Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Sunday, April 27, 2008

Kanvas Cinta Ini (Part 1)

Begitu pantas masa berlalu, semester 5 akan berakhir. Debaran peperiksaan akhir semakin menghampiri. Qistina bertambah bimbang, terlalu banyak subjek yang belum sempat di ‘cover’. Sedikit sebanyak ada keluhan, tapi kerja-kerja da’wah adalah lebih penting. Kalimah mulia: ’Allah sentiasa membantu umat yang membantu agamaNYA’, itulah yang menenangkan jiwa Qistina. Tapi dia sedar tanpa usaha pasti semuanya akan hancur, tiada bantuan Allah tanpa usaha.

Syawal bakal menjelma, Ramadhan kian melangkah pergi. Qistina sayu tahun ini dia masih tidak berkesempatan untuk merebut Lailatulqadr. Dia akur dengan ketentuanNYA. Moga masih ada Ramadhan untuknya lagi, itulah doanya. Kemeriahan Syawal dinanti tiba, hanya seperti tahun-tahun lalu, pada awal pagi ke masjid tunaikan solat sunat aidilfitri, kemudian ke rumah nenek sebelah abah bertemu sanak saudara. Hidangan nasi dagang menjadi santapan, melepaskan rindu pada makanan tradisional itu. Gembiranya hati Qistina bertemu sanak saudara, keriangan itu meronta-ronta untuk pulang ke kampung ibunya. Pasti lebih meriah. Terlalu gembira dapat berkumpul bersama, gurau senda menjadi santapan. Itulah yang menenangkan hati Qistina, menghilangkan sedikit tekanan kerja dakwah dan gundah menanti peperiksaan akhir.

2 Syawal, rancangan beraya saudara sebelah ibu menuntun Qistina bangun awal. Bersiap-siap, sarapan bersama keluarga.

‘Eh, mesej dari Fiqa! Awalnya bagi mesej’, Qistina membuka mesejnya itu.

‘Qis, ada seorang akh nak kenal, dia tengah mencari pasangan. Dia kawan Harith, umur 23, baru graduasi Ijazah Sarjana Muda Quran&Hadith UKM’, mesej itu sedikit menyentap hati Qistina.

‘Ya Allah, apakah semua ini. Adakah dia ahli jemaah kampus?’ persoalan itu bermain-main di benak Qistina. Hatinya dapat merasakan muslimin itu bukan ahli jemaah Islam kampus.

‘Fiqa dah buat solat istikharah dua kali, memang rasa kuat sangat akh tu untuk Qis. Akh ni segan dengan muslimat, sebab tu dia minta tolong. Namanya Fariz Saufi, orangnya sederhana’, kata-kata Shafiqah buat Qistina terkedu seketika.

‘Betul ke dia untukku? Perlukah aku berkenalan dengannya?’ pelbagai persoalan berlegar di mindanya. ’Ya Allah,berilah petunjuk kepadaku’, rintih Qistina keresahan.

Qistina cuba menghilangkan keresahan, tenang tidak memikirkannya. Keriangan ziarah sanak saudara melupakan Qistina pada keresahan itu. Hari terus merangkak, sekeluarga berehat setelah penat beraya. Hati Qistina resah tiba-tiba, ketidaktenangan itu hadir kembali. Kepalanya sarat dengan pelbagai persoalan, serabut. Lantas dicapainya handset dan mula menaip.

‘Salam, Fiqa. Qis rasa tak tenang sangat. Siapakah akh itu?’ Qistina menanti jawapan dari Shafiqa.

‘Wassalam. Jangan risau Qis. Nanti Fiqa bagi nombor telefon Qis pada akh tu ye. Nanti dia hubungi Qis. Betul Qis, Fiqa rasa akh tu sesuai untuk Qis’, kata-kata Shafiqa mengurangkan sedikit resah Qistina.

‘Syukran Fiqa. Qis percaya dan yakin dengan petunjuk yang DIA bagi pada Fiqa. Doakan Qis ye’, hatinya sedikit tenang. Kerana kesungguhan seorang sahabat untuk membantunya dan istikharah serta harapan Shafiqa membuatkan Qistina terima untuk berkenalan dengan akh itu. Dan juga istikharahnya.

‘Terima kasih Qis percaya pada Fiqa. Fiqa doakan terbaik untuk Qis’, mesej Fiqa menghentikan perbualan antara mereka.

Selesai solat isya’ bersama keluarga, Qis merebahkan kepalanya ke bantal yang empuk. ’Penatnya beraya’, getus Qistina. Qistina mencapai handsetnya, tertera beberapa ‘miscall’ dari nombor yang tidak dikenali. ’Pasti akh tu’, Qis mengagak. Handsetnya berbunyi lagi, nombor itu tertera di paparan. Qistina tidak mengangkatnya. Dia kurang selesa untuk menjawabnya.

‘Assalamualaikum. Maaf ana kurang suka untuk kenal terus melalui perbualan. Cukuplah sekadar sms. Lagipun ana kurang suka untuk berbual dengan muslimin dan ana tidak biasa berbual dengan muslimin. Syukran,’ mesejya sampai pada nombor akh itu. Memang Qistina kurang suka berhubung dengan muslimin terus melalui perbualan dalam telefon.

‘Waalaikumussalam. Ana minta maaf. Ana hanya nak maklumkan ana tak dapat nak hubungi enti malam ni. Jika sempat ana akan mesej enti nanti. Wassalam’, balasan akh itu memutuskan perbualan mereka. Qistina tak kisah sangat akh itu mesej atau tak. Tiada perasaan.

Hari-hari terus berlalu, Qistina sibuk dengan persediaan menjelang peperiksaan akhir. Dalam kesibukan, perkenalan dengan akh Saufi semakin erat. Banyak diperbualkan dan dibincangkan. Bagi Qistina, akh itu memang jelas matlamatnya untuk bersatu dan sepanjang perkenalan, mereka sering menyentuh tentang perancangan untuk masa depan. Dalam sedar, hati Qistina semakin menyenangi akh itu, ada keserasian dan persamaan antara mereka, mungkin. Qistina mula memasang harapan dan angan-angan membentuk sebuah ikatan yang sah. Seketika Qistina dilamun rindu dan cinta. Cinta makhluk, yang kebanyakannya menjanjikan kedukaan dan kesengsaraan.

“Kita sama-samalah berdoa agar ada jodoh antara kita.” mesej akh Saufi sering berbunyi sebegitu. Tenang Qistina membacanya. Percaya dengan bicara itu, hasrat hati akh Saufi bukannya kecil. Qistina mula terbuai dengan cinta ‘anta anti’. Jerat syaitan semakin melebar. ’Duhai hati, janganlah kau begini.Ingatlah pada cinta Ilahi,’ Qistina mengingatkan diri. Beristighfar atas kelekaan.

Fiqa, sahabat penghubung untuk Qistina mengetahui lebih lanjut tentang diri Saufi, begitu juga di pihak Saufi. Dihitungkan, Fiqa lebih rapat dengan Saufi berbanding Qistina sendiri. Semua itu bukanlah menjadi masalah pada Qistina, kerana dia tahu dalam perhubungan perlu ada garis hadnya. Jerat-jerat sang pencucuk, penghasut perlu diputuskan.

Usia perhubungan semakin bertambah. Lebih menyenangi, lebih memahami juga menyayangi. Tiba-tiba keresahan melanda jiwa. Entah mengapa. Rusuh hatinya, buntu fikirannya memutar. Qistina dapat merasainya. Ya, satu perasaan dikecewakan, dipermainkan. Mencucuk-cucuk bak belati tajam menikam dadanya. Seorang lelaki bersama seorang perempuan sedang ketawa gembira ditayang di skrin mindanya. Ya, dia nampak akh Saufi bergembira dengan perempuan lain. Lama Qistina berfikir, dan terus berfikir. Memujuk hati dan minda agar tidak bersangka buruk. Kalimatullah diiringi, menghiasi bibir. Takut, takut termakan hasutan iblis.

“Salam. Asif menganggu. Ana harap perhubungan antara kita berlandaskan kejujuran. Asif, bukan ana ingin su’un dzon, dan tidak sesekali ana menganggap diri enta seperti itu. Tetapi, hati ana mengatakan, enta ada ‘seseorang’ yang lain. Betulkah? Ana sangat mengharapkan jawapan jujur dari enta. Syukran,” akhirnya punat ‘hantar’ ditekan kepada nombor Saufi.

”Waalaikumussalam. Mungkin hati enti bersih, lalu Allah campakkan perasaan itu kepada enti. Apa yang ana mampu katakan, maafkan ana atas kekurangan dan kelemahan diri ana.” Balasan Saufi dibaca berkali-kali. Namun tidak dapat difahami maksudnya. Qistina menanyakan kembali kepada Saufi, apakah matlamatnya untuk berkenalan dengannya? Adakah benar dan jelas matlamatnya untuk membina hubungan suami isteri, ataupun sekadar suka-suka untuk berkawan? Sebelum ini, Saufi menunjukkan hasratnya yang ikhlas untuk ’mengahwininya’. Tetapi, kini seolah berbeza. Qistina ragu-ragu. Prinsipnya, tiada ikatan perhubungan ’rapat’ dengan muslimin, jika bukan bermatlamatkan ikatan pernikahan. Tiada jawapan daripada Saufi. Lama. Pertanyaan Qistina tentang ’matlamat perhubungan’ tetap tidak terjawab.

..bersambung..

No comments: