Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Sunday, June 22, 2008

Kanvas Cinta Ini -Akhir-


”Salam, Fiqa. Qis nak jumpa sekejap. Ada sesuatu hendak cerita. Jumpa di kafe ya.” Qistina menanti Shafiqah.
”Antara kami sudah tiada apa hubungan lagi. Saufi ada muslimat lain,” perlahan Qistina menceritakan. Dari A hingga Z, rentetan peristiwa diceritakan kepada Shafiqah. Shafiqah nampak terkejut.

”Huh, sungguh tamak, seperti anjing mengejar bayang-bayang,” luah Shafiqa, agak emosi. Qistina sekadar membatu.
”Pasti muslimat itu lawa. Saufi banyak kali tanya tentang Qis, lawa ke tak. Dia ’high-taste’ sangat.”

”Tak apa, lawa itu penting bagi Ustaz Fariz Saufi,” suara Qistina bergetar. Dia akur. Dia mula nampak hikmah kejadian. Ternyata Saufi lebih pentingkan rupa paras daripada perjuangan. Itu bagi Qistina. Bagi Qistina, perjuangan adalah utama. Memang dia turut memilih rupa, fitrah manusia sukakan kecantikan. Tetapi apabila kita mengenal islam dan perjuangan, paras rupa bukan lagi keutamaan jiwa.


Satu persatu hikmah peristiwa tersingkap. Qistina melafazkan rasa syukur, walaupun sayang dan cintanya masih berbekas. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang.

”Satu, soalan. Enta istikharah tak sebelum nak kenal ana?” ”Tidak.” Jawapan seorang ustaz takhasus quran hadith. Kecewa. Qistina cukup kecewa. Bukan kerana dia tidak menjadi pilihan. Tetapi, kecewa dengan tindakan seorang ustaz, tidak menitikberatkan dalam hal sebegini dengan petunjuk Allah. Qistina memberikan tazkirah panjang dengan jawapan ’tidak’ ustaz Saufi. Dia bukanlah orang yang layak menegur seorang ustaz. Sedangkan dia bukanlah seorang ustazah. Hidup penuh pilihan, banyak jalan yang perlu dipilih. Hati dalam genggaman Allah. Berbolak-balik dengan kekuasanNya. Setiap tindakan, mintalah petunjuknya. Kerana kata hati, kata aqal bukan selalunya benar membuat pilihan.

”Biasalah ustaz. Dia rasa dirinya sudah baik. Jadi, pasti ramai perempuan baik akan sukakan dia. Yang dapat semua baik-baik, pilih yang lawa lah pulak. Tapisan terakhir.”

”Ish, baiklah lelaki bukan ustaz. Sekurang-kurangnya sudah dapat yang baik itu, hargai betul-betul. Rupa kedua. Sebab tolak yang baik ini, rugi. Bukan semua yang baik datang pada dia.”
Pandangan sahabat-sahabat berlegar di minda. Logik, memang logik pandangan mereka. Tetapi, bukan semua ustaz seperti itu. Apa yang dikesalkan, ada ustaz sebegitu. Apa guna ilmu tinggi, jika nafsu lebih menguasai iman. Huh, bak kata popular : ”lelaki semuanya sama”. Betulkah?

Shafiqa menemui Qistina. Kolam matanya bergenang. ”Harith tinggalkan Fiqa. Padahal kami sudah merancang untuk kahwin tahun depan. Masing-masing sudah berbincang dengan keluarga.” Qistina terpana.

”Ya Allah, Fiqa! Kenapa boleh jadi macam ini?”
”Fiqa tak tahu. Dia senyap. Menyepi diri. Akhirnya Fiqa tahu, dia nekad untuk putus.” Qistina sedaya memujuk dan memberi kata semangat. Ada yang lebih baik tersedia untuk Fiqa. Ya Allah, semudah ini kaum Adam bermain dengan perasaan kaum Hawa.

Masa terus berlalu. Dalam hembusan nafas, dalam kerdipan mata, peperiksaan semester akhir menghampiri. Kali ini, perasaan Qistina lebih bebas. Bebas dari soal perasaan dan cinta manusia. Pernah Saufi menelefonnya, ada persoalan Qistina soalkan. Kali pertama Qistina benarkan Saufi menelefonnya. Hatinya sudah kosong terhadap Saufi. Dia sedar, di sebalik suara Saufi, ada masalah menimpanya. Namun, tidak disoalkan Qistina. Qistina mengajar hatinya agar lebih tegas dengan perasaan. Biarlah dikatakan sombong, yang penting dia mahu menjaga hatinya daripada anasir-anasir cinta terlarang. Menjaga hubungannya dengan al Khaliq. Daripada Shafiqa, Qistina mengetahui yang muslimat itu telah meninggalkan Saufi. Memilih yang lain.

”Qis, Fiqa nak bagitau sesuatu. Qis jangan terkejut ya.”
”Kenapa Fiqa? Suspen sahaja bunyinya,” Qistina bergurau.
”Qis tahukan Fiqa masih berhubung dengan akh Saufi?” Qistina mengangguk.

”Erm, akh Saufi luahkan perasaannya pada Fiqa. Dia kata dia suka Fiqa.” Buk, bagaikan sebiji batu besar menghempap jantung Qistina. Inikah sebenarnya diri Ustaz Fariz Saufi?
”Fiqa terima?”
”Fiqa pun agak suka pada dia. Kami masih baru. Belum buat keputusan nekad, untuk serius atau tidak.” Qistina senyum, menunjukkan lagak gembira, meraikan perasaan Shafiqah. Sedangkan hatinya...

‘Ya Allah, bercabang-cabang kisah hidupku ini. PadaMu kuserah segala,’ hatinya berdoa. Hidup ibarat roda, berputar-putar. Akhirnya menemui titik pertemuan yang sama. Ke depan, belakang. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Penemunya tetap sama. Inilah kehidupan. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Begitulah analogi sebuah roda dengan hakikat kehidupan.

Sebuah perkenalan, sebuah perhubungan, sebuah konflik, satu mainan perasaan cinta, rindu dan sayang, buatkan Qistina berteleku panjang di tikar sejadah. Merenung semua peristiwa. Dia tersedar dengan kelalaian. Membina hubungan dengan sering berhubung, hanyalah mengundang ketidakrestuan al Khaliq. Dia membimbing hati agar tidak mudah jatuh cinta pada cinta manusia. Dia sedar, hatinya cepat tersentuh dan menerima ‘lamaran’ perkenalan seorang lelaki. Istighfar dipanjangkan bilangan bacaannya, hatinya sayu. Sayu dengan penuh kesyukuran. Disedarkan sebelum dia lebih lanjut terlena dengan buaian cinta, kata manis kaum Adam. Kisah kehidupan dan perjuangannya masih jauh dan panjang, jika masih belum dijemput ajal. Tiada lagi, dambaan cinta lelaki di hati. Harapan diletakkan pada Saufi, itulah kesilapan. Soal hati, soal cinta adalah soal aqidah. Sejauh mana keyakinan dan pengharapan diletakkan kepada Pencipta hati-hati. Tetapi ramai yang tidak yakin, letakkan harapan pada manusia. Ikat sebuah hubungan dengan syarat sering bermesej, berbual dan bertemu. Inilah situasi menunjukkan longgarnya aqidah masa kini. Jadikanlah kisah cinta agung Saidina Ali r.a dan Fatimah sebagai pedoman, disatukan dengan keteguhan aqidah, keyakinan dengan kuasa Allah yang menyatukan.
Malam itu, selesai solat sunat istikharah, meminta ditunjukkan dan dipandu di atas jalan yang lurus (siratalmustaqim) di dunia dan akhirat, Qistina bermimpi. Mimpinya didatangi seorang pemuda, ada sinar di wajahnya penuh ketenangan. Pemuda itu membelakanginya, berbaju melayu serba putih dengan serban dililitkan di kepala. Pemuda itu berpaling menghadapnya. Sekuntum senyuman indah disedekahkan, lafaz assalamualaikum diucapkan. Qistina menyalaminya dengan menjawab ’waalaikumussalam, suamiku.’

Mimpi hilang. Qistina terjaga. Lantas memutuskan ikatan syaitan dengan wudhu’. Malam masih panjang. Qistina bangkit untuk tunaikan solat tahajjud dan solat-solat sunat yang lain. Dia rindu, rindu amat untuk bermunajat di malam yang hening. Di ketika malaikat-malaikat bersama-sama dengan orang-orang yang sujud pada ketika insan lain lena dibuai mimpi. Sesungguhnya mati itu pasti, hidup ini InsyaAllah. Qistina berpegang pada falsafah keramat itu...Prinsip hidup ini.
...TAMAT...

Tuesday, June 17, 2008

>Lukis Komik<

13 Jun 2008


Asah Bakat

Pada hari selasa lepas, masuk relief class 2 Amanah..pelajar di hadapanku sibuk melukis kartun..aku saje menegur.."Cantik lukisan kamu, bagi cikgu tengok"..Kelihatan Li Hui segan-segan nak tunjukkan lukisan komiknya pada ku..Aku cuba yakinkan dia tak perlu malu..Malu dengan bakat yang semulajadi di anugerahkan..

"Dia memang macam ni cikgu, dia malu..kata lukisannya hodoh", lapor kawan di sebelahnya.
Aku sekadar tersenyum..Memanggilnya lagi datang kepadaku.Akhirnya Li Hui datang, aku memerhati lukisan komiknya (komik cina seperti komik2 cina popular)..walaupun aku tidak memahami dialog jalan ceritanya..aku sekadar menilai hasil lukisannya..Cantik..Memang Li Hui berbakat..Aku sarankan kepada Li Hui agar hantar komik yang dia hasilkan ke mana-mana syarikat ataupun menyertai mana-mana pertandingan..Anime,comichouse dan seumpamanya..Li Hui masih rendah diri.."Saya tak pandai cikgu". Aku tersenyum dan terus memuji hasil karyanya..

3-4 orang pelajar lain datang mendekatiku, minta aku lukis 'sheep'..adui..macam-macam..aku sekadar layan kehendak mereka..penuh dalam buku tulis mereka dengan lukisan-lukisan kartun..2 Amanah, kelas keempat daripada 6..Minat sungguh mereka ini pada lukisan..sebahagiannya..Seronok juga melayan mereka..Hilang tekananku sebelum aku melangkah masuk ke 2 Amanah..

Pada hari ini, tiba-tiba Li Hui datang mencariku..Dia lupa namaku..menanyakan samada aku pernah masuk kelasnya atau x sebelum ini..Aku mengiyakan..Dia tersenyum dan menghulurkan beberapa lukisan komiknya..

"Kenapa?" tanyaku.

"Cikgu tolong saya buat pilihan antara 2 lukisan ini..Saya nak buat sajak untuk lukisan dan nak hantar nanti"

Aku terkejut juga..baru sekali bertemunya..dia mencariku untuk membantunya membuat pilihan lukisannya..Tak sangka..Aku memberi pandangan lukisan yang lebih sesuai kepada Li Hui..Dia kelihatan berpuas hati kerana sudah dapat membuat keputusan..Aku berasa senang hati kerana dapat membantu..dan yang paling aku gembira..Li Hui tampak lebih yakin untuk komersialkan bakatnya..Alhamdulillah..Dia tetap pelajarku dan mad'u ku.


Dari Li Hui aku belajar untuk mengasah bakat pelajar, memberi keyakinan kepada mereka dengan bakat di anugerahkan, dipergunakan sebaiknya..bukan hanya jurutera, doktor yang boleh berjaya..Banyak lagi anugerah Allah kurniakan untuk dihargai seoptimanya bagi menjadi insan yang berjaya dan cemerlang..Asahlah bakat pelajar dengan bakat mereka, bukan hanya lulus peperiksaan semata-mata..

Thursday, June 12, 2008

Dalam Sujud Cintaku (Part 2)


Suara tangisan kecil kedengaran.Faiqah segera bangkit dari ribaan Mak Odah,mengesat sisa manik di pipi.Kain solatnya dibuka,diletakkan di sejadah.Faiqah meluru ke katil adiknya,Fattah.Mak Odah hanya memerhatikan gelagat Faiqah,tersenyum nipis.Faiqah memang sayangkan Fattah.Hanya Faiqah yang menyayangi dan mengambil berat.
’Hati Faiqah memang mulia,’bisik Mak Odah sendiri.Sayu.

”Awalnya adik bangun.Adik lapar ye,” Faiqah merapati Fattah.
”Cu..cu..,”Fattah menunjukkan isyarat tangan ke mulutnya.Meminta susu.
”Adik nak susu ye,”Faiqah mengajuk isyarat tangan yang sama seperti Fattah.Fattah menganggukkan kepala.
”Okay,jom ikut Angah ke dapur.Angah buatkan susu untuk adik,” Faiqah mendukung Fattah.
”Beratnya adik Angah,” Faiqah hiburkan hati.Dia suka melayan Fattah walaupun tiada respon baik dari Fattah.Fattah hanya tahu menangis,ketawa dan meminta susu apabila lapar.Kanak-kanak 5 tahun seusia Fattah telah mula pandai membaca,ke sekolah.Tetapi Fattah masih seperti bayi kecil,kerana dia dilahirkan sebagai kanak-kanak istimewa.
”Mak Odah,Fai ke dapur nak buat susu untuk adik.Mak Odah tolong simpankan telekung solat Fai ye.”Faiqah berlalu ke dapur.Hilang sedikit resah dan pilunya tadi.

”Along!!Mana Along tidur semalam?Kenapa tak balik rumah?,”jelas kedengaran jeritan mama dari bawah.Faiqah terserempak dengan Along di tangga.Fauzul berlari menaiki tangga,larikan diri dari mama.Keadaan Fauzul yang kusut masai menyemakkan pandangan Faiqah.Subuh baru along pulang ke rumah.Along telah banyak berubah.Semua orang dalam keluarganya berubah.Faiqah bosan dan tertekan.Dia ke dapur bersama Fattah,tidak menghiraukan apa yang berlaku antara mama dan along.

”Along!!Jangan biadap dengan mama!,”mama terus menjerit melepaskan geramnya.”Semua dalam rumah ini tak berguna!!Anak dengan papa sama sahaja!.”
Faiqah mendengar sayup-sayup jeritan mama dari dapur.Entah kenapa dengan mama,pagi-pagi sudah menjerit-jerit.Ada masalah di pejabat,mungkin.Fattah menangis mendengar suara mama yang meninggi.Dia ketakutan.Budak seperti Fattah lebih sensitif,terasa seperti dirinya yang dimarahi.

”Adik,jangan menangis.Mama tak marahkan adik.Adik minum susu ye,”Faiqah memujuk Fattah.Belakang Fattah ditepuk-tepuk perlahan.
”Bising betul!Angah bawa budak tu naik atas!Suruh dia diam,serabut kepala mama!”,Datin Harlina naik marah mendengar tangisan Fattah.Dia benci dengar suara tangisan itu.
”Mama,kalau ye pun mama tak suka,janganlah menengking begitu.Adik takut,”Faiqah menahan sabar.
”Kamu jangan nak ajar mama,Faiqah!Sudah!Mama tak suka nampak budak ini!,”
”Mama,adik pun anak mama!Darah daging mama!,”suara Faiqah bergetar.
”Mama tidak ada anak macam itu,anak cacat!!Pergi naik!,”mama terketar-ketar menahan marah.Air mata Faiqah begitu murah,mengalir lagi.Kata-kata mama menghiris hatinya,begitu dalamnya benci mama pada Fattah.Apakah salah Fattah?

Mak Odah terkocoh-kocoh turun dari atas,mengambil Fattah dari dukungan Faiqah.Tangisan Fattah semakin kuat.
”Fai,naiklah.Biarkan mama tenang dulu,”Mak Odah menarik tangan Faiqah.Faiqah menurut.Hatinya sebak.Papa melalui mereka,menyarung kasut menuju ke kereta BMW hitam.Tiada sepatah pun keluar dari mulut papa.Berlalu seolah-olah tiada apa yang berlaku.Faiqah geram dengan sikap papa,tidak berani memarahi mama sehinggakan mama selalu menengking papa tanpa rasa hormat.’Di mana kuasamu papa sebagai ketua keluarga!!’jerit hati kecil Faiqah.Kecewa.

Faiqah berlari naik ke bilik.Sebak di dada tak tertahan lagi.Mak Odah membawa Fattah ke biliknya.Datin Harlina terduduk.Marah,geram,benci semuanya bercampur.
’Tak guna!,’Datin Harlina lepaskan kebencian.Entah kepada siapa.
Faiqah menangis teresak-esak.Dia benci kehidupan sebegitu.Mengapa rumah ini hanya dipenuhi dengan kebencian dan kemarahan?Peristiwa 5 tahun lalu masih segar dalam ingatannya.Ketika itu dia berumur 18 tahun,baru selesai SPM.Along pulang bercuti dari Australia.Masing-masing gembira menanti kelahiran adik,penambah seri keluarga.Dia pun tidak menyangka yang dia akan mendapat seorang adik.

Deruan kereta,Faiqah segera berlari ke muka pintu.Tidak sabar melihat wajah adik.’Along!Mak Odah!Papa dan mama sudah balik!”laung Faiqah. Fauzul dan Mak Odah berlari mendapatkan Faiqah.
”Papa,comel tak adik angah?Macam muka Along atau muka Angah?,” Faiqah merapati Datuk ’Azim dengan ceria.Adiknya di atas kendongan papa.Wajah mama mencuka.Papa sekadar diam membisu.Faiqah terdiam,mood cerianya hilang apabila melihat wajah papa dan mama.Faiqah dan Fauzul saling berpandangan.Kehairanan.Mengapa papa dan mama tidak gembira?

”Lin tak kira abang.Lin tak nak anak ini!,”mama bersuara agak tegang.Duduk di sofa.
”Kenapa Lin?Dia tetap anak kita.Baik atau buruk,kita kena terima,”papa menyerahkan adik kepada Mak Odah.
”Lin tak suka.Lin tak suka anak cacat!Lin tak ada anak cacat!!Dia hanya akan malukan Lin!”
”Hah!Cacat?” Faiqah dan Fauzul terkejut.Rupanya adik tidak sempurna.Adik kanak-kanak istimewa,alami Sindrom Down.Adik lahir di lewat usia mama,kelahiran bayi tidak normal berisiko pada usia ibu yang lanjut.
”Lin,jangan begini.Kita tidak perlu malu.Anak anugerah Allah,Lin,”papa memujuk
”Tidak!Lin malu!Lin orang yang dihormati,dikenali.Hidup Lin sempurna,jadi tauladan wanita lain.Budak ini hanya mencacatkan hidup Lin!Lin tak nak dia!,”mama bertegas.Sungguh benci mama pada adik.Kerana maruah,mama mengenepikan anak sendiri.Faiqah sendiri tidak faham.
”Lin tak akan jaga budak ini.Abang serahkanlah kepada sesiapa sahaja,hantar ke pusat kebajikan masyarakat pun tak apa.Yang penting,Lin tak nak jaga dia!.Fauzul dan Faiqah separuh terkejut.
”Ma,janganlah buat adik macam itu.Adik bukan anak yatim,anak kutip,”Fauzul mencelah.Tak sangka mama akan bertindak sebegitu.Papa sekadar membisu.
”Biar Mak Odah yang jaga dia,Datin,”Mak Odah mempelawa diri.Tak sanggup melihat bayi sekecil itu hilang tempat bergantung.Tidak sempurna,bukan halangan.Mama tidak bersuara.
”Lin nak naik berehat,abang,”mama meminta papa memapahnya ke atas.Papa menurut.
”Kalau Mak Odah nak jaga dia,ambil segala barang-barang keperluannya ke bilik Mak Odah.Dia tidak perlu ada bilik sendiri,”mama menyambung.
Mak Odah berasa lega.Datin Harlina membenarkan dia menjaga bayi kecil itu.Fattah,nama yang dipilih oleh Fauzul dan Faiqah.Sejak itu,Fattah dijaga sepenuhnya oleh Mak Odah.Fauzul dan Faiqah akan ke bilik Mak Odah jika untuk bermain dengan adik.Papa sekali sekala menjenguk adik.Mama tak benarkan papa mengambil berat tentang adik.Along terbang kembali ke Australia,tidak tahan dengan sikap mama.Walaupun along ke Australia kerana terpaksa mengambil bidang perniagaan yang tidak diminatinya.

Faiqah terlena dalam tangisan dan kenangan silam.Titik mula kehancuran kebahagiaan,perubahan sikap papa dan along.Mama semakin kerap amarahnya.Faiqah tetap begitu,menyerap semua tekanan,disumbat dalam-dalam ke lubuk hati walaupun hakikatnya dia sangat tertekan.Ditelannya semua kekusutan,dizahirkan dengan wajah yang ceria dan riang.Di kampus,dia dikenali sebagai insan yang paling gembira dan bahagia.Hidup dengan kemewahan,tiada kesempitan.Bebas untuk mendapatkan apa sahaja tanpa sekatan.Batinnya tiada siapa yang tahu melainkan hanyalah Pencipta agung ,al’Aziz.

Faiqah bersiap untuk pulang ke kampus.Dia telah berjanji dengan Ibtisam untuk pulang lebih awal.Faiqah menyarung baju kurung merah hati,baju rayanya tahun lepas.Sudah lama dia tidak mengenakan baju kurung.Koleksi baju kurungnya hanya sedikit,bertambah 2-3 helai setahun apabila menjelang aidilfitri.Dari kecil,mama sering membelikannya baju yang berfesyen-fesyen.Anak perempuan tunggal.Faiqah lebih selesa memakai blouse dan skirt labuh ke kuliah,dan mengenakan seluar slack,kasual hari-hari biasa.Badannya yang tinggi lampai,menampilkan dia sentiasa kelihatan cantik walau memakai apa jua pakaian.Rambut perang ikal dilepaskan melepasi bahu.Tanpa solekan,dia tetap cantik.Dilihat matanya di cermin,sedikit bengkak.’Teruknya aku menangis,’Faiqah tersenyum sendiri.Lucu melihat wajahnya.

Faiqah melalui bilik Fauzul.Dia membuka pintu bilik,memerhatikan alongnya.Along masih terbungkang lena di atas katil.’Masih tidur lagi’.Telah hampir 2 petang.
”Along,bangunlah.Along sudah solat zohor belum?,”Faiqah menggocangkan tubuh sasa along.Fauzul menggeliat malas.”Erm....”Batal ditekup ke mukanya.
”Suka hati along lah.Penat angah nak layan,”geram dengan tingkah Fauzul.Baju yang dipakai Fauzul semalam masih tidak berganti.
”Angah balik ke kampus dulu.Balik rumah pun bosan,”Faiqah melangkah untuk pergi.
”Angah....,”tangan Faiqah ditarik.Faiqah terhenti.Dia berpaling ke arah Fauzul.
”Jangan jadi macam along,”suara Fauzul separuh tenggelam.Antara dengar atau tidak.Matanya masih terpejam.
”Apa yang along cakap ni?Angah tak dengarlah.Bukalah mata itu,bangunlah.”Faiqah melihat alongnya dengan pelik.
Fauzul membalikkan badannya yang dalam keadaan meniarap.Dia bangun,bersandar pada kepala katil.
”Angah janji pada along,jangan jadi macam along.Belajar sampai berjaya,”tangan Faiqah digenggam erat.Faiqah hanya tunduk.Dia tak tahu apa perlu dikatakan kepada along.Along hanyut,hidup terumbang ambing dalam dunianya juga salah along sendiri.Mama pun salah,papa turut bersalah.Kepada siapa harus diletakkan segala kesalahan ini?Along memang mirip kepada papa.Bersikap lembut dan tidak banyak bercakap.Tetapi sangat ’caring’.Sikap garang mama,sedikit mewarisi kepada along.Along hanya akan marah apabila betul-betul tergugat.
”Kalau along halang diri along sendiri,along tidak akan jadi seperti ini,”ujar Faiqah perlahan.Along sejak kecil,dipaksa oleh mama dalam setiap tindakannya.Along kurang berani membantah,tidak sepertinya lebih tegas,berani berhujjah.Dia tahu,along di Australia banyak berpoya-poya,berhibur sesuka hati.Walaupun along graduasi dengan cgpa yang baik,tapi akhirnya along memilih untuk tidak bekerja bagi menguruskan syarikat papa.Along telah sampai kepada hadnya,dia tak mampu lagi teruskan hidup dalam keadaan terpaksa dan terkongkong.Dan inilah jalan hidup yang dipilih along sekarang.
”Along tahu angah,along salah.Along memang tidak berguna,”
”Adakah along bahagia dengan jalan yang along pilih ini?,”Fauzul menggelengkan kepala.Tunduk lemah.Tiada bahagia dirasai Fauzul walaupun duit kekayaan keluarganya tidak pernah habis.Dia bebas ke mana sahaja,membeli apa sahaja.
”Along boleh berubah.Along masih ada masa.Jangan kalah along,”Faiqah memeluk tubuh sasa alongnya.Dia pun turut berasa tidak kuat.Kalau along terus begini,dia akan semakin lemah.’Oh air mata,kau mengalir lagi’,bisik Faiqah.Fauzul memeluknya erat.Memang, Faiqah rindukan pelukan along,rindu gurau mesra along,gelak tawa along.Dia rindukan kasih sayang seorang abang.
”Along kena kuat,”sambung Faiqah separuh berbisik.


...bersambung...

~Ku Akan Fail!!~

Rabu, 11 Jun 2008

Hari ini ‘the worst day’ kurasakan…Kelasku hanya satu, sains 2 Usaha..Rancangan pengajaran telah ku lengkapkan sepenuhnya. Baik bermula dari set induksi sehinggalah penutup…

Tidak Faham

Set induksiku tidak di fahami oleh pelajar..Ku memberi masalah UV radiasi yang menyebabkan masalah kesihatan dan membunuh tumbuhan hijau..Aku cuba kaitkan dengan “pyramid of numbers’. Tetapi pelajarku tidak memahami set induksiku dan tidak dapat mengaitkannya. Ku terpaksa menerangkannya berulang kali..Korelasi fungsi ‘pyramid number’ dengan kesan kematian tumbuhan hijau..Beralih kepada topik pembelajaran, masaku banyak habis di sini..Ku mengulanginya berkali-kali…Nampak ada yang berbual,tidak menghormatiku dan mengantuk..Ya Allah..teruknya aku!!! Dengan suaraku yang tidak kuat..aku menahan sabar..guideline waktu dari rancangan pengajaran telah terpesong jauh..Masuk aktiviti, satu lagi masalah..mereka tidak faham arahanku..Lain dalam perancanganku, lain pula yang dibuat oleh pelajar..Aku mengubah perancanganku secara automatik, ikut kefahaman pelajar..Di mindaku terbayang “Ya Allah, jika penyeliaku ada di belakang sekarang, confirm akan terus dapat F!!”..Waktu 80 minit habis, aktiviti tidak dapat diselesaikan, penilaian tidak sempat dibuat, kesimpulan lagila…Ku terasa sangat tensen..Apa yang ku rancangkan hanya 10% berjaya…Adakah akan dapat F?? Nau’zubillah..

Detik Perubahan

Sambung cerita Effa, aku nampak perubahannya.. Dia nampak ada semangat untuk belajar dan banyak tersenyum..Sebelum ini wajahnya susah untuk dilihat senyumannya..Dan yang mengejutkan aku, semasa dalam aktiviti kumpulan, Effa buat semuanya..memberi pendapat, menulis dan melukis di manila kad hasil perbincangan!! Sebelum ini, dia langsung tidak melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan..Subhanallah..Apa lagi yang dapat ku ucapkan selain tahmid, Allahamdulillah..Semuanya di tangan Allah..


Pertama dan Terakhir

Aktiviti semasa pembelajaran sains, 2 Usaha..Hari ini kulihat sedikit perubahan Effa, hari ini ku mula utk rapat dengan pelajarku..hari ini juga aku terpaksa mengubah jadual kelas, tidak lagi mengajar sains 2 Usaha..ku akan mencurah ilmu kepada 1 Usaha..Gambar kenangan sempat dirakamkan..







::Baru Terasa Ingin::




Selasa, 10 Jun 2008

Tiada kelas hari ini..aku hanya ada relief class, 2 Maju dan 2 Usaha. Tiada apa-apa yang ku ingin buat, hanya kawal kelas walaupun ini adalah satu bahagian yang paling susah untuk di kawal, kelas bising, penat untuk terjerit-jerit meminta diam..

Buat tak malu

Biasalah budak perempuan, suka bercakap-cakap..Aku dengan tak malunya menyibuk dengar perbualan mereka..mencelah dan menyampuk..kadang-kadang mereka kurang layan..rasa macam muka tembok pulak…tiba-tiba terbayang di mataku lagak yankumi yang tak tahu malu, mahu sertai anak muridnya ( Drama Gokusen, kegemaran Allahyarham Suhaimi,alfatihah)…Aku tersenyum sendiri, ‘Go Aimi!Don’t give up!’..
Alhamdulillah, pelajar-pelajarku dapat menerimaku..aku pun banyak mengenali minat,latar belakang anak-anak yang ku sayangi…

“Private Message”

Di satu sudut, ku melihat seorang pelajar, Effarizan yang agak ganjil tingkahnya..Suka menyendiri,tidak bergaul dengan kawan-kawan lain.Pertama kali aku memasuki kelas ini dulu, 2 Usaha..Effa menunjukkan riak dan tingkah yang kebosanan, tiada minat dan tiada semangat untuk belajar dan memberi kerjasama dalam kumpulan. Terasing dengan pelajar lain. Suka menjawab, pamerkan ketidakminatannya. Oleh kerana, waktu ini hanya relief class, aku tidak mengajar lagi 2 Usaha..Lama ku berfikir, bagaimana untukku mendekati dan mengetahui masalah Effa..Aku bercadang untuk ‘slow talk’ dengannya..Aku sengaja mendekatinya dan cuba menegurnya dengan lembut, menunjukkan rasa ambil berat terhadapnya, tapi, responnya mematikan kataku..agak keras (bukan biadap)..tapi mmg itu gayanya..aku mati akal..kembali semula ke meja guru..Akhirnya, sebelum keluar dari 2 Usaha, aku menghulurkan private message kepada Effa dalam sehelai kertas.

“Effa,
Cikgu tengok Effa macam ada masalah..Ada masalah ke? Jangan pendam sorang-sorang sayang..Masalah keluarga?”
Cikgu Aimi (Science Teacher)

Aku terus melangkah keluar, dalam hati ku mengharap ada sedikit perubahan daripada Effa..Aku bertekad untuk menyelami hatinya..memahaminya..’Cikgu sayang kamu, Effa’

Hui Sien menangis

Selesai waktu relief class, aku balik ke bilik guru. Kelasku berakhir pada hari ini. Aku ternampak seorang pelajar 1 Ilmu, Hui Sien mencari-cari sesuatu. Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar keluar masuk bilik guru, tercari-cari tempat duduk guru. Tetapi hari ini, terdetik untukku bertanya Hui Sien mencari siapa. Tiba-tiba dia datang mendekatiku dan memberitahu :
”Cikgu, buku nota bahasa cina saya hilang. Saya tertinggal di kantin, bila saya cari semula, buku tu dah tiada”.

Banyakla yang ku tanya, siapa yang mengajar bahasa cina?..Miss Yap..Ku memintanya laporkan kepada Miss Yap, bila Miss Yap balik ke bilik guru nanti. Tapi, Hui Sien menggelengkan..Tidak mahu laporkan kepada Miss Yap terlebih dahulu.
”Buku nota tu kawan saya punya, kelas 1 Amanah” Air mata Hui Sien terus mengalir. Bila nampak air mata tu, aku mulalah tidak senang.’Aku mesti bantu Hui Sien’.

Rupanya buku kawannya. Tampak muka cemas dan takutnya. Hilangkan buku nota kawan, pasti susah..Penat nak buat balik semua nota..Ku tahu Hui Sien takut jika kawannya mengetahuinya..Dia maklumkan, sudah laporkan pada guru bertugas, tapi tak jumpa. Aku sebenarnya hilang arah juga, duk berfikir kepada siapa perlu dilaporkan, apa yang perlu dibuat...maklumlah masih baru di sekolah..Laporkan pada guru bertugas sudah, Miss Yap tiada..Akhirnya aku meminta Hui Sien minta pengawas bertugas pada waktu rehat nanti untuk membuat pengumuman tentang kehilangan buku nota. Mungkin ada yang tersilap ambil..Kawanku, Hidayah beri cadangan, jika hari ini tak jumpa juga, minta guru bertugas buat pengumuman di perhimpunan esok. Ku rasa itulah jalan yang terbaik.. Tapi, masih terpancar muka resah Hui Sien..Ku tahu, selagi belum menjumpainya, dia tetap akan bimbang..Sudah banyak air matanya mengalir..Ku cuba menenangkan..Dia ingin mencari buku nota di kantin sekali lagi.Meminta aku menemaninya, katanya takut..Aku pun menemaninya..ku katakan,

insyaAllah nanti akan jumpa buku tu.Jangan bimbang ye,Hui Sien.Sampai sahaja di kantin, ternampak buku nota tu di atas meja..Alhamdulillah selesai masalah..Maha suci Allah..Hui Sien pulang ke kelas dengan tenang..Hatiku terasa sangat gembira kerana berjaya menolong pelajarku...

”Aku adalah Dai’e”

Peristiwa Hui Sien dan masalah Effa, memberi semangat kepadaku untuk meneruskan tanggungjawabku sebagai mua’llim..Prinsipku untuk membantu pelajarku sedaya yang mungkin, bukan hanya akademik malah segala masalah yang dihadapinya, yang perlukan bimbingan,sokongan dan pertolongan daripada seorang guru...Kerana ku memegang prinsip ’Aku adalah Da’ie’..Ku melangkah setiap hari ke sekolah dengan slogan ini..Sekarang, baru ku terasa ingin....MENJADI SEORANG GURU!!! (kerjaya yg langsung tidak ku minati)...kerana gurulah murabbi, naqib, mas’ul,mu’allim, muaddib...kerana guru seorang DA’IE..

Tuesday, June 10, 2008

Allahyarham Suhaimi(semi) in Memory




Pemergian Allahyarham Suhaimi Yusof,22 (junior matrix) dirasai bersama. Terasa baru semalam bersamanya,terbayang senyuman cerianya..Allahyarham kembali ke rahmatullah pada jam 3 pagi, 9 jun..semalam.Allahyarham menghembuskan nafas terakhir semasa dalam tidur..semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh..amin..Hilangnya seorang mata rantai perjuangan, jundullah yang mengintima'kan diri,berkorban segalanya demi Islam tercinta..

Kasih sayang seorang naqib,abang :

"abang nak g kmj.. abang sayang sangat ngan adik2 kmj nie..."

"Suhaimi, boleh ana katakan sebagai lagenda perjuangan matrikulasi. Banyak pengorbanan beliau, dicurahkan untuk Islam dn Jemaah . walaupun jarak yang agak jauh dari kampus beliau dengan KMJ, tapi itu bukan perkara yang mustahil bagi beliau untuk terus menyumbang keringat, mengusrah, mengkader, mengurus dan meneruskan mata-mata rantai perjuangan KMJ, sewaktu beliau memegang taklifan sebagai PIC bagi matrik tersebut.. Sikap seperti ini, wajib dijadikan sebagai contoh bagi kita yang masih lagi 'menunggu jemputan Ilahi'.

Nasihat diri sendiri dan teman-teman sekalian, Pejuang datang dan pergi.... bagi yang masih lagi belum 'dijemput tuhan', perjuangan wajid diteruskan." (Dzulhuzmi)


Kau Sahabat Kau Teman

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkanKau sahabatku kau teman sejati
Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati


Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

"Maafkan akak atas segala kekurangan, tidak sempat bertemu utk akhirnya"
MOGA TENANG DI PENGABADIAN ABADI
ALFATIHAH

Sunday, June 08, 2008

…78 Sen!!! Naik Lagi…




‘Berita Utama tv3, 3 Jun menyatakan harga minyak akan naik bulan ogos..Suratkhabar ada melaporkan harga minyak takkan naik…tapi tetiba pulak 4 Jun, Paklah cakap bermula 5 Jun harga minyak akan naik..dari rm 1.92 per liter..naik sehingga rm 2.70 per liter!!! Aduh..semua orang berkejar ke stesen minyak sebelum jam 12.00 am, menjelang 5 Jun..Apalagi…jem sana sini..boleh makan roti dengan jem lazat berkrim..tangki minyak kat stesen minyak pun dah kering…aiyyo..bila mau turun ni..naik je manyak ma..minyak naik..pastinya semua akan naiklah..beras,gandum..makanan..tiket pengangkutan awam naik..semua naik..apa yang tak naik??..berat badan aje mungkin yang tak naik…turun dan makin turun…’

Pelbagai senario dapat dilihat ekoran kenaikan harga bahan api.Apa yang mampu diambil tindakan oleh rakyat ekoran tindakan pemerintah yang berkuasa hanyalah ‘sami’na wa atho’na’.Bagi saya,tidak melampau jika saya menyatakan pandangan bahawa Malaysia adalah Negara Kapitalis.Mengamalkan ekonomi kapitalis, bukan Islam sepenuhnya.Bagi golongan dato’,tan sri,datin,individu berpendapatan tinggi, bukanlah menjadi masalah besar bagi mereka. Duit tetap masuk, apatah lagi golongan yang hidupnya mendapat peruntukan subsidi dari Menteri Kewangan. Tetapi, tunduklah ke bawah, hampir mampu menitis air mata melihatnya. Yang kaya semakin kaya, yang miskin bertambah miskin.Inilah mazhab kapitalis.

Berita dari media massa memang tak mampu dipercayai, bagi saya. Untuk membuktikan kenaikan bahan api adalah tidak membebankan, kerajaan membuat perbandingan dengan negara Singapura, Thailand dan Indonesia. Adakah berbaloi? Perbandingan dengan negara yang bukanlah negara pengeluar minyak. Mestilah banyak bezanya..Dan ada juga bezanya dengan negara pengeluar minyak seperti brunei,harga minyak juga tinggi..tetapi pendapatan rakyatnya berganda lebih tinggi dari rakyat Malaysia...


FAKTA KENAIKAN HARGA PETROL (sebelum 5 Jun 2008)
sumber tidak sahih
lapore77

sebelum 1990 - RM 0.89

  • tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)

  • 01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)

  • 20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)

  • 01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)

  • 31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)

  • 01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)

  • 01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02 )

  • 01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)

  • 05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)

  • 31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)

  • 28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)

  • 05/06/2008 - RM2.70 (kenaikan RM 0.78)

  • kenaikan seterusnya - ????

INFO ...


  • Harga petrol di Norway adalah 4.6 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat Norway adalah 11.1 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia.
  • Harga petrol di Belgium adalah 3.2 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat Belgium adalah 6.9 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia
  • Harga petrol di Hong Kong adalah 3.3 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat Hong Kong adalah 4.8 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia.
  • Harga petrol di UK adalah 3.1 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat UK adalah 7.2 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia.
  • Harga petrol di Japan adalah 2.7 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat Japan adalah 7.4 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia.
  • Harga petrol di Italy adalah 3.0 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat Italy adalah 5.9 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia.
  • Harga petrol di Australia adalah 1.8 kali lebih mahal berbanding harga petrol di negara kita, tetapi secara purata pendapatan rakyat Australia adalah 6.4 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia.
  • Harga petrol di Kuwait dan Arab Saudi adalah 0.5 (separuh) berbanding harga petrol di negara kita, manakala secara purata pendapatan rakyat Kuwait dan Arab Saudi adalah 3.6 dan 1.9 kali lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia. (seronoknya kalau ini berlaku di Malaysia)

Lain-Lain Alkisah

  • Kisah seorang kakak (bekerja di makmal Biologi, Fakulti Sains,UM) menangis apabila mendengar pengumuman kerajaan tentang kenaikan harga minyak. Ekoran kenaikan harga minyak, pasti semua barang2 keperluan dan dapur turut meningkat.”Harga beras naik sebelum ini, akak dah catu nasi untuk akak makan,bagi anak-anak makan.Tapi, sekarang naik lagi, akak tak tahu macam mana dengan anak-anak akak”

  • Kata seorang kawan :” Kenapa bila harga minyak sedunia naik, harga minyak di Malaysia pun naik?Bukan ke Malaysia negara pengeksport minyak? Sepatutnya Malaysia bertambah pendapatan dan keuntungan, dan subsidi minyak untuk rakyat lebih banyak, harga minyak menurun, bukan naik...Apakah yang berlaku sebenarnya?” Pendapat seorang yang bukan mastermind in economic,tetapi terlibat dalam bidang ekonomi..

Sekadar pandangan dan pendapat...Di pihak parlimen masih ada perbincangan, pihak pembangkang memberi masa kepada kerajaan yang terlibat untuk mempertimbangkan semula keputusan ini...

Demostrasi bantahan kenaikan harga minyak 12 Julai 2008, apa yang akan berlaku??? Allahu'ala ta'lam...



Tuesday, June 03, 2008

Kanvas Cinta Ini (Part 2)

Kebisuan Saufi seolah mengiyakan dirinya ada ’seseorang’ yang lain. Sikap menyepi Saufi pamerkan dirinya masih ragu-ragu dengan perhubungan antara mereka. Itu, kesimpulan yang dibentuk Qistina. Hatinya menyimpulkan. Suara jiwa kecilnya mengiyakan. Sukmanya berbisik, ’benar’. ’Benar, Qistina.’

Rutin hidupnya diteruskan. Bersama buku, kerja kursus dan pembentangan, resam seorang mahasiswa. Semester akhir berbaki berdikit merangkak berlalu pergi. Semester terakhir, dia perlu tumpukan lebih kepada pembelajarannya, di samping kerja-kerja da’wah. Kesibukan dan sengaja ’menyibukkan’ diri membuatkan tumpuannya kurang tentang masalah hubungannya dengan Saufi. Dia yang inginkan begitu. Dia yang minta agar tidak berhubung.

”Ana minta kita tidak perlu berhubung buat masa sekarang. Masing-masing ambil masa untuk berfikir dengan kewarasan dan petunjuk iman. Selepas tenang, enta ceritakanlah apa yang telah berlaku sebenarnya.” Sengaja dia minta sebegitu. Tidak mahu kehidupannya terjejas kerana hal ’perasaan’ ini. Satu kerugian bagi seorang muslim. Lebih dambakan cinta yang tidak pasti daripada cita-cita. Cinta sejati itu menyembuhkan, bukan menyakitkan. Cinta Ilahi dan kerana Ilahi. ’Oh, cinta ini menyakitkan.Cinta ini menyeksakan. Ampuni aku ya Rabbi.’

”Bagaimana hubungan kau dengan akh Saufi, Qis? Ada apa-apa yang menarik ke untuk dikongsi? Manalah tahu, sudah merancang untuk kahwin selepas graduasi nanti. Macam mana? Qis suka dia?” banyak betul soalan Shafiqah.

Qistina senyum nipis. Tampak manis, luarannya. Dalamnya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. ”Alhamdulillah. Kami agak serasi,” ringkas jawapan Qistina.

” Akh Saufi pernah tanya Qis tentang Fiqa dengan Harith. Serius atau tak,” Qistina mengalih topik.

”Betul ke? Qia jawab apa?”

”Qis jawab tak pasti. Minta dia tanya Fiqa sendiri kalau nak tahu. Takut Fiqa marah Qis cakap tentang hal peribadi Fiqa pada Saufi.”

”Owh, dia pernah tanya Fiqa dulu.” Suasana sepi seketika. Malaikat lalu, kata orang-orang tua. Masing-masing larut dalam dunia sendiri. Rusuh hati Qistina bertambah hebat dengan kata-kata Fiqa. Tidak pasti apa di hatinya. Dia tahu, Saufi dan Fiqa sering berhubung. Walaupun baru berkenalan, sama sepertinya. Hatinya melonjak untuk bertanyakan tentang keadaan Saufi. Tetapi, dimatikan hasrat itu. Biarlah, biarlah begini dahulu. ’Fiqa, Saufi,’ Qistina tidak tenang. ’Bagaimana Harith?’ satu suara dari arah lain kedengaran. ’Astaghfirullahal’azim’, hati Qistina menangis. Sungguh, dia telah lalai dan hanyut.

Sukmanya melonjak-lonjak ingin tahu. Tahu tentang cerita di sebalik tindakan Saufi. Tentang hakikat kebenaran atas apa yang berlaku. Qistina cuba memujuk hati, sabar, sabar. Jangan bertindak melulu. Dia ingin bertanyakan hal sebenar kepada Saufi. Dia perlu tahu, agar dia tidak lagi berteka-teki. Berfikir yang tidak sepatutnya. Bermain-main dengan prasangka. Wudhu’ diambil, sucikan diri. Tenangkan hati. Solat sunat taubat ditunaikan. Diteruskan dengan solat sunat istikharah. Waktu masih pagi, jarum pendek mencecah angka 10. 10 pagi. Doanya panjang. Meminta diberi petunjuk samada perlu dia bertanya pada waktu sekarang, ataupun perlu menunggu masa yang lebih lama sebelum berbincang. Usai solat, Qistina membaca surah Yassin, hati al-Quran. Tiba pada bacaan ayat 77, diulanginya 7x. Ketenangan yang amat menerobosi sukmanya. Petunjuk diminta dikurniakan dengan sebuah ketenangan dan kedamaian. Dia pasti jawapan untuk tindakan yang perlu diambil.

”Maafkan ana. Sebenarnya ana telah berkenalan dengan seorang muslimat. Ana kenalinya sebelum ana kenal dengan enti. Ana fikir lama, apa yang patut ana buat. Muslimat ini sangat mengharapkan pada ana. Dia ini tidak seperti enti. Enti seorang yang hebat dalam perjuangan dan da’wah. Pada ana, dia perlukan ana untuk membawanya mengenal erti perjuangan Islam. Keluarganya bukan seperti enti, perjuangan enti. Keluarganya menentang perjuangan kita. Ana ingin selamatkan dia. Ana kira, enti boleh teruskan perjuangan ini tanpa ana. Enti seorang yang kuat dan hebat. Maafkan ana, ana harap enti memahami,” jawapan Saufi kembali meragut ketenangan Qistina. Hatinya bagai di siat-siat. ’Subhanallah’, terluncur kalimah memuji keagungan dalam kecewa. Dia tidak menyangka, apa yang Allah hadirkan dalam hatinya sebelum ini adalah benar. Benar, ya benar, Saufi mempunyai ’seseorang’ lain. Bukan dia, tapi orang lain.

Perasaannya bercampur-baur. Sedih, kecewa, marah, benci. Semua bersatu. ”Alhamdulillah, akhirnya ana temui jawapan keresahan ini. Maha Suci Allah yang mengaturkan. Ana hormati niat ikhlas enta. Ya, untuk tarbiyyah dan da’wah. Tiada apa yang dapat ana tuturkan lagi. Jawapan enta telah mematikan kata-kata ana. Enta telah memberikan titik noktah. Enta tidak memberi peluang kepada ana, berbincang dengan ana soal ini dan sama-sama membuat keputusan. Tetapi, yang enta berikan hanya titik, tidak boleh ditukar koma, enta memilih muslimat itu, bukan ana. Enta ceritakan kebenaran sebenar dengan hasil sebuah keputusan, bukan peluang. Kenapa ingin mengenali ana? Adakah hanya untuk perbandingan?,” hatinya sakit. Mudahnya bagi seorang Adam. Memilih pasangan, ibarat memilih baju untuk dipakai. Tiada lagi cita-cita bersatu sah dengan Saufi dalam kamus hidup Qistina. Beberapa bulan sahaja lagi, sebelum menamatkan pengajian, bukanlah menjadi penghalang untuk dia menyimpan hasrat itu. Kini, semua telah tiada. Itu keputusan Saufi. Fariz Saufi yang ingin mengenalinya untuk mencari pasangan hidup. Pengakhirannya, hakikat ini yang diterima Qistina. Tiada air mata mengalir, walau sedikit. Entah kenapa. Walau kecewa, air matanya mahal untuk mengalir kerana cinta lelaki. Sekadar perasaan remuk dan hancur dirasai. Dia pasrah, yakin setiap kejadian ada hikmahnya. Dia akan nampak hikmah itu nanti. Tiba-tiba hati kecilnya berbisik,’Dia tidak akan dapat bersama muslimat itu. Pasti ada halangan.’ Qistina terkejut dengan bisikan hatinya.’Allah,Allah. Jauhkan aku dari prasangka,’ berbisik meminta.

...bersambung....