Petikan :Tazkirah TG.Haji Abdul Hadi Awang
Sesungguhnya sehingga hari ini dunia menyaksikan kegagalan kerja-kerja syirik, kerja-kerja menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Allah Taala mendedahkan betapa kerja-kerja syirik itu kerja sia-sia dan firman Allah Taala yang bermaksud:
"Maka jangan kamu jadikan sekutu-sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 22).
"Maka jangan kamu jadikan sekutu-sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 22).
Kegagalan juga berlaku akibat penyelewengan terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh para nabi dan Rasul termasuklah penyelewengan terhadap ajaran Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. yang lahir daripadanya agama Yahudi dan agama Kristian hasil daripada ada ulama'-ulama' Yahudi yang berlagak menjadi Tuhan dan meminda hukum-hukum Allah Taala. Firman Allah yang maksudnya:
"Mereka mengambil paderi-paderi mereka dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan selain daripada Allah." (Surah At-Taubah ayat 31).
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu di dalam membuat peraturan syariat agama di dalam perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah?" (Surah Asy-Syura ayat 21).
Kegagalan syirik baru yang dapat dilihat sekarang ialah syirik ekonomi yang menjadikan ekonomi sebagai tuhan-tuhan baru sebagai berhala yang dipuja. Fahaman ini melahirkan dua ideologi lain iaitu kapitalis dan komunis. Kapitalis memberi kebebasan kepada setiap orang mengumpul harta kekayan tanpa had dan menggunakan berbagai-bagai cara, sedangkan komunis pula lahir untuk menentang kapitalis dan membela masyarakat dengan memiliki negara akan harta orang yang kaya.
Perkataan ekonomi sudah menjadi zikir, wirid dan menjadi ucapan pengikut-pengikut fahaman ideologi-ideologi tersebut, dan ekonomi dianggap satu-satunya landasan untuk mencapai kebahagiaan sehingga fahaman ini berjaya menyerap masuk ke dalam negara-negara umat Islam sendiri. Umat Islam dan pemimpin-pemimpin negara umat Islam menjaja dan menjunjung perkataan ekonomi dan mejadikan janji untuk memberi kebahagiaan bukanlah dijadikan alat di dalam melaksanakan tugas khalifah Allah di atas mukabumi ini. Sikap seperti ini seolah-olah mengaku ekonomi sebagai Tuhan yang berkuasa walaupun mulut-mulut mereka tidak mengucapkan bahawa ekonomilah Tuhan yang disembah selain daripada Allah Taala.
Fahaman ini berjaya mempengaruhi ulama'-ulama' jahat sehingga sanggup meminda hukum-hukum Allah Taala, menghalalkan riba, menghalalkan amanah-amanah saham yang tidak mengikut hukum syara', menghalalkan muamalat yang tidak berdasarkan Islam dan juga mempertahankan pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah Taala dengan cara mengelirukan nas-nas al-Quran dan Sunnah sekadar untuk menjaga ekonomi sendiri dan menjaga kuasa pemerintah.
Fahaman ini mempengaruhi pemikiran rakyat yang mana mereka memberi nilai betul atau salah berpandukan kepada apa yang dapat memberi kesenangan dari sudut ekonomi. Jika sesuatu itu memberi kesenangan dari sudut ekonomi maka itulah yang hak dan jika sebaliknya tidak memberi apa-apa keuntungan ekonomi dan kesenangan maka batillah ia. Jadilah ukuran dalam menentukan hak dan batil ditentukan oleh ekonomi bukan lagi petunjuk Allah Taala dan ajaran Rasulullah s.a.w.
Tiba-tiba Allah Taala menunjukkan kegagalan semua fahaman tersebut pada hari ini. Melihat kegagalan ideologi komunis yang melahirkan fahaman sosialis kononnya bertujuan membela masyarakat berdasarkan pembahagian kekayaan secara adil. Ideologi komunis dan sosialis telah hancur di mana Russia dan negara-negara yang beramal dengan fahaman tersebut mula mengamalkan cara yang lebih bebas walaupun mereka tidak mengaku bahawa ideologi yang telah diamalkan mengalami kegagalan.
Telah tiba masanya umat Islam kembali semula kepada Islam, yakin kepada keberkatan yang dijanjikan oleh Allah Taala:
Firman-Nya yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri tersebut beriman dan bertaqwa nescaya Kami bukakan keberkatan kepada mereka daripada langit dan bumi.
Firman Allah yang bermaksud:
"Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, melainkan Allah (terus) menyempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh orang kafir." (Surah As-Shaf ayat 8).
No comments:
Post a Comment