dia menyebat dengan belantan kayu bila saya teragak-agak melaksanakan arahannya, lalu saya menanggalkan pakaian satu-satu, cuba mengawal perasaan, cuba mengebaskan pedih yang menular membakar di seluruh badan. Sebaik baju saya lucut, dia memukul payudara saya juga dengan batang kayu itu, membuatkan tubuh saya meleding, jatuh terperosok.Dia mengunjukkan sehelai kertas pengakuan kepada saya, warnanya kuning, menyenaraikan setiap jenayah saya, dosa pada sebuah kerajaan yang tidak saya iktiraf, tertulis atas nama saya, tinggal menunggu ditandatangani. Dia menjerit menyuruh saya mengaku, suaranya bergema ke seluruh bilik, bersipongang dalam dada saya, mengejutkan saya, membuatkan sibu-sibu bercempera, serangga yang mengiaskan musibah saya, menjadi saksi penganiayaan. Seluruh dokumen tertulis dalam bahasa Ibrani, tidak sepatah pun saya fahami, jadi saya membalas dengan wajah keliru, mengujarkan saya tidak mengerti isinya. Tetapi, setiap kali saya bercakap, dia memukul tubuh separuh telanjang saya dengan kayu. Bagai mahu menzahirkan setiap nafi saya menjadi lebam dan cakar di kulit, selumbar yang menyucuk. Payudara saya kemerah-merahan dan mula berbunga dengan lebam, salur darah yang pecah dihentam. Dia membelasah sehingga pandangan saya berpinar-pinar, meletus-letus satu ribu cahaya dan warna, semakin buram dan kelam, sehinggalah akhirnya saya rebah pengsan, yang saya nampak hanya hitam.
Dan dalam pitam saya, saya mimpikan awak, harum bau awak, serak suara awak, manis senyum awak. Saya mimpikan kali terakhir kita berjumpa, beberapa hari lepas, ketika awak meluahkan perasaan awak untuk saya, menyatakan hati dan hasrat, tidak mahu lagi berselindung, tidak mahu lagi menahan nyala asmara. Perkataan awak kekal di dalam benak saya, mendak dan mengembang bersama setiap suap sup ikan gefilte yang kita pesan dari kafe. Sup itu cair dan hati saya lebih lagi cairnya di hadapan awak. Kata awak, walaupun masa depan adalah rahsia takdir, tetapi sekarang ini waktu kita. Kata saya, untuk memiliki saya awak kena menganut agama saya. Lalu awak tersenyum, sampai sekarang tidak dapat saya baca maknanya. Saya mewakili Palestin dan awak mewakili Israel, sejarah kita hitam, pertelagahan yang tidak sudah, tetapi kuasa Tuhan juga membenarkan minyak dan air, digaulkan menjadi emulsi. Dan saya memberitahu, perjuangan saya bukan menentang Yahudi, tetapi kekejaman rejim kuku besi Zionisme. Agama Yahudi, dipandang Islam sebagai agama wahyu juga, diturunkan kepada nabi Musa pilihan Allah SWT juga, dilengkapi dengan risalah-Nya dan kalam-Nya juga, seperti juga agama Islam. Jika Yahudi Israel berketurunan Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim alaihisallam, kami Muslim pula adalah keturunan Ismail bin Ibrahim alaihissalam. Maka, Yahudi lebih dekat dengan Islam daripada agama Kristian anutan orang Nasrani, kita seperti beradik sebetulnya.
Orang Nasrani suka mengubah cabang-cabang agamanya, suka memangkas-mangkas kitab-kitab dan ajarannya, sedangkan orang Yahudi masih lagi menjaga beberapa hal yang diwarisi Nabi Ibrahim. Orang Yahudi tidak mengakui Holy Trinity dan tidak mengatakan Isa itu anak Tuhan, seperti orang Nasrani. Orang Yahudi menyunati anak-anaknya, mengharamkan khinzir, menyembelih haiwan sebagai syarat halal dan memusnahkan patung-patung berhala, seperti ajaran Islam. Orang Kristian malah, meletakkan pelbagai gambar dan berhala di dalam gerejanya.Seperti sabda Rasulullah, (riwayat Ahmad), “Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian itu satu dan bapa kalian juga satu.” Saya dan awak, kita sebenarnya berkongsi Tuhan dan keturunan, kalaupun tidak serenjang nur agama. Kata saya, kalau awak mengucap kalimah syahadah, amalan Yahudi dan amalan Islam, tidaklah berjurang berbeza, lalu awak berikan saya senyum, sama yang tidak dapat saya baca. Dan awak hadiahkan sebentuk cincin kepada saya, kata awak mahu mengikat cinta saya. Cincin itu diperbuat daripada dawai, awak gulung sendiri daripada wayar litar, menghangat dengan api dapur untuk melembutkan. Cincin itu daripada besi kerana awak tidak mampu menghadiahkan saya logam lain dan kerana orang kita di Tanah Arab ini mempercayai logam besi memberi kuasa dan tenaga dan kesihatan, melambangkan kesuburan tanaman dan ladang. Dan kerana awak mahu mengingatkan saya kepada perjuangan Al-Ard tanah ayah saya sendiri.Pada cincin itu, awak ukir kata ‘Mahabba’, istilah sufi untuk kata cinta.Sebaik membuka pelupuk mata, saya kembali ke realiti, ke bilik sempit dengan sibu-sibu itu, kelahiran semula dalam dunia penuh bencana. Dua orang askar merenggut tangan saya, memberi saya sepersalinan pakaian tipis daripada kain poliester, kesat permukaannya melecetkan cakar luka pada tubuh saya, menarik-narik selumbar yang menjarum di kulit saya. Mereka menyuruh saya berjalan ke bilik penjara. Saya patuh, tetapi kaki saya terasa seperti rapuh. Bilik yang mereka bawa saya itu lebih sempit lagi, malah tidak cukup panjang untuk saya berbaring. Saya tidur mencangkung malam itu, darah berkumpul di buku lali, mengebaskan kaki, saya hanya lelap sejurus sekali sekala.
Esoknya, saya dikejutkan awal pagi dan dipaksa menjamah sarapan. Satu mangkuk sayur yang direbus dengan air dan sedikit garam serta diletakkan beberapa kelopak bunga, seperti bunga epal serta buah kecil beberapa butir, warnanya merah oren, macam buah ceri. Sayur itu kelat dan tidak saya kenal, daunnya tebal dan meruncing, rasa payaunya cuba disembunyikan dengan masin garam. Ia menyakitkan perut saya, membuatkan saya termuntah beberapa kali. Sepanjang hari saya terkedang dalam tahanan, menahan senak perut.Saya berfikir tentang awak, tentang rancangan kita mahu lari ke Syria atau Jordan, mahu mengumpul rakan dan melawan Zionis dengan intelek dan pemikiran, dengan fahaman dan bantahan. Mungkin masanya sudah tiba untuk kita berhenti melawan kekasaran dengan kekasaran. Jadi kita mahu melawan dengan ilmu.Pada hari kedua, mereka membawa saya bersama beberapa orang tahanan lain ke sebuah rumah hijau tapak semaian, berbaris berlajur dengan ratusan anak pokok, mengerah saya berkerja, membaja, menyemai. Kami semua diam, tidak diizinkan berbual, berkomunikasi dengan mata dan raut muka. Kerja itu tidak sukar, jadi saya bersyukur, kalaupun saya patut bersyukur pada sesuatu yang dipaksakan kepada saya.
Mereka tidak memberi saya tudung kepala, saya tidak dibenarkan menutup aurat. Baju dalam pun tidak diberi. Saya hanya dibenarkan menyarung jubah tipis poliester, langsung tidak dapat menapis dingin udara, penghujung musim bunga yang baru hendak menjengukkan wajahnya. Bila saya membantah, mereka sebat saya dengan batang kayu, pada tempat yang sama, menyegarkan luka yang lama. Hari-hari berikutnya saya mengulang rutin yang serupa, kadang-kadang terperuk di dalam sangkar sempit, diinterogasi dalam bilik suram dihurung sibu-sibu dan berkerja di sebuah tapak semaian. Saya tidak pernah mengaku apa-apa, mengharapkan mereka akan membebaskan saya selepas 18 hari. Tetapi, mereka bukannya mematuhi undang-undang, walau berat sebelah menyendeng ke mana pun undang-undang itu. Saya kekal dipenjara berminggu-minggu, dan berbulan-bulan. Sayur kelat payau itu sehingga serasi dengan saya, tidak lagi menyenakkan. Hari demi hari, saya tidak mendengar cerita tentang awak, berita luar tiada yang dapat menembusi tebal dinding penjara. Sehinggalah peristiwa saya dibakar hidup-hidup. Awak sendiri sudah tahu tentang itu, awak yang mengatur agar mereka membakar saya.
Di dalam bilik sempit interogasi, seorang pegawai sivil mencurahkan kimia entah apa ke tubuh saya dan setelah saya berkeras tidak mahu mengakui jenayah yang mereka sogokkan, dia menyalakan api, mencucuh. Dia bagai terperanjat melihat api yang membakar saya, matanya mencerlang, memantulkan nyala api di dalamnya. Saya sedar di ambulans, tangan saya dalam genggaman awak. Mula-mula, saya fikir saya pitam lagi dan kehadiran awak hanya janaan maya, tetapi manis pada senyum awak terasa nyata, sebu mekar dalam benak saya. Awak mengusap cincin pada jari manis saya, mengelus kata ‘Mahabba’ pada permukaannya. Air mata di pipi awak, nampak berkilat dalam remang cahaya. Saya cuba mengangkat tangan, mahu menyeka, tetapi saya tidak mampu menggerakkannya. Rupa-rupanya, awak yang mengaturkan semuanya. Saya bukan dibakar, hanya dicurah kimia sintetik penahan haba dan pegawai sivil itu, berkerjasama mengatur ambulans membawa saya ke rumah sakit Makassad di timur Al-Quds. Baju saya rentung, rambut saya hangus, tetapi kulit saya hanya melecur sedikit, selebihnya cuma kimiawi menjalankan tugasnya.Dan apabila kita menghampiri sempadan kota, ambulans serta-merta diberhentikan dan kita meloncat keluar. Awak kenyit mata pada pegawai sivil yang memandu ambulans dan awak pegang tangan saya, lalu kita melarikan diri. Kaki kita melangkah laju, sepatu kita bagai tidak jejak lagi ke tanah lagi. Seluruh tubuh saya pedih dan melepuh, tetapi saya gagahi. Dan membelah malam, kita berlari cuba berusaha menyelamatkan cinta kita, supaya kelak kita boleh kembali ke bumi yang sedang terbakar ini, kita boleh bertarung dengan lebih kuat, dengan kebijaksanaan, dengan ideologi. Hitam malam di hadapan bagai mengibaratkan gelap yang bakal kita tempuh dalam hidup, tetapi kita redha, kerana kita tahu, Tuhan berpihak pada kita.

No comments: