Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Tuesday, February 19, 2008

Abdullah dan dongeng-dongeng dari Davos

by Shirzad Lifeboat (Klik sini utk Baca Lengkap)

Bagi segelintir rakyat Malaysia, sebut sahaja Davos, sebuah daerah terletak di timur Switzerland, Forum Ekonomi Dunia segera bermain di ruangan minda. Namun bagi kebanyakan anggota masyarakat luar bandar dan rakyat marhaen Malaysia yang ada di antaranya masih bersarapan ubi kayu dan teh bujang, atau bagi segolongan penduduk Sabah dan Sarawak yang masih mandi di sungai berlumpur dan berbuaya, Davos tidak membawa sebarang makna.

Akhir Januari 2008 lalu, Davos kembali menjadi pusat yang melahirkan kisah-kisah berunsur harapan kepada 6.5 bilion penduduk planet Bumi apabila pemimpin dunia tiba di sini untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia. Ada yang datang dengan menaiki penerbangan komersil, dari ibu negara masing-masing dan mendarat di Zurich, Bern atau Geneva. Ada yang datang menerusi penerbangan sambungan kerana negara mereka tidak mempunyai perkhidmatan terus ke mana-mana destinasi di Switzerland. Dan terdapat juga sejumlah kecil yang tiba di negara itu dengan jet rasmi kerajaan, termasuk jet rasmi yang baru dibeli.

Apalah sangat dengan jet rasmi kerajaan sesebuah negara membangun. Ia bukanlah seperti Air Force One, jet rasmi Presiden Amerika Syarikat, sebuah pesawat Boeing 747-200B dengan ubahsuaian ratusan juta dolar Amerika. Mungkin ada jet rasmi kerajaan sebuah negara membangun yang bernilai cuma RM200 juta sahaja. Bukanlah mahal sangat. Kalau memang sudah sedia ada jet rasmi, tapi telah digunakan oleh pemimpin lalu, tak mengapa. Beli sahaja yang baru. Lagipun di Davos inilah masa terbaik untuk memberitahu dunia, 'Hey I'm the best leader of my country. That's the reason I am now the Prime Minister. I have all the 'angs – excellence, glory and distinction. No 'temberang', you know. This new government jet is nothing-lah compared to the mega projects worth by the billions I have announced for my people."


agi Malaysia pula, kita menghantar pemimpin dan rombongan ke Forum Ekonomi Dunia di Davos agar rakyat diberitahu tentang dua tiga orang pemimpin korporat antarabangsa yang memuji-muji ekonomi Malaysia dan kemudiannya pemimpin kita pulang ke Kuala Lumpur langsung memberi tahu rakyat kecekapan kerajaan Malaysia kini berada pada tempat ke-6 terbaik di dunia.

Kita sendiri kurang jelas bagaimana angka ke-6 yang turut dilaporkan akhbar arus perdana negara ini diperolehi sedangkan Buku Tahunan The Global Competitiveness Report 2007-2008 (sebuah penerbitan Forum Ekonomi Dunia) meletakkan butiran mengenai kecekapan kerajaan Malaysia ini sebagai berada di tempat ke-7.

Laporan yang menyebut Malaysia berada pada kedudukan keseluruhan ke-21 di dunia dari segi persaingan global itu turut memuji Malaysia walaupun rasuah juga pada kedudukan ke-21, tahap dan piawian audit di tangga ke-25, pemilikan telefon rakyat di tangga ke-69 (Box 5: Malaysia: A competitiveness appraisal 50 years after independence, The Global Competitiveness Report 2007-2008).

Mungkin kerajaan Malaysia mendapat pengkadaran yang begitu tinggi sehingga mengatasi UK, Jerman, Jepun dan Perancis kerana kita cuma mengambil masa paling lama dua minggu untuk melangsaikan pembayaran kepada kontraktor bekalan, perkhidmatan dan pembinaan. Ini diakui sendiri oleh Abdullah, "Pada tahun lalu, kebanyakan bil bayaran kerajaan kepada pembekal barangan dan perkhidmatan berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari. Daripada jumlah ini, 70 peratus daripada bayaran tersebut dilunaskan dalam tempoh tujuh hari. Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap kemampuan sektor awam. (Utusan Malaysia: Kita ke-6 terbaik dunia - Kecekapan kerajaan atasi UK, Jerman, Jepun, Perancis, 29 Jan 2008.)

Nampaknya kita memang 'terror' giler jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Kita sudah ada sistem sendiri yang lebih terkini dan lebih mampu menyemak segala baucer pembayaran dan segala dokumen sokongan yang dikemukakan dalam masa yang begitu pantas dan teliti. Agaknya sebab itu ada baucer bayaran projek mega yang hampir menyentuh RM1 bilion yang hilang daripada simpanan. Dan Laporan Ketua Audit Negara bagi kerajaan Persekutan dan Negeri pula tebal-tebal belaka dan mendedahkan pelbagai kesilapan pengurusan kewangan kerajaan termasuk lain-lain pengurusan seperti pemanggilan tender dan sebagainya. Itu baru, tahap penguditan, kita sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Global Competitiveness berada dikedudukan ke-25. Bagaimana kalau tahap penguditan juga di tempat ke-6? Mungkin agaknya Laporan KON akan menjadi empat kali lebih tebal.

Namun sudah tentulah Forum Ekonomi Dunia tidak akan memikirkan atau mengambil kira bagaimanakah cara kerajaan Malaysia memilih kontraktor untuk kerja-kerja yang bernilai ratusan juta atau beberapa bilion ringgit. Forum juga tidak mahu mengambil tahu berapa lamakan masa yang diambil bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam, seperti banjir misalnya. Tujuh hari? 14 hari? Beberapa bulan?

Tapi bagi tenaga yang berada di sebalik laporan ini, walaupun dipimpin oleh seorang Profesor Harvard (Prof Michael E Porter, Harvard Business School), tentulah agak mustahil untuk memikirkan hal-hal lain mengenai prestasi kerajaan selain maklumat penting seperti berapa lama bayaran dapat dilangsaikan.

Bukan mudah untuk menyediakan laporan mengenai 131 buah negara yang menjadi ahli Forum Ekonomi Dunia dalam masa yang begitu singkat. Dan lebih sukar lagi memuji negara-negara terbabit walaupun keadaan sesebuah negara itu berada pada peringkat paling teruk. Tapi ia perlu dilakukan kerana kalau sesuatu laporan itu terlalu negatif, negara berkenaan mungkin tidak lagi menyertai Forum tersebut dan ini akan mengurangkan pendapatan yang boleh diterima oleh badan penganjur (sejak tahun 2002 Forum Ekonomi Dunia mengenakan yuran asas penyertaan sebanyak AS$250,000 setahun bagi setiap badan perniagaan dan juga kerajaan yang mahu menyertai Mesyuarat Tahunannya).

Begitupun anehnya, sekembalinya dari Davos, Abdullah cuma ghairah tentang beberapa perkara sahaja. Bagaimana pula dengan perkara-perkara lain mengenai Malaysia yang turut disentuh dalam Laporan tersebut? Kenapa tak komen sama? Sebab ia telah membuktikan betapa tidak efisyennya Umno-BN dalam mentadbir karya.


Abdullah banyak bercakap tentang ketelusan. Sepatutnya dari segi ketulusan ini juga berada di tangga yang teratas dan kalau menurut apa yang dihebohkan oleh Umno-BN kita patut mempunyai ranking di antara 10 teratas. Namun ranking kita dari segi ketelusan ini cuma ke-16 sahaja.

Bagaimana pula dengan efisyensi kerangka undang-undang kita dari segi melincinkan pentadbiran awam. Global Competitiveness Index (GCI) meletakkan kita pada ranking ke-18.

Bagaimana pula dengan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik yang berkuasa. GCI meletakkan Malaysia juga pada ranking ke-18 walaupun Abdullah dan pemimpin Umno-BN yang lain terus merasakan parti mereka mendapat keperyaan yang tinggi daripada keseluruhan rakyat. Sepatutnya kalau ikut apa yang dicanangkan oleh pemimpin Umno-BN, kepercayaan rakyat juga, setidak-tidaknya ada pada kedudukan ke-6.

Jika rakyat diberitahu semua ini, sudah tentu ini semua akan menjadi igauan buruk bagi Abdullah dan Umno-BN terutama menjelang PRU-ke-12. Petanda buruk semacam sudahpun berlaku di Davos apabila kereta pemimpin (tidak dinyatakan siapa) dari Malaysia tersekat di atas salji dan terpaksa ditolak oleh pemandu dan pegawai keselamatan. Mungkin Umno-BN tidak sanggup menghadapi petanda-petanda buruk seterusnya. Tidak mustahil inilah yang memberikan ilham kepada Abdullah untuk mengadakan PRU-ke-12. - lanh


1 comment:

Howard Finance said...

Hello,

Do you need Financing ?
Business or Personal loan ?
Do you want to Refinance your business?

We are a reputable Financial Institution that can assist you in reducing monthly installment so our customers have affordable repayment options as well as room to breathe when it comes to the end of the month. Contact Mail: Howardfinancialaid@yahoo.com

Our loans are well insured for maximum security is our priority. Are you losing sleep at nights worrying how to get a legit loan lender ? we can help with low interest rate of 4%. We are credible and details are strictly confidential. We offer loan at 4% interest rate only.

If interested, contact us today for more details on how to get started with your desired loan amount.

Contact Mail: Howardfinancialaid@yahoo.com

Best Wishes.