Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Berdasarkan Akta Hakcipta 1987:
Dilarang untuk mencetak, mengulang siar, mengambil, mencuri, menciplak, dan sebagainya tanpa izin daripada penulis.Hak cipta blog adalah terpelihara (Kenyataan ini hanya untuk penulisan saya dalam subjek 'karyaku' kerana melibatkan penghantaran ke media cetak.Penulisan lain tiada akta halangan.Dialukan penyebaran)

Wednesday, April 30, 2008

::Imtihan Kehidupan::


Bismillahwalhamdulillah..lama tidak mencoret dek kesibukan dunia..dunia yg mampu menjadi fitnah,mengheret kita ke neraka..nauzubillah..moga2 urusan dunia yang kita sibukkan adalah tanaman untuk dituai di akhirat kelak..ameen..


Alhamdulillah imtihan terakhir di kampus sudah berakhir..natijahnya wallahua'lam..hanya kepada Allah diri ini bertawakkal..beberapa bulan lagi biiznillah dapatlah menerima segulung ijazah bersama sahabat-sahabat seperjuangan yang lain..duk fikirkan, duk bermain di kepala ni..apa yang aku akan lakukan selepas ini? di mana akan ku berkhidmat selepas ini? di mana,ke mana, bagaimana da'wahku selepas ini? Banyak benar persoalan..Banyaklah juga impian yang ingin digapai..dengan ilmu yang terlalu cetek..dengan amal yang xtermampu diungkap (manakah yg diterima?)..bagaimana,bagaimanakah diriku selepas ini?


Antara tuntutan diri & tuntutan ummah


Benarlah apa yang dikata..dunia kerjaya bukanlah seindah yang disangkakan..pasti banyak cabarannya..duk fikirkan, rasa gerun menerjah..ujian untuk istiqomah pasti mendatang..antara masa menghambat, terpesona dengan wang,kejar terus mengejar mengumpul harta, wah..benar-benar menggerunkan..jika futur semakin menghampiri..apakan daya, hati dan jasadi ini milik Yang Esa..kepadaNya ku berserah untuk ditetapkan iman..diberikan kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan ini..Tidak lupa untukku ucapkan tahniah buat sahabat-sahabat yang berada di bidang kerjaya, masih istiqamah dalam perjuangan ini..Mabruk!!


Mabruk buat Sahabat yang membina Bait Almuslim


Di tahun-tahun akhir begini, banyaklah undangan diterima..fi kulli hal, ucapan tahniah buat semua sahabat tersayang yang bakal mendirikan Bait Almuslim..Allah Maha Pemurah..Murahnya rezeki antum/antunna..Ana turut tumpang gembira.Hanya doa sebagai pengirim diri jika tidak mampu menghadiri..Poning den, xtau nak pi yg mano satu nih..


Kehidupan menuntut Kesabaran


Tanpa sabar,tiadalah kehidupan..Latihlah diri dalam setiap saat menempuh kehidupan..Sabar,Sabar,Sabar...salah satu zikirku setiap kali dada didesak dengan ketidaksabaran memburu impian..Ingatkan diri, jika Allah izinkan, jika kehidupan sekarang lebih mendekatkan diri kepada Allah berbanding dengan kehidupan yang diimpikan, biarlah hidup ini sebegini..Cuma satu..satu dipohon, agar Allah tidak gugurkan diri ini dalam medan perjuangan..kerana tapisan Allah terhadap hambaNya yang terpilih dalam perjuangan ini tidak pernah berakhir..Maha Suci Allah yang mengaturkan segalaNya..DaripadaMu diriku datang..KepadaMu jua ku akan kembali..Doakan ku jua sahabat!!!...

Tuesday, April 29, 2008

Dalam Sujud Cintaku (Part 1)

Jam mencecah 8.45 malam.Faiqah baru selesai solat fardhu Isya’.

’Bosannya,’keluh Faiqah.
“Salam Ti,kau buat apa tu?”tangannya menekan punat ’send’ handsetnya.Lama menanti,tiada balasan daripada Ibtisam

.’Sibuk betul makcik ni sorang,’ngomel Faiqah sendirian.Hari minggu walaupun pulang ke rumah,Faiqah tetap bersendirian.Bila tak pulang ke rumah,bising pula mama membebel.Walaupun menjadi rutin,telinganya sudah semakin nipis mendengar bebelan mama.Tak sanggup lagi.

“Fai!Mari turun makan!” jeritan Mak Odah mematikan kebosanan Faiqah.Perutnya sudah menyanyi-nyanyi minta diisi.

”Kejap Mak Odah,Fai turun,” rambut perangnya disisir rapi.Dia berlari menuju ke dapur.Mak Odah sedang sibuk menghidangkan makanan. Faiqah memeluk pinggang Mak Odah.Sahaja mengejutkan Mak Odah.

”Opocot!mak cot!cot!cot!,” Mak Odah melatah kuat. Latah Mak Odah melucukan hatinya yang kebosanan. Ketawanya pecah.Dia ketawa gelihati.

”Fai ni,kalau tak sakat Mak Odah tak boleh ke.Tiba-tiba Mak Odah mati macam mana?”Mak Odah mengurut dadanya perlahan.Masih terkejut.

”Hehe.Maaflah Mak Odah.Ala,Fai gurau je Mak Odah.Dengan siapa lagi Fai nak bermanja kan,” matanya dikenyitkan pada Mak Odah.Mangkuk berisi kari ayam diambil dari tangan Mak Odah,dibawa ke meja makan.Mak Odah hanya tersenyum.Sudah masak dengan perangai Faiqah yang suka mengusiknya.Seperti anak sendiri.

”Nampaknya kita berdua lagi yang makan bersama Mak Odah,” Faiqah menyenduk nasi ke pinggannya.Sayur campur dicapainya.Dia berasa kecewa.Walaupun sering begitu,tapi dia masih mengharapkan dapat makan sekeluarga bersama seperti waktu kecil dahulu.

”Datin balik lewat malam ini,dia ada telefon tadi.Ada mesyuarat katanya,” Mak Odah memahami redup di hati Faiqah.Faiqah semakin dewasa,jiwa remajanya masih menuntun sebuah kasih sayang yang dapat mendamaikan hatinya.

Faiqah senyum hambar mendengar kata-kata Mak Odah.Mesyuarat,itulah jawapan yang sering diberikan oleh mama.

”La,janganlah moyok depan rezeki ini.Tak baik Fai.Syukur kita masih dapat makan,” Mak Odah bicara lembut.Tak betah melihat wajah Faiqah yang mendung itu.

”Makanlah dengan gembira.Nikmat Allah patut kita syukuri.Hidup ini Fai,pasti ada kekurangan dan ujiannya.Cuba Fai tengok di luar sana,ramai yang mati kelaparan,hidup sebatang kara.Fai lebih bertuah,banyak nikmat yang Fai dapat anugerah dariNya,”Mak Odah mencedok kari ayam ke pinggan Faiqah.Cuba tenangkan hati Faiqah.”Makan banyak-banyak.”

”Terima kasih Mak Odah.Tapikan Mak Odah,masa makan tak elok kita bercakap banyak-banyak,” lesung pipit Faiqah kelihatan,menyakat Mak Odah lagi.

”Kamu ni Fai,tak habis-habis nak sakat Mak Odah.Cepat makan,” Mak Odah menggelengkan kepalanya.Senyum.Terhibur dengan gelagat Faiqah yang periang.

”Adik tidur ye Mak Odah?”
”A’ah,baru sekejap tadi dia tidur.Selepas Mak Odah suapkan bubur.”
”Baguslah,” Faiqah menghabiskan nasi yang berbaki.

”Salam Fai,maaflah aku ada kerja tadi.Kenapa?Rindu kat aku ye,” mesej Ibtisam buatkan Faiqah tersenyum.Memang dia rindukan Ibtisam.Mana tidaknya,di kampus sentiasa berkepit.Kadang-kadang dia pun pelik kenapa Ibtisam tidak kekok berkawan rapat dengannya,sedangkan penampilan mereka berdua jauh berbeza.Sikap Ibtisam yang tidak memandang rendah dengannya,buatkan dia selesa bersama Ibtisam,menyayangi sahabatnya itu.

”Mestilah rindu.Rindu nak dengar bebelen mak nenek ni.”Seronok mengusik Ibtisam.
”Yela,mak nenek pun tak sabar nak membebel ni,eheh.”Ibtisam memang serasi dengannya.

”Okaylah Ti.Esok aku balik hostel awal.Kau jangan keluar tau,tunggu aku.Aku mengantuklah,tido dulu.Assalamualaikum.”Faiqah berbaring di atas sofa ruang tamu.Menenangkan fikiran yang selalu kusut.Dia memilih untuk tinggal di asrama walaupun jarak rumah ke kampus bukanlah terlalu jauh.Suara bebelan mama hanya dipekakkan telinga.Dia tahu tindakannya kurang elok buat keluarganya.Siapa yang tidak kenal dengan Datuk ’Azim dan Datin Harlina di kota metropolitan itu.Tapi dia tidak mahu jadi seperti along, dipaksa dan terpaksa,akhirnya along hanya hanyut dalam dunianya sendiri.Faiqah sedaya mampu memujuk mama membenarkannya hidup dengan cara sendiri,mama akhirnya menerima keputusannya setelah berhujah.Itulah keluarganya,setiap perkara dilakukan perlu ada hujah yang konkrit.Dan dia mewarisi mama yang pandai berhujah,padan dengan mama yang menjadi pengerusi wanita korporat di Kuala Lumpur dan berkecimpung dalam dunia politik.

Bunyi deruan enjin menganggu lena Faiqah.’Pasti papa sudah pulang,’getus Faiqah.Hampir pukul sepuluh malam.Baru papa pulang.Mama pula masih belum kelihatan.Loceng berdering,Faiqah membiarkan.Mak Odah bergegas membuka pintu.

”Angah belum tidur lagi?” Sapaan papa membangkitkan Faiqah.
”Belum,pa.Papa dah ma...........,”

”Papa naik dulu ye,penat sangat.”Belum sempat Faiqah bertanya,papa meninggalkannya.Dia termanggu,hanya melihat derap langkah papa menaiki tangga,berlalu begitu sahaja.Datuk ’Azim hilang dari pandangan.Telah sekian lama dia tidak mendengar suara papa,bermesra dengannya.Adakah dia hanyalah tunggul dalam rumah agam ini?Sekadar menanti kepulangan dan tidak dialukan kewujudannya?Faiqah melepaskan keluhan berat.Dia semakin bosan dengan hidupnya.

......................

Faiqah wudhu’,bersihkan diri untuk solat subuh.Dia mengenakan telekung dan menuju ke bilik Mak Odah.Pintu dikuakkan,memerhati samada Mak Odah telah solat atau belum.Fattah,adik bongsunya masih lena.

”Mak Odah,Fai nak solat sama-sama.Mak Odah jadi imam ye,”Faiqah menghamparkan sejadah di belakang sebelah kanan Mak Odah.Sejak kecil,dia dan along sangat rapat dengan Mak Odah.Mak Odahlah yang ajar mereka,didik mereka untuk solat.Ibtisam pula sering mengajaknya bersama solat berjemaah.Setiap subuh,Ibtisam akan menantinya untuk solat bersama.Hatinya berasa tenang bila berjemaah.Dia sangat mengagumi Ibtisam,seorang yang lembut,sangat sopan dalam bicara.Ibtisam banyak merubah dirinya sedikit demi sedikit tanpa dia sedari. Bicara lembut Ibtisam masih segar dalam ingatan,’Hidayah Allah akan sentiasa bersama kita apabila kita solat berjemaah.Solat berjemaah adalah amalan yang dapat menarik hidayah Allah.Selain makan bersama,bermaafan sebelum tidur.’ Faiqah merasakan solatnya lebih bermakna dan menenangkan hidupnya yang baginya membebankan.’Alhamdulillah,’Faiqah bersyukur.’Moga-moga pintu hidayah Allah masih terbuka untuk aku dan keluargaku,’doa Faiqah perlahan.

Tangan tua Mak Odah disalami selesai solat.Lama tangan itu dikucup.Terasa panas dan basah.Faiqah menangis.Air matanya laju mengalir tanpa dipinta.Mak Odah agak terkejut.

”Fai minta ampun Mak Odah,”suara Faiqah tersekat-sekat dalam sendu.
”Fai,kenapa menangis ni?” Kepala Faiqah diangkat,manik jernih dilihat laju mengalir di pipi Faiqah.

”Kenapa hidup Fai begini Mak Odah.Fai sudah tak larat,Fai penat,”tangisannya bertambah pilu.Mukanya disembamkan di riba Mak Odah.Terus menangis.Dia terasa lemah.Penat menghadapi masalah keluarga yang dia sendiri tidak tahu apakah puncanya.Tapi dia turut menjadi mangsa.

Mak Odah mengelus lembut pipi Faiqah yang basah.”Jangan begini Fai.Kita tak layak untuk persoalkan kehidupan ketentuan Allah.Setiap yang berlaku dalam hidup ini,kita kena hadapinya dengan tabah.Dan perlu banyak bersabar.Kesabaran itu mengukur tahap keimanan kita pada Yang Esa.”

’Keimanan?Berimankah aku?Apakah itu iman?,’Faiqah bermain-main dengan persoalan.

”Iman Mak Odah?Fai ini beriman ke?,”persoalan itu tiba-tiba dilontarkan.Dia pun masih keliru dengan hidupnya sendiri.Kalau tanpa Mak Odah,dia belum tentu dapat istiqamah dalam solatnya.Papa dan mama tak pernah mengambil berat dalam hal-hal ibadah,urusan akhirat.Adakah papa dan mama masih menjaga solat,dia tak pasti.Kalau tanpa Ibtisam,dia tak tahu ke mana dirinya akan hanyut dalam zaman remajanya.Kalaulah dia tak tinggal di asrama,dia tak akan kenali Ibtisam.Kalaulah dia menerima tawaran belajar di Jepun dahulu,dia tak ada sahabat seperti Ibtisam.Sungguh banyak istilah ’kalau’ dalam kamus hidup Faiqah.Kalau tanpa ’kalau’..’Oh diri,mengapa masih tidak bersyukur’.Faiqah masih dalam sendu.Matanya berkaca-kaca.

”Fai..kalau tanpa iman,Fai tidak akan menunaikan solat,puasa.Hati manusia yang telah mengakui keesaan Allah,sifat Ilah dan RabbNya akan terzahir melalui perbuatannya.Fai masih solat dan puasa,itu menunjukkan dalam hati Fai mengakui keesaan Allah.Itulah dinamakan iman Fai.Fai kena yakin,”Mak Odah menenangkan Faiqah.

”Tapi iman apakah Fai ini,sedangkan Fai tidak bertudung?”
Sejak sekolah dia tidak bertudung.Dia masih ingat ketika berusia 9 tahun,dia meminta mama membelikannya tudung.Tapi mama memarahinya.”Pakai tudung itu kolot!!Angah tak akan maju dengan bertudung!!Zaman sekarang orang semakin maju,dunia global,takkan Angah mahu ketinggalan dengan bertudung? Jangan malukan mama!” Faiqah hanya diam,takut untuk menentang mama.Dia pun lihat mama menjadi orang yang hebat dengan tidak bertudung.Mama memang jelita,kacukan Arab-Acheh.Dia bangga mempunyai ibu seperti mama ketika itu.Dia memang mewarisi kejelitaan mama tapi lebih banyak ke arah papa,berdarah Scotland.Kerana pegangan mama,sehingga kini dia masih mempamerkan rambutnya yang cantik kepada umum.
Mak Odah kehilangan kata-kata untuk menjawab persoalan Faiqah.Iman yang bagaimana?Bukan manusia yang dapat tentukan.Kulluhu fiyadillah.(Semuanya di tangan Allah).

”Iman Fai masih belum cukup sempurna,”ujar Mak Odah ringkas.
”Jadi,bila Fai pakai tudung,iman Fai akan betul-betul sempurna sepenuhnya?, Faiqah memandang tepat bola mata Mak Odah.Minta kepastian.

”Mungkin.”
”Mungkin?Kenapa hanya mungkin?”

Persoalan bertalu Faiqah sering mematikan aqal Mak Odah untuk memberikan jawapan.Bagaimanakah cara untuk menerangkan.Faiqah anak politik,dan pemikirannya banyak bergantung kepada logik aqal seperti barat.Dia dilatih sebegitu dalam keluarga.”Fai,Mak Odah bukan yang terbaik untuk menjawab persoalan Fai.Hanya sekadar itu Mak Odah dapat jelaskan.Fai mintalah pandangan yang lebih arif dan mohon hidayah daripada Allah.” Faiqah mengangguk-angguk lemah.Matanya dipejam rapat.Sisa air mata masih mengalir.Dadanya sesak,seolah-olah mencari sesuatu,entah bila akan diperolehi.’Ya Allah,kenapa dengan diriku ini,’hatinya lemah berbicara.
..bersambung..

Metamorf Azzeriyyah (Part 2)

“Ingatlah anakku, Bangsa Cassemen tidak akan sekali-kali melepaskan kita. Mereka akan terus memerangi dan menghapuskan kita, umat Islam. Hapuskan segala penipuan, musnahkah dunia kegelapan. Ubaidahlah harapan ayah dan ibu,” catatan lusuh itu masih tersimpan elok. Wasiat lama daripada ayah dan ibu sering ditatap Ubaidah berulang kali. Itulah penguat baginya untuk teruskan tanggungjawab yang terpikul.

“Kita dalam bahaya!! Puak Cassemen telah membunuh ramai saintis-saintis kita!! Apa yang perlu kita lakukan, abang??” Prof.Najlah cemas. Bunyi tembakan-tembakan peluru berpandu menakutkan Prof.Najlah yang sedang mengendong bayi kecil berusia 3 bulan. Wajah tulus anak kecil dipandang dengan sayu, bimbang akan nasib anak yang baru sahaja melihat dunia.

“Jangan panik, Najlah. Kita adalah pusat terakhir mereka akan serang. Sorokkan Ubaidah ke tempat yang selamat dan tinggalkan notis di sisinya. Jangan lupa, letakkan sekali hasil kajian dan manual rekacipta i-Dcom kita. Mereka mahukan ciptaan kita ini,” Professor Amrullah bertindak tenang, tangannya menekan punat papan kekunci komputer. Mesej pesanan terakhir di hantar kepada saudaranya di lain kota.

“Tapi, bagaimana dengan Ubaidah jika mereka memusnahkan rumah dan pusat kajian kita?”
“Mereka tidak akan musnahkan tempat ini.Pusat kajian dan hasil kajian kita adalah buruan mereka. Mereka tidak akan bertindak bodoh dengan memusnahkannya. Cepat, Najlah! Walau apa-apapun, hanya tinggal kita berdua. Pergi ke pusat kawalan, lihat pergerakan musuh.Abang akan berhadapan dengan mereka,” Prof.Amrullah bersiap sedia.

“Pang!!!” tempat mereka telah diceroboh. Belum sempat Prof.Amrullah bertindak, tembakan bertubi-tubi mengena tepat ke tubuhnya. Prof.Amrullah tersungkur rebah dengan banjiran darah pekat membasahi lantai.

Prof.Najlah di pusat kawalan berpeluh-peluh. i-Dcom yang digunakan memancarkan segala kejadian yang berlaku di kota mereka. Signal kehadiran musuh semakin menghampiri menyala-nyala di i-Dcom. Lantas Prof. Najlah mencapai senjata, bersedia. i-Dcom digenggaman ditutup. Debaran di hati bertambah kuat.

“Zuuuuuuuupppp!!!” tiba-tiba sebutir peluru menembusi kepala Prof. Najlah. Pandangannya gelap.

‘Musnahkan i-Dcom. Jangan biarkan mereka memilikinya!’ pesanan suaminya terngiang-ngiang. Picu senjata ditekan dalam keadaan lemah berkali-kali, memusnahkan i-Dcom di hadapan mata tentera Cassemen. Dia terkulai,menghempuskan nafas terakhir.

Kota ilmu, Azzeriyyah bermandikan cecair merah membasahi bumi. Buku-buku ilmu, hasil-hasil kajian saintis-saintis Islam dimusnahkan, hanyut di bawa arus Sungai Aglori. Bersih jernih Sungai Aglori bertukar merah pekat, mayat-mayat saintis Islam dihanyutkan, tenggelam menjadi humus. Berakhirnya kegemilangan keilmuan sains Islam di kota Azzeriyyah. Segala hasil kajian ditiru dan dihasilkan semula oleh bangsa Cassemen, menjadikan mereka bangsa yang paling hebat di dunia. Sehingga kini, diagungkan oleh semua manusia.

“Ayah! Ibu!” Ubaidah terkejut dari mimpinya. Sejak kecil, mimpi itu selalu bertandang dalam tidurnya. Ubaidah menarik nafas dalam. Istighfar meniti di bibir.

Kelahiran Ubaidah membawa satu ancaman besar kepada bangsa Cassemen. Hanya Ubaidah yang mampu memusnahkan dan menghancurkan dunia Cassemen, melenyapkan bangsa mereka yang menumpang di bumi haram bagi mereka. Ubaidah, remaja luar biasa, dikurniakan IQ melebihi orang biasa, memiliki ‘sixth sense’ yang hebat serta mempunyai kemampuan berhujah yang luar biasa, mampu mengalahkan ahli falsafah dan saintis Cassemen. Ubaidah terkenal sebagai anak saintis Islam ulung yang dibunuh dan kelahirannya akan membalas kembali kejadian berdarah berlalu 17 tahun dahulu. Tentera Cassemen telah lama memburunya dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan Ubaidah untuk memusnahkannya.

***
“Sir.Zukerman, kami masih berlembut kerana menghormati Sir. Kami tidak teragak-agak untuk memusnahkan Ubaidah dengan sekelip mata. Ini adalah amaran terakhir kami!” amaran dari tentera atasan Cassemen membuatkan Sir.Zukerman berfikir lama.

Memang, sikap dan pemikiran Ubaidah yang sering mencetuskan kontroversi, menjadi ancaman kepada puak Cassemen. Selama ini Ubaidah dilindunginya, juga di sekolah, Ubaidah diberi hak perlindungan istimewa oleh pihak sekolah atas kuasanya. Tempat tinggal mereka kini telah berjaya dikesan oleh tentera Cassemen, mereka perlu lebih berhati-hati.

“Ubaidah, nyawa Ubaidah semakin terancam. Kedudukan kita telah dikesan musuh. Kita perlu berselindung di tempat baru, cari strategi lain,” Sir.Zukerman mulakan bicara. Putung rokok yang disedut dihembus asapnya perlahan-lahan.

” Pakcik, jangan terlalu takut. Selama ini pakcik telah lama berkorban untuk melindungi Ubaidah. Ubaidah tidak mahu berlari lagi. Pelarian ini memenatkan. Mungkin, sekarang, sudah tiba masanya untuk Ubaidah berdepan dengan mereka,” darah muda mengalir satu semangat yang tidak terungkap. Bebola matanya tepat memandang pakciknya, yang menjaganya sejak kematian kedua ibu dan bapanya. Menyala-nyala, sirna sebuah keyakinan.

Walau berlainan kepercayaan dan agama, Ubaidah ditatang sepenuhnya tanpa batasan sayang. Atas kuasanya, pernah menjadi orang dihormati dan disegani oleh puak Cassemen, sehingga kini Ubaidah masih selamat.

Wasiat Prof.Amrullah ditunaikan sepenuhnya, Ubaidah dididik dan diasuh oleh ulama’ islam, dibekalkan dengan ilmu agama yang tinggi sejak berusia 7 tahun. Sir.Zukerman berpegang pada janji dan amanah diberikan. Berbeza cara hidup dan pegangan, Ubaidah tetap menjadi keutamaan tertinggi dalam hidupnya. Dia kini, bukan lagi bersama puak Cassemen yang suka menumpaskan darah, menimbulkan kekacauan dan peperangan. Walaupun hakikatnya, darahnya masih mengalir darah Cassemen.

” Kau terlalu yakin, Ubaidah. Usiamu masih muda, jangan sia-siakan nyawamu yang berharga,” kerisauannya bertambah. Dia tahu, suatu hari nanti dia tidak akan mampu lagi melindungi Ubaidah. Dan dia kenal, siapa itu Cassemen. Kezaliman dan ketamakan.

” Ubaidah yakin pada Allah. DIA pasti akan membantu orang yang benar. Islam adalah benar, pakcik. Kita adalah benar.”

Sir.Zukerman mengangguk perlahan. Fahami dan hormati pegangan Ubaidah. Ubaidah saling tidak tumpah dengan Prof.Amrullah. Pegangan dan keyakinan cukup tinggi. Ketegasan yang dikagumi.

..bersambung..

Metamorf Azzeriyyah (Part 1)

“Proses evolusi berlaku sekitar 4-5 bilion tahun yang lalu yang dikaji terdapat beberapa "formasi peralihan" (transtional forms) di antara manusia moden dan nenek moyang manusia dahulu”, Mrs.Queny memulakan penerangan.

“Wah, begitu rupanya!” mulut Anthony terlopong mendengar penerangan cikgunya. Kelihatan pelajar-pelajar lain turut menganggukkan kepala, seperti bersetuju dengan ilmu baru yang dicedok.
“Terdapat empat kategori asas telah disusunkan oleh tokoh-tokoh evolusi,iaitu pertama Australopithecines (Australopithecus), yang kedua Homo Habilis, seterusnya yang ketiga Homo Erectus dan yang terakhir ialah Homo Sapiens,“ Mrs.Queny membaiki cermin mata, melihat sekilas ke arah Ubaidah. Jemari Ubaidah melakar-lakar sesuatu di kertas putih, leka.

“Para evolusionis menamakan kategori ini sebagai "Australopithecus" yang bermaksud "beruk Afrika Selatan". Australopithecus, yang tidak lebih daripada sejenis beruk purba yang telah pupus, mempunyai beberapa jenis. Sebahagiannya memiliki susuk tubuh yang sempurna, sementara yang lain bertubuh kecil dan kurus, Mrs.Queny meneruskan penjelasan.
“Evolusionis mengklasifikasikan peringkat berikutnya sebagai "homo", iaitu manusia. Menurut dakwaan mereka, hidupan pada peringkat "Homo" ini lebih maju daripada Australopithecus, dan tidak banyak berbeza dengan manusia moden kini.
[1]
Manusia moden ini, yang dikenali sebagai "homo sapiens", dikatakan telah mengalami perubahan pada peringkat terakhir proses evolusi spesies ini.”
“Model utama Darwinis, yang menjadi haluan utama teori evolusi hari ini, menegaskan bahawa kehidupan ini telah berubah melalui dua mekanisme semula jadi: (1) Pilihan Semula jadi (Natural Selection), dan (2) Mutasi (Mutation). Kenyataan asas teori ini adalah seperti berikut; Pilihan Semula jadi dan Mutasi adalah dua mekanisme yang saling melengkapi. Asal pengubahan secara berperingkat ini ialah mutasi (perubahan) rawak yang mengambil tempat di dalam struktur genetik benda-benda hidup. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh mutasi yang telah dipilih oleh mekanisme pilihan semula jadi dan dengan itu, hidupan ini akan berubah,” Mrs.Queny semakin khusyuk menerangkan.

“Mrs.Queny, siapakah tokoh yang memperkenalkan teori evolusi ini?” soal Meryam ingin lebih tahu.

“Oh, sebenarnya idea tentang teori evolusi ini telah wujud sejak zaman Aristotles. Kemudian, teori ini telah dikembangkan dan diasosiasikan oleh Charles Darwin yang terkenal sebagai ilmuan berpengaruh dalam isu-isu konvensional sebegini.”

“Patutlah teori evolusi ini dinamakan Teori Darwin. Betul tak Mrs.Queny?” Elbert tersengih, bangga dapat mengetahui sejarah evolusi.

Belum sempat Mrs.Queny mengiyakan, satu suara telah mematikan kata-katanya.

“Mengarut!!! Teori evolusi hanya satu penipuan besar, satu penyelewengan falsafah yang membohongi hakikat kejadian penciptaan sebenar. Falsafah dikemukakan oleh Darwin ini adalah "materialisme", yang mengandungi kepalsuan tentang bagaimana kita datang (asal kejadian). Matlamat utama materialisme tiada yang lain melainkan kebendaan dan kebendaan itu adalah intipati segalanya. Barat hanya pandai menipu dan mencuri ilmu-ilmu daripada orang lain!’ riak wajah Ubaidah kelihatan bersahaja dengan lontaran berbisa. Dia berasa jijik dengan tokoh-tokoh barat yang sentiasa diagung-agungkan.

Menyirap darah Mrs.Queny mendengarnya, terasa tercabar dan marah. Pelajar lain turut terasa bahang kutukan Ubaidah tentang orang Barat.

“Jaga kata-katamu, Ubaidah!!”
“Maaf, Mrs.Queny. Saya hanya memberitahu kebenaran yang saya tahu,” Ubaidah masih menjaga adab sebagai pelajar.

“Tidak terdapat sebarang bukti kukuh untuk menyokong imej "manusia-beruk" yang terus didoktrinkan oleh pihak media dan golongan akademik evolusionis. Dengan berus yang masih di tangan, para evolusionis ini menghasilkan makhluk khayalan mereka, tetapi kenyataan bahawa lukisan-lukisan mereka ini langsung tidak menepati fosil-fosil yang ditemui, telah memberikan masalah yang besar kepada mereka. Antara cara yang digunakan untuk menangani masalah ini ialah dengan "mencipta" fosil-fosil yang sebenarnya tidak pernah ditemui,” Ubaidah memutar-mutar pennya di atas kertas.

Semua pelajar diam menumpu kepada kata-kata Ubaidah. Ada yang berbisik-bisik, berkerut wajah mendengarkannya.

“Banyak teori sains seperti teori termodinamik, kekompleksan DNA dalam sistem badan telah menyanggah teori evolusi. Tetapi, walau hakikat teori ini adalah satu penipuan, tetap diterima oleh saintis-saintis barat lain. Sebab utama mengapa teori Darwin ini masih terus dipertahankan walaupun telah disanggah oleh sains, ialah kerana hubung rapat di antara teori ini dan materialisme. Darwin memasukkan falsafah materialis ini ke dalam sains alam semula jadi dan penganjur falsafah ini, para Marxis yang ditonjolkan di kalangan mereka, terus mempertahankan Darwinisme walau apa pun terjadi. Seperti yang dinyatakan oleh Dithfurt, pendekatan sains yang materialis ini diambil sebagai prinsip asas untuk menerangkan hidupan dengan menafikan campur tangan ”supernatural", seperti ciptaan. Mereka, tokoh evolusi ini dan saintis barat lain, tidak lain hanyalah melakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri dan ingin memusnahkan manusia lain, dengan pembohongan dan dotrin ideologi. Menghapuskan konsep hidup bertuhan,” Ubaidah semakin rancak menyanggah. Pandangannya terlontar jauh, memikirkan sesuatu.

“Hentikan!! Kamulah yang membawa pengaruh ideologi terpersong, memesongkan pemikiran pelajar lain dengan falsafah kamu yang mengarut!!” suara Mrs.Queny meninggi.

“Mrs.Queny!! Ingat arahan saya!! Jaga tingkah kamu! Biarkan Ubaidah! Sambung pengajaran!” tiba-tiba Professor Johanson, pengetua sekolah muncul di skrin elektronik yang di hadapan kelas. Wajah dan kata-kata serius Prof.Johanson membuatkan pelajar lain turut terkaku, takut. Mereka tahu setiap perbuatan mereka sepanjang pembelajaran di perhatikan oleh pihak atasan.

“Ya, Prof. Saya ingat,” Mrs.Queny mengendurkan suaranya menjawab. Anak matanya mengerling ke arah Ubaidah, ada rasa tidak puas hati terpalit di hatinya. Dia sebagai guru baru telah diingatkan tentang Ubaidah, tiada siapa yang tidak mengenali Ubaidah di sekolah ini, malah seluruh kota. Ubaidah sering menguji kesabarannya,sering mencanggah fakta-fakta dan sejarah dalam pembelajaran mereka. Tetapi dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Mrs.Queny, kenapa kita belajar teori Darwin sedangkan ianya tidak diterima oleh saintifik?” Mrs.Queny mendengus kasar mendengar persoalan itu. Dia pun buntu. Ubaidah selalu mengharu-birukan dirinya juga guru-guru lain.

“Tit..tit..tit,” i-Dcom Ubaidah berbunyi. Sir.Jen. Brace Zukerman muncul.
“Ubaidah, cepat pulang ke rumah!!” paparan skrin terus tertutup. Ubaidah segera melangkah keluar meninggalkan kelas. Mrs.Queny dan pelajar lain membiarkan, telah masak dengan tindakan-tindakan Ubaidah yang tidak dapat dijangka.

Sunday, April 27, 2008

Kanvas Cinta Ini (Part 1)

Begitu pantas masa berlalu, semester 5 akan berakhir. Debaran peperiksaan akhir semakin menghampiri. Qistina bertambah bimbang, terlalu banyak subjek yang belum sempat di ‘cover’. Sedikit sebanyak ada keluhan, tapi kerja-kerja da’wah adalah lebih penting. Kalimah mulia: ’Allah sentiasa membantu umat yang membantu agamaNYA’, itulah yang menenangkan jiwa Qistina. Tapi dia sedar tanpa usaha pasti semuanya akan hancur, tiada bantuan Allah tanpa usaha.

Syawal bakal menjelma, Ramadhan kian melangkah pergi. Qistina sayu tahun ini dia masih tidak berkesempatan untuk merebut Lailatulqadr. Dia akur dengan ketentuanNYA. Moga masih ada Ramadhan untuknya lagi, itulah doanya. Kemeriahan Syawal dinanti tiba, hanya seperti tahun-tahun lalu, pada awal pagi ke masjid tunaikan solat sunat aidilfitri, kemudian ke rumah nenek sebelah abah bertemu sanak saudara. Hidangan nasi dagang menjadi santapan, melepaskan rindu pada makanan tradisional itu. Gembiranya hati Qistina bertemu sanak saudara, keriangan itu meronta-ronta untuk pulang ke kampung ibunya. Pasti lebih meriah. Terlalu gembira dapat berkumpul bersama, gurau senda menjadi santapan. Itulah yang menenangkan hati Qistina, menghilangkan sedikit tekanan kerja dakwah dan gundah menanti peperiksaan akhir.

2 Syawal, rancangan beraya saudara sebelah ibu menuntun Qistina bangun awal. Bersiap-siap, sarapan bersama keluarga.

‘Eh, mesej dari Fiqa! Awalnya bagi mesej’, Qistina membuka mesejnya itu.

‘Qis, ada seorang akh nak kenal, dia tengah mencari pasangan. Dia kawan Harith, umur 23, baru graduasi Ijazah Sarjana Muda Quran&Hadith UKM’, mesej itu sedikit menyentap hati Qistina.

‘Ya Allah, apakah semua ini. Adakah dia ahli jemaah kampus?’ persoalan itu bermain-main di benak Qistina. Hatinya dapat merasakan muslimin itu bukan ahli jemaah Islam kampus.

‘Fiqa dah buat solat istikharah dua kali, memang rasa kuat sangat akh tu untuk Qis. Akh ni segan dengan muslimat, sebab tu dia minta tolong. Namanya Fariz Saufi, orangnya sederhana’, kata-kata Shafiqah buat Qistina terkedu seketika.

‘Betul ke dia untukku? Perlukah aku berkenalan dengannya?’ pelbagai persoalan berlegar di mindanya. ’Ya Allah,berilah petunjuk kepadaku’, rintih Qistina keresahan.

Qistina cuba menghilangkan keresahan, tenang tidak memikirkannya. Keriangan ziarah sanak saudara melupakan Qistina pada keresahan itu. Hari terus merangkak, sekeluarga berehat setelah penat beraya. Hati Qistina resah tiba-tiba, ketidaktenangan itu hadir kembali. Kepalanya sarat dengan pelbagai persoalan, serabut. Lantas dicapainya handset dan mula menaip.

‘Salam, Fiqa. Qis rasa tak tenang sangat. Siapakah akh itu?’ Qistina menanti jawapan dari Shafiqa.

‘Wassalam. Jangan risau Qis. Nanti Fiqa bagi nombor telefon Qis pada akh tu ye. Nanti dia hubungi Qis. Betul Qis, Fiqa rasa akh tu sesuai untuk Qis’, kata-kata Shafiqa mengurangkan sedikit resah Qistina.

‘Syukran Fiqa. Qis percaya dan yakin dengan petunjuk yang DIA bagi pada Fiqa. Doakan Qis ye’, hatinya sedikit tenang. Kerana kesungguhan seorang sahabat untuk membantunya dan istikharah serta harapan Shafiqa membuatkan Qistina terima untuk berkenalan dengan akh itu. Dan juga istikharahnya.

‘Terima kasih Qis percaya pada Fiqa. Fiqa doakan terbaik untuk Qis’, mesej Fiqa menghentikan perbualan antara mereka.

Selesai solat isya’ bersama keluarga, Qis merebahkan kepalanya ke bantal yang empuk. ’Penatnya beraya’, getus Qistina. Qistina mencapai handsetnya, tertera beberapa ‘miscall’ dari nombor yang tidak dikenali. ’Pasti akh tu’, Qis mengagak. Handsetnya berbunyi lagi, nombor itu tertera di paparan. Qistina tidak mengangkatnya. Dia kurang selesa untuk menjawabnya.

‘Assalamualaikum. Maaf ana kurang suka untuk kenal terus melalui perbualan. Cukuplah sekadar sms. Lagipun ana kurang suka untuk berbual dengan muslimin dan ana tidak biasa berbual dengan muslimin. Syukran,’ mesejya sampai pada nombor akh itu. Memang Qistina kurang suka berhubung dengan muslimin terus melalui perbualan dalam telefon.

‘Waalaikumussalam. Ana minta maaf. Ana hanya nak maklumkan ana tak dapat nak hubungi enti malam ni. Jika sempat ana akan mesej enti nanti. Wassalam’, balasan akh itu memutuskan perbualan mereka. Qistina tak kisah sangat akh itu mesej atau tak. Tiada perasaan.

Hari-hari terus berlalu, Qistina sibuk dengan persediaan menjelang peperiksaan akhir. Dalam kesibukan, perkenalan dengan akh Saufi semakin erat. Banyak diperbualkan dan dibincangkan. Bagi Qistina, akh itu memang jelas matlamatnya untuk bersatu dan sepanjang perkenalan, mereka sering menyentuh tentang perancangan untuk masa depan. Dalam sedar, hati Qistina semakin menyenangi akh itu, ada keserasian dan persamaan antara mereka, mungkin. Qistina mula memasang harapan dan angan-angan membentuk sebuah ikatan yang sah. Seketika Qistina dilamun rindu dan cinta. Cinta makhluk, yang kebanyakannya menjanjikan kedukaan dan kesengsaraan.

“Kita sama-samalah berdoa agar ada jodoh antara kita.” mesej akh Saufi sering berbunyi sebegitu. Tenang Qistina membacanya. Percaya dengan bicara itu, hasrat hati akh Saufi bukannya kecil. Qistina mula terbuai dengan cinta ‘anta anti’. Jerat syaitan semakin melebar. ’Duhai hati, janganlah kau begini.Ingatlah pada cinta Ilahi,’ Qistina mengingatkan diri. Beristighfar atas kelekaan.

Fiqa, sahabat penghubung untuk Qistina mengetahui lebih lanjut tentang diri Saufi, begitu juga di pihak Saufi. Dihitungkan, Fiqa lebih rapat dengan Saufi berbanding Qistina sendiri. Semua itu bukanlah menjadi masalah pada Qistina, kerana dia tahu dalam perhubungan perlu ada garis hadnya. Jerat-jerat sang pencucuk, penghasut perlu diputuskan.

Usia perhubungan semakin bertambah. Lebih menyenangi, lebih memahami juga menyayangi. Tiba-tiba keresahan melanda jiwa. Entah mengapa. Rusuh hatinya, buntu fikirannya memutar. Qistina dapat merasainya. Ya, satu perasaan dikecewakan, dipermainkan. Mencucuk-cucuk bak belati tajam menikam dadanya. Seorang lelaki bersama seorang perempuan sedang ketawa gembira ditayang di skrin mindanya. Ya, dia nampak akh Saufi bergembira dengan perempuan lain. Lama Qistina berfikir, dan terus berfikir. Memujuk hati dan minda agar tidak bersangka buruk. Kalimatullah diiringi, menghiasi bibir. Takut, takut termakan hasutan iblis.

“Salam. Asif menganggu. Ana harap perhubungan antara kita berlandaskan kejujuran. Asif, bukan ana ingin su’un dzon, dan tidak sesekali ana menganggap diri enta seperti itu. Tetapi, hati ana mengatakan, enta ada ‘seseorang’ yang lain. Betulkah? Ana sangat mengharapkan jawapan jujur dari enta. Syukran,” akhirnya punat ‘hantar’ ditekan kepada nombor Saufi.

”Waalaikumussalam. Mungkin hati enti bersih, lalu Allah campakkan perasaan itu kepada enti. Apa yang ana mampu katakan, maafkan ana atas kekurangan dan kelemahan diri ana.” Balasan Saufi dibaca berkali-kali. Namun tidak dapat difahami maksudnya. Qistina menanyakan kembali kepada Saufi, apakah matlamatnya untuk berkenalan dengannya? Adakah benar dan jelas matlamatnya untuk membina hubungan suami isteri, ataupun sekadar suka-suka untuk berkawan? Sebelum ini, Saufi menunjukkan hasratnya yang ikhlas untuk ’mengahwininya’. Tetapi, kini seolah berbeza. Qistina ragu-ragu. Prinsipnya, tiada ikatan perhubungan ’rapat’ dengan muslimin, jika bukan bermatlamatkan ikatan pernikahan. Tiada jawapan daripada Saufi. Lama. Pertanyaan Qistina tentang ’matlamat perhubungan’ tetap tidak terjawab.

..bersambung..

Friday, April 04, 2008

Fitnah Fitna : Apa Tindakan Kita?


Tindakan ahli parlimen Dutch, Geert Wilder mencetuskan kontroversi melalui filem Fitna telah menaikkan kemarahan umat Islam serata dunia. Antara komen-komen penonton :


Penyokong Fitna

Geert Wilder is right on!Great film. Well done. Thanks for speaking up!!

Fitna is most simple movie ever made. Just compile all islamic extremist do , movie and pics and called a movie. For the second movie just compile other religion extremist and called Fitna The Return. For the 9 11 event, everybody knows already that it just a big scam. Kiling 'buiding' to kill a nation. Everybody knows that.

you know the worst day in history of Iran was when dirty arabs brought Islam into our wonderful land and ever since we hav been suffering. long live the Zeroastrians of Iran and hope for a day with NO
ISLAM in Iran


Everyone watch the documentary:Islam - What the West Needs to Know.
People think anyone who critisizes Islam is ignorant.
Lets show these Muslims with PROOF that we know how violent their religion is.
Everyone in the world unite, Americans, Indians, Israeli's, Europeans. WE STAND
UNITED AGAINST ISLAMOFACISM!
Penduduk Dutch
blame Wilders!11... don't blame holland or our
ambassadies or anything... over 90% of the dutch civilions diasagree with mr
Wilders... DON'T BLAME US!!!!!!!!!!

So you see this man is a criminal and should be prosecuted.The only problem is Geert Wilders thinks he can hide behind the right of free speech.He is attempting to single out the Muslim population in Holland, by spreading lies about the Islam.This will never happen, because the majority of that 6% of the Dutch voters is already sorry they ever voted for his party!This Dutch politician feeds himself on attention, please don't start giving him that!


Kita boleh lihat sendiri bagaimana impak fitnah Fitna ini. Banyak pendapat dan pandangan terhadap filem pendek ini. Tetapi sebagai muslim, ini adalah satu tindakan penghinaan ISLAM yang terlalu besar.Menggunakan ayat alquran hanya di kulit, mentafsir sesuka hati dan mencetuskan FITNAH besar terhadap Islam dan juga Rasulullah s.a.w.

Usulan Fitna ini, kerajaan menyarankan memboikot barangan DUTCH.Tetapi, ada juga pandangan di sebaliknya, berfikir sebelum memboikot. Sebagai muslim dikurnikan iman dan aqal, saya kira kita boleh berfikir apakah tindakan dan jalan yang kita perlu ambil. Baca artikel menarik dan senarai barangan DUTCH:

1) Fitnah filem Fitna :http://saifulislam.com/?p=1678
3) Boikot barangan Belanda :http://www.muslimconsumer.org.my/
Sebarkan kepada teman lain hakikat kebenaran Islam...Lihat video ini :