Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Thursday, September 04, 2008

Ramadhan..Benarkah Menggamit Kerinduan?

Ramadhan menyingkap tirainya kembali, pelbagai ucapan,peringatan,muhasabah dari segenap pelusuk umat Islam yang mengakui hakikat pensyariatannya. Namun, kadang-kadang terfikir, benarkah kita merindui Ramadhan? Benarkah kita ikhlas menyambut kedatangan Ramadhan? Terjerut rasa kegerunan mengingatkan sabda Rasulullah s.a.w. mafhumnya : “Banyak sekali orang yang berpuasa itu, tetapi tidak ada diperolehi dari puasanya itu kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja” (HR Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Merengkuh ke dalam diri, saban Ramadhan disogokkan dengan kuliah,forum,artikel peringatan, tetapi hati kita sebenarnya ingin mencari manisan dan hikmah disebalik pensyariatan, bukan sekadar pengetahuan tanpa penghayatan berpandukan iman.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah (183) mafhumnya :
“Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu BERTAKWA”

Alangkah Penyayangnya Maha Suci Allah kerana pensyariatan dariNya hanyalah semata-mata untuk mengangkat martabat hambaNya yang sentiasa bergelumang dengan dosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun atas setiap dosa hambaNya, sedangkan setiap saat,setiap detik waktu, Allah telah berjanji menerima taubat hamba-hambaNya..Masih tidak cukup dengan semesta ,selautan maghfirahNya yang telah disediakan, Allah tambahkan lagi dengan satu bulan, Bulan Keberkatan menyediakan tidak terhitung ganjarannya dan barokahnya..Maha Suci Allah yang sentiasa berkehendakkan mensucikan hamba-hambaNya tanpa meminta pembalasan melainkan KEIKHLASAN.

Koreksi, Menerobosi Mata Hati

Sayyid Qutb berkata : ‘Allah Maha Mengetahui jiwa manusia memerlukan pertolongan,dorongan dan ransangan dalam perlaksanaan taklif hingga jiwa manusia yakin dan merelakannya. Oleh sebab itulah al-Quran memulakan taklif itu dengan seruan yang mesra kepada para mukminin, iaitu seruan yang mengingatkan kepada hakikat mereka yang semula jadi. Selepas seruan itu barulah dijelaskan bahawa ibadat puasa itu adalah satu fardu yang diwajibkan ke atas para mukminin. Matlamat utama daripada ibadat itu ialah menyediakan hati mereka untuk diisikan dengan takwa, perasaan jernih dan hening, kesedaran yang peka dan rasa takut kepada Allah’.

Kocaknya jiwa memerlukan ketenangan. Dan tiada yang lebih menenangkan hanya dengan mengingati Allah. Sujud kita sebagai tanda perhambaan dan kesyukuran, perlu dibungkah sejauh mana dilakukan dengan penuh kerelaan tanpa mengharapkan ganjaran.

”Aku mengabdi kepada Allah bukan kerana takut kepada neraka, bukan pula ingin masuk syurga.. tetapi aku mengabdikan diri kerana cintaku dan rinduku padaNya. Tuhanku jika kupuja Engkau kerana takutkan neraka bakarlah aku di dalamnya. jika kupuja Engkau kerana mengharapkan syurga jauhkanlah aku daripadanya, tetapi jika Engkau ku puja semata-mata kerana Engkau maka janganlah sembunyikan kecantikanMu yang kekal dariku.” -Rabi'atul Adawiyah-

Begitu indahnya pepatah ahli sufi Rabi’atul Adawiyah,hidupnya dihiasi dengan perhambakan diri kepada Allah semata..Subhanallah..

Sesungguhnya ibadah puasa medan Tarbiyyah ruhiyyah,jasadiyyah wa ‘aqliyyah dari Allah kepada hambaNya..Hidup ini tidak menjanjikan laluan yang lurus dan menyelesakan, tetapi dihiasi dengan kaca,duri,likuan,kelicinan yang tidak tergambarkan oleh aqal fikiran..Bersyukurlah kerana Allah benar-benar menyayangi kita, kerana DIA tidak pernah membiarkan kita menempuh segala kesukaran tanpa latihan,didikan dan bimbinganNya sebelumnya.

“Kerana sesunguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” (al-Insyirah 5-6)

Graviti Hati

Suka untuk dikongsikan bersama muhasabah daripada motivator popular,Pahrol Juoi. Hati ini umpama magnet. Ia mempunyai kuasa menarik sesuatu dari luar. Apa yang dirasakan, menentukan apa yang diterima sebagai pantulan. Justeru, penting sekali bersangka baik, agar kebaikan akan ‘ditarik’ ke dalam diri.

“Aku menurut sangka hambaKu terhadapKu dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepadaKu, apabila dia mengingatiKu sendirian, maka Aku akan mengingatinya sendirian pula.Kalau dia mengingatiKu bersama orang ramai, maka Aku mengingatinya pula bersama orang yang lebih daripada itu (malaikat).” (Hadis Qudsi)

Hati itu ditarik antara dua graviti. Pertama, gravity tahap tinggi pintalan ilham para malaikat. Kedua, graviti menjunam lembah kehinaan simpulan para syaitan. Pandulah magnet hati menuju kemuliaan. Berhati-hatilah, jangan biarkan diri terkapar antara dua tarikan graviti..membuat kebaikan belum terasa kemanisannya, melakukan kejahatan tidak sunyi diburu rasa keresahannya..Allahu ta’ala ‘alam..

No comments: