Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Tuesday, April 29, 2008

Dalam Sujud Cintaku (Part 1)

Jam mencecah 8.45 malam.Faiqah baru selesai solat fardhu Isya’.

’Bosannya,’keluh Faiqah.
“Salam Ti,kau buat apa tu?”tangannya menekan punat ’send’ handsetnya.Lama menanti,tiada balasan daripada Ibtisam

.’Sibuk betul makcik ni sorang,’ngomel Faiqah sendirian.Hari minggu walaupun pulang ke rumah,Faiqah tetap bersendirian.Bila tak pulang ke rumah,bising pula mama membebel.Walaupun menjadi rutin,telinganya sudah semakin nipis mendengar bebelan mama.Tak sanggup lagi.

“Fai!Mari turun makan!” jeritan Mak Odah mematikan kebosanan Faiqah.Perutnya sudah menyanyi-nyanyi minta diisi.

”Kejap Mak Odah,Fai turun,” rambut perangnya disisir rapi.Dia berlari menuju ke dapur.Mak Odah sedang sibuk menghidangkan makanan. Faiqah memeluk pinggang Mak Odah.Sahaja mengejutkan Mak Odah.

”Opocot!mak cot!cot!cot!,” Mak Odah melatah kuat. Latah Mak Odah melucukan hatinya yang kebosanan. Ketawanya pecah.Dia ketawa gelihati.

”Fai ni,kalau tak sakat Mak Odah tak boleh ke.Tiba-tiba Mak Odah mati macam mana?”Mak Odah mengurut dadanya perlahan.Masih terkejut.

”Hehe.Maaflah Mak Odah.Ala,Fai gurau je Mak Odah.Dengan siapa lagi Fai nak bermanja kan,” matanya dikenyitkan pada Mak Odah.Mangkuk berisi kari ayam diambil dari tangan Mak Odah,dibawa ke meja makan.Mak Odah hanya tersenyum.Sudah masak dengan perangai Faiqah yang suka mengusiknya.Seperti anak sendiri.

”Nampaknya kita berdua lagi yang makan bersama Mak Odah,” Faiqah menyenduk nasi ke pinggannya.Sayur campur dicapainya.Dia berasa kecewa.Walaupun sering begitu,tapi dia masih mengharapkan dapat makan sekeluarga bersama seperti waktu kecil dahulu.

”Datin balik lewat malam ini,dia ada telefon tadi.Ada mesyuarat katanya,” Mak Odah memahami redup di hati Faiqah.Faiqah semakin dewasa,jiwa remajanya masih menuntun sebuah kasih sayang yang dapat mendamaikan hatinya.

Faiqah senyum hambar mendengar kata-kata Mak Odah.Mesyuarat,itulah jawapan yang sering diberikan oleh mama.

”La,janganlah moyok depan rezeki ini.Tak baik Fai.Syukur kita masih dapat makan,” Mak Odah bicara lembut.Tak betah melihat wajah Faiqah yang mendung itu.

”Makanlah dengan gembira.Nikmat Allah patut kita syukuri.Hidup ini Fai,pasti ada kekurangan dan ujiannya.Cuba Fai tengok di luar sana,ramai yang mati kelaparan,hidup sebatang kara.Fai lebih bertuah,banyak nikmat yang Fai dapat anugerah dariNya,”Mak Odah mencedok kari ayam ke pinggan Faiqah.Cuba tenangkan hati Faiqah.”Makan banyak-banyak.”

”Terima kasih Mak Odah.Tapikan Mak Odah,masa makan tak elok kita bercakap banyak-banyak,” lesung pipit Faiqah kelihatan,menyakat Mak Odah lagi.

”Kamu ni Fai,tak habis-habis nak sakat Mak Odah.Cepat makan,” Mak Odah menggelengkan kepalanya.Senyum.Terhibur dengan gelagat Faiqah yang periang.

”Adik tidur ye Mak Odah?”
”A’ah,baru sekejap tadi dia tidur.Selepas Mak Odah suapkan bubur.”
”Baguslah,” Faiqah menghabiskan nasi yang berbaki.

”Salam Fai,maaflah aku ada kerja tadi.Kenapa?Rindu kat aku ye,” mesej Ibtisam buatkan Faiqah tersenyum.Memang dia rindukan Ibtisam.Mana tidaknya,di kampus sentiasa berkepit.Kadang-kadang dia pun pelik kenapa Ibtisam tidak kekok berkawan rapat dengannya,sedangkan penampilan mereka berdua jauh berbeza.Sikap Ibtisam yang tidak memandang rendah dengannya,buatkan dia selesa bersama Ibtisam,menyayangi sahabatnya itu.

”Mestilah rindu.Rindu nak dengar bebelen mak nenek ni.”Seronok mengusik Ibtisam.
”Yela,mak nenek pun tak sabar nak membebel ni,eheh.”Ibtisam memang serasi dengannya.

”Okaylah Ti.Esok aku balik hostel awal.Kau jangan keluar tau,tunggu aku.Aku mengantuklah,tido dulu.Assalamualaikum.”Faiqah berbaring di atas sofa ruang tamu.Menenangkan fikiran yang selalu kusut.Dia memilih untuk tinggal di asrama walaupun jarak rumah ke kampus bukanlah terlalu jauh.Suara bebelan mama hanya dipekakkan telinga.Dia tahu tindakannya kurang elok buat keluarganya.Siapa yang tidak kenal dengan Datuk ’Azim dan Datin Harlina di kota metropolitan itu.Tapi dia tidak mahu jadi seperti along, dipaksa dan terpaksa,akhirnya along hanya hanyut dalam dunianya sendiri.Faiqah sedaya mampu memujuk mama membenarkannya hidup dengan cara sendiri,mama akhirnya menerima keputusannya setelah berhujah.Itulah keluarganya,setiap perkara dilakukan perlu ada hujah yang konkrit.Dan dia mewarisi mama yang pandai berhujah,padan dengan mama yang menjadi pengerusi wanita korporat di Kuala Lumpur dan berkecimpung dalam dunia politik.

Bunyi deruan enjin menganggu lena Faiqah.’Pasti papa sudah pulang,’getus Faiqah.Hampir pukul sepuluh malam.Baru papa pulang.Mama pula masih belum kelihatan.Loceng berdering,Faiqah membiarkan.Mak Odah bergegas membuka pintu.

”Angah belum tidur lagi?” Sapaan papa membangkitkan Faiqah.
”Belum,pa.Papa dah ma...........,”

”Papa naik dulu ye,penat sangat.”Belum sempat Faiqah bertanya,papa meninggalkannya.Dia termanggu,hanya melihat derap langkah papa menaiki tangga,berlalu begitu sahaja.Datuk ’Azim hilang dari pandangan.Telah sekian lama dia tidak mendengar suara papa,bermesra dengannya.Adakah dia hanyalah tunggul dalam rumah agam ini?Sekadar menanti kepulangan dan tidak dialukan kewujudannya?Faiqah melepaskan keluhan berat.Dia semakin bosan dengan hidupnya.

......................

Faiqah wudhu’,bersihkan diri untuk solat subuh.Dia mengenakan telekung dan menuju ke bilik Mak Odah.Pintu dikuakkan,memerhati samada Mak Odah telah solat atau belum.Fattah,adik bongsunya masih lena.

”Mak Odah,Fai nak solat sama-sama.Mak Odah jadi imam ye,”Faiqah menghamparkan sejadah di belakang sebelah kanan Mak Odah.Sejak kecil,dia dan along sangat rapat dengan Mak Odah.Mak Odahlah yang ajar mereka,didik mereka untuk solat.Ibtisam pula sering mengajaknya bersama solat berjemaah.Setiap subuh,Ibtisam akan menantinya untuk solat bersama.Hatinya berasa tenang bila berjemaah.Dia sangat mengagumi Ibtisam,seorang yang lembut,sangat sopan dalam bicara.Ibtisam banyak merubah dirinya sedikit demi sedikit tanpa dia sedari. Bicara lembut Ibtisam masih segar dalam ingatan,’Hidayah Allah akan sentiasa bersama kita apabila kita solat berjemaah.Solat berjemaah adalah amalan yang dapat menarik hidayah Allah.Selain makan bersama,bermaafan sebelum tidur.’ Faiqah merasakan solatnya lebih bermakna dan menenangkan hidupnya yang baginya membebankan.’Alhamdulillah,’Faiqah bersyukur.’Moga-moga pintu hidayah Allah masih terbuka untuk aku dan keluargaku,’doa Faiqah perlahan.

Tangan tua Mak Odah disalami selesai solat.Lama tangan itu dikucup.Terasa panas dan basah.Faiqah menangis.Air matanya laju mengalir tanpa dipinta.Mak Odah agak terkejut.

”Fai minta ampun Mak Odah,”suara Faiqah tersekat-sekat dalam sendu.
”Fai,kenapa menangis ni?” Kepala Faiqah diangkat,manik jernih dilihat laju mengalir di pipi Faiqah.

”Kenapa hidup Fai begini Mak Odah.Fai sudah tak larat,Fai penat,”tangisannya bertambah pilu.Mukanya disembamkan di riba Mak Odah.Terus menangis.Dia terasa lemah.Penat menghadapi masalah keluarga yang dia sendiri tidak tahu apakah puncanya.Tapi dia turut menjadi mangsa.

Mak Odah mengelus lembut pipi Faiqah yang basah.”Jangan begini Fai.Kita tak layak untuk persoalkan kehidupan ketentuan Allah.Setiap yang berlaku dalam hidup ini,kita kena hadapinya dengan tabah.Dan perlu banyak bersabar.Kesabaran itu mengukur tahap keimanan kita pada Yang Esa.”

’Keimanan?Berimankah aku?Apakah itu iman?,’Faiqah bermain-main dengan persoalan.

”Iman Mak Odah?Fai ini beriman ke?,”persoalan itu tiba-tiba dilontarkan.Dia pun masih keliru dengan hidupnya sendiri.Kalau tanpa Mak Odah,dia belum tentu dapat istiqamah dalam solatnya.Papa dan mama tak pernah mengambil berat dalam hal-hal ibadah,urusan akhirat.Adakah papa dan mama masih menjaga solat,dia tak pasti.Kalau tanpa Ibtisam,dia tak tahu ke mana dirinya akan hanyut dalam zaman remajanya.Kalaulah dia tak tinggal di asrama,dia tak akan kenali Ibtisam.Kalaulah dia menerima tawaran belajar di Jepun dahulu,dia tak ada sahabat seperti Ibtisam.Sungguh banyak istilah ’kalau’ dalam kamus hidup Faiqah.Kalau tanpa ’kalau’..’Oh diri,mengapa masih tidak bersyukur’.Faiqah masih dalam sendu.Matanya berkaca-kaca.

”Fai..kalau tanpa iman,Fai tidak akan menunaikan solat,puasa.Hati manusia yang telah mengakui keesaan Allah,sifat Ilah dan RabbNya akan terzahir melalui perbuatannya.Fai masih solat dan puasa,itu menunjukkan dalam hati Fai mengakui keesaan Allah.Itulah dinamakan iman Fai.Fai kena yakin,”Mak Odah menenangkan Faiqah.

”Tapi iman apakah Fai ini,sedangkan Fai tidak bertudung?”
Sejak sekolah dia tidak bertudung.Dia masih ingat ketika berusia 9 tahun,dia meminta mama membelikannya tudung.Tapi mama memarahinya.”Pakai tudung itu kolot!!Angah tak akan maju dengan bertudung!!Zaman sekarang orang semakin maju,dunia global,takkan Angah mahu ketinggalan dengan bertudung? Jangan malukan mama!” Faiqah hanya diam,takut untuk menentang mama.Dia pun lihat mama menjadi orang yang hebat dengan tidak bertudung.Mama memang jelita,kacukan Arab-Acheh.Dia bangga mempunyai ibu seperti mama ketika itu.Dia memang mewarisi kejelitaan mama tapi lebih banyak ke arah papa,berdarah Scotland.Kerana pegangan mama,sehingga kini dia masih mempamerkan rambutnya yang cantik kepada umum.
Mak Odah kehilangan kata-kata untuk menjawab persoalan Faiqah.Iman yang bagaimana?Bukan manusia yang dapat tentukan.Kulluhu fiyadillah.(Semuanya di tangan Allah).

”Iman Fai masih belum cukup sempurna,”ujar Mak Odah ringkas.
”Jadi,bila Fai pakai tudung,iman Fai akan betul-betul sempurna sepenuhnya?, Faiqah memandang tepat bola mata Mak Odah.Minta kepastian.

”Mungkin.”
”Mungkin?Kenapa hanya mungkin?”

Persoalan bertalu Faiqah sering mematikan aqal Mak Odah untuk memberikan jawapan.Bagaimanakah cara untuk menerangkan.Faiqah anak politik,dan pemikirannya banyak bergantung kepada logik aqal seperti barat.Dia dilatih sebegitu dalam keluarga.”Fai,Mak Odah bukan yang terbaik untuk menjawab persoalan Fai.Hanya sekadar itu Mak Odah dapat jelaskan.Fai mintalah pandangan yang lebih arif dan mohon hidayah daripada Allah.” Faiqah mengangguk-angguk lemah.Matanya dipejam rapat.Sisa air mata masih mengalir.Dadanya sesak,seolah-olah mencari sesuatu,entah bila akan diperolehi.’Ya Allah,kenapa dengan diriku ini,’hatinya lemah berbicara.
..bersambung..

No comments: