Kebisuan Saufi seolah mengiyakan dirinya ada ’seseorang’ yang lain. Sikap menyepi Saufi pamerkan dirinya masih ragu-ragu dengan perhubungan antara mereka. Itu, kesimpulan yang dibentuk Qistina. Hatinya menyimpulkan. Suara jiwa kecilnya mengiyakan. Sukmanya berbisik, ’benar’. ’Benar, Qistina.’
Rutin hidupnya diteruskan. Bersama buku, kerja kursus dan pembentangan, resam seorang mahasiswa. Semester akhir berbaki berdikit merangkak berlalu pergi. Semester terakhir, dia perlu tumpukan lebih kepada pembelajarannya, di samping kerja-kerja da’wah. Kesibukan dan sengaja ’menyibukkan’ diri membuatkan tumpuannya kurang tentang masalah hubungannya dengan Saufi. Dia yang inginkan begitu. Dia yang minta agar tidak berhubung.
”Ana minta kita tidak perlu berhubung buat masa sekarang. Masing-masing ambil masa untuk berfikir dengan kewarasan dan petunjuk iman. Selepas tenang, enta ceritakanlah apa yang telah berlaku sebenarnya.” Sengaja dia minta sebegitu. Tidak mahu kehidupannya terjejas kerana hal ’perasaan’ ini. Satu kerugian bagi seorang muslim. Lebih dambakan cinta yang tidak pasti daripada cita-cita. Cinta sejati itu menyembuhkan, bukan menyakitkan. Cinta Ilahi dan kerana Ilahi. ’Oh, cinta ini menyakitkan.Cinta ini menyeksakan. Ampuni aku ya Rabbi.’
”Bagaimana hubungan kau dengan akh Saufi, Qis? Ada apa-apa yang menarik ke untuk dikongsi? Manalah tahu, sudah merancang untuk kahwin selepas graduasi nanti. Macam mana? Qis suka dia?” banyak betul soalan Shafiqah.
Qistina senyum nipis. Tampak manis, luarannya. Dalamnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. ”Alhamdulillah. Kami agak serasi,” ringkas jawapan Qistina.
” Akh Saufi pernah tanya Qis tentang Fiqa dengan Harith. Serius atau tak,” Qistina mengalih topik.
”Betul ke? Qia jawab apa?”
”Qis jawab tak pasti. Minta dia tanya Fiqa sendiri kalau nak tahu. Takut Fiqa marah Qis cakap tentang hal peribadi Fiqa pada Saufi.”
”Owh, dia pernah tanya Fiqa dulu.” Suasana sepi seketika. Malaikat lalu, kata orang-orang tua. Masing-masing larut dalam dunia sendiri. Rusuh hati Qistina bertambah hebat dengan kata-kata Fiqa. Tidak pasti apa di hatinya. Dia tahu, Saufi dan Fiqa sering berhubung. Walaupun baru berkenalan, sama sepertinya. Hatinya melonjak untuk bertanyakan tentang keadaan Saufi. Tetapi, dimatikan hasrat itu. Biarlah, biarlah begini dahulu. ’Fiqa, Saufi,’ Qistina tidak tenang. ’Bagaimana Harith?’ satu suara dari arah lain kedengaran. ’Astaghfirullahal’azim’, hati Qistina menangis. Sungguh, dia telah lalai dan hanyut.
Sukmanya melonjak-lonjak ingin tahu. Tahu tentang cerita di sebalik tindakan Saufi. Tentang hakikat kebenaran atas apa yang berlaku. Qistina cuba memujuk hati, sabar, sabar. Jangan bertindak melulu. Dia ingin bertanyakan hal sebenar kepada Saufi. Dia perlu tahu, agar dia tidak lagi berteka-teki. Berfikir yang tidak sepatutnya. Bermain-main dengan prasangka. Wudhu’ diambil, sucikan diri. Tenangkan hati. Solat sunat taubat ditunaikan. Diteruskan dengan solat sunat istikharah. Waktu masih pagi, jarum pendek mencecah angka 10. 10 pagi. Doanya panjang. Meminta diberi petunjuk samada perlu dia bertanya pada waktu sekarang, ataupun perlu menunggu masa yang lebih lama sebelum berbincang. Usai solat, Qistina membaca surah Yassin, hati al-Quran. Tiba pada bacaan ayat 77, diulanginya 7x. Ketenangan yang amat menerobosi sukmanya. Petunjuk diminta dikurniakan dengan sebuah ketenangan dan kedamaian. Dia pasti jawapan untuk tindakan yang perlu diambil.
”Maafkan ana. Sebenarnya ana telah berkenalan dengan seorang muslimat. Ana kenalinya sebelum ana kenal dengan enti. Ana fikir lama, apa yang patut ana buat. Muslimat ini sangat mengharapkan pada ana. Dia ini tidak seperti enti. Enti seorang yang hebat dalam perjuangan dan da’wah. Pada ana, dia perlukan ana untuk membawanya mengenal erti perjuangan Islam. Keluarganya bukan seperti enti, perjuangan enti. Keluarganya menentang perjuangan kita. Ana ingin selamatkan dia. Ana kira, enti boleh teruskan perjuangan ini tanpa ana. Enti seorang yang kuat dan hebat. Maafkan ana, ana harap enti memahami,” jawapan Saufi kembali meragut ketenangan Qistina. Hatinya bagai di siat-siat. ’Subhanallah’, terluncur kalimah memuji keagungan dalam kecewa. Dia tidak menyangka, apa yang Allah hadirkan dalam hatinya sebelum ini adalah benar. Benar, ya benar, Saufi mempunyai ’seseorang’ lain. Bukan dia, tapi orang lain.
Perasaannya bercampur-baur. Sedih, kecewa, marah, benci. Semua bersatu. ”Alhamdulillah, akhirnya ana temui jawapan keresahan ini. Maha Suci Allah yang mengaturkan. Ana hormati niat ikhlas enta. Ya, untuk tarbiyyah dan da’wah. Tiada apa yang dapat ana tuturkan lagi. Jawapan enta telah mematikan kata-kata ana. Enta telah memberikan titik noktah. Enta tidak memberi peluang kepada ana, berbincang dengan ana soal ini dan sama-sama membuat keputusan. Tetapi, yang enta berikan hanya titik, tidak boleh ditukar koma, enta memilih muslimat itu, bukan ana. Enta ceritakan kebenaran sebenar dengan hasil sebuah keputusan, bukan peluang. Kenapa ingin mengenali ana? Adakah hanya untuk perbandingan?,” hatinya sakit. Mudahnya bagi seorang Adam. Memilih pasangan, ibarat memilih baju untuk dipakai. Tiada lagi cita-cita bersatu sah dengan Saufi dalam kamus hidup Qistina. Beberapa bulan sahaja lagi, sebelum menamatkan pengajian, bukanlah menjadi penghalang untuk dia menyimpan hasrat itu. Kini, semua telah tiada. Itu keputusan Saufi. Fariz Saufi yang ingin mengenalinya untuk mencari pasangan hidup. Pengakhirannya, hakikat ini yang diterima Qistina. Tiada air mata mengalir, walau sedikit. Entah kenapa. Walau kecewa, air matanya mahal untuk mengalir kerana cinta lelaki. Sekadar perasaan remuk dan hancur dirasai. Dia pasrah, yakin setiap kejadian ada hikmahnya. Dia akan nampak hikmah itu nanti. Tiba-tiba hati kecilnya berbisik,’Dia tidak akan dapat bersama muslimat itu. Pasti ada halangan.’ Qistina terkejut dengan bisikan hatinya.’Allah,Allah. Jauhkan aku dari prasangka,’ berbisik meminta.
...bersambung....
No comments:
Post a Comment